Empat tahun Black sabar! Bagi hasilkan single terbaru Sabar!
Published bySETELAH sekian lama tidak muncul dengan lagu ‘makanannya’, penyanyi yang. dilahirkan dari program realiti Mentor, Hanifah Md Hanifah, 32, atau lebih dikenali sebagai Black Hanifah bakal melancarkan single terbaharunya berjudul ‘Sabar’ pada hari ini, Jumaat 24 Julai 2020. : KitaReporters
Lagu berentak balada Melayu ini khabarnya telah dicipta sejak empat tahun lalu.
Wah! Begitu sabarnya Black kan?
Memang sesuailah tajuk ‘Sabar’ dinamakan untuk lagu yang mengembalikan identiti muzik dan kegemilangan kerjaya nyanyiannya sebelum ini.
"Sepanjang 12 tahun dalam industri, saya curahkan semua perasaan dalam lagu ini yang mana 100 peratus adalah hasil ciptaan saya sendiri yang disimpan selama empat tahun,” ujar Black.
Alasannya, tambah Black, ketika itu beliau tidak yakin dengan dirinya untuk menghasilkan lagu sendiri waima sepanjang tempoh itu beliau sempat memperdengarkan lagu berkenaan kepada rakan penyanyi lain sahaja.
‘Maklum balas diberikan, mereka cakap kenapa saya tidak rakamkan lagu ini,” tambah anak didik kepada Ratu Dangdut, Mas Idayu ini.
Menurut Black sebaik sahaja. lagu tersebut siap sepenuhnya kemudian, ramai kawan penyanyi yang mendengarnya siap boleh menghafal lagi dan itulah yang menyebabkan beliau yakin untuk mengeluarkannya sekarang kepada peminat.
“Malah rakan dalam industri pun suka dan jatuh cinta dengan lagu ini,” ulas Black.
Bekas vokalis kumpulan Meet Uncle Hussain pada 2009 ini mengakui ‘Sabar' adalah lagu yang cukup kena dengan jiwanya.
"Apa yang boleh saya katakan ialah lagu ini sangat lain dari lagu-lagu yang dihasilkan beberapa tahun sebelum ini.
"Ia lagu balada yang memang kena dengan jiwa saya. Kalau nyanyi pun memang 'feel' sepenuhnya.” akuinya.
Dalam erti kata lain, jelas Black, lagu ‘Sabar’ sebenarnya mengembalikan zaman beliau mula menapak dalam industri.
“Kiranya kalau orang dengar lagu ini, mereka pasti tahu ini adalah muzik dan identiti saya bahkan sewaktu proses rakaman pun semuanya mudah dan cepat sebab saya sudah faham melodi, lenggok dan liriknya,” cerita Black puas.
Berkongsi lanjut, Black memberitahu, ‘Sabar’ dirakam dan disiapkan sepenuhnya sewaktu tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
"Empat tahun lalu lagu ini sangat 'raw'. Apabila ada keyakinan, saya terus siapkan. Malah, gubahan lagu ini juga sama seperti apa yang saya bayangkan masa pada awal dulu," katanya.
Lagu ‘Sabar’ mengisahkan bagaimana seseorang bersabar dengan kehidupan dilalui sama ada kesabaran itu beroleh kegembiraan atau sebaliknya.
"Sewaktu menulis lagu ini, saya akui berada dalam keadaan tertekan dengan kehidupan sendiri.
"Jadi, mesej yang ingin disampaikan adalah sabar. Boleh jadi, sabar itu satu penantian dan permulaan dalam kehidupan.
"Mungkin ada yang bersabar hingga hujungnya peroleh kebaikan. Begitu juga sebaliknya,” Black mengulas lanjut terhadap karya lama tetapi terbaharunya ini.
Ulasnya, sabar juga boleh dikaitkan dalam perhubungan percintaan, persahabatan, kekeluargaan dan apa saja. Kiranya, sesiapa yang mendengar lagu berkenaan boleh mengkaitkannya dengan diri masing-masing.
Single ‘Sabar’ terbitan dan edaran Nova Music Malaysia dilancarkan di semua platform digital muzik seperti Spotify, Apple Music, Joox, KKBox dan Deezer pada 24 Julai 2020.
Serentak dengan itu, video muzik lirik ‘Sabar’ juga boleh ditonton di saluran YouTube Nova Music Videos pada tarikh sama hari ini. - KitaReporters