JIKA lazimnya banyak tumpuan diberikan terhadap mencungkil bakat baharu untuk dijadikan artis, kini buat julung kalinya, pencarian dalam kalangan karyawan industri kreatif, mahasiswa, krew mahu pun orang awam yang mempunyai minat dan kecintaan untuk menjadi pengarah filem di bawah program ‘Rahsia Sutradara (Be Your Own Director)' dibuka.

Sesuai dengan kehidupan norma baharu bagi mematuhi SOP ditetapkan oleh Kerajaan, program anjuran Pertubuhan Karya Sutradara Sinematik Malaysia atau ringkasnya MCAG (Malaysia CInematic Auteurs Guild) bersama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) ini bakal diadakan secara dalam talian bermula 25 September 2021 ini.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan pengarah filem


Berkonsip interaktif, ‘Rahsia Sutradara (Be Your Own Director)' diwujudkan untuk melahirkan pengarah filem generasi muda di Malaysia yang mampu menguasai budaya berfikir secara sinematik dan teknik pengarahan berasaskan auteur serta membina kesedaran tentang hak-hak seorang pengarah dan bertanggungjawab dalam penghasilan karya.

“Penggunaan istilah 'auteur' itu sendiri merujuk kepada visi seorang sutradara dalam pengkaryaannya. 

Hak sutradara ini sangat penting untuk diperjuangkan. Ini kerana keadaan sekarang banyak memaksa seseorang sutradara itu tunduk dengan kehendak pihak penerbit mahupun pengeluar duit,” ujar Presiden MCAG, Khir Rahman.

Menurut beliau, MCAG percaya bahawa tahap akademik dan pengalaman sangat penting dalam membentuk peribadi seseorang sutradara,

Menjelaskan lanjut, Khir memberitahu, program pencarian itu akan dihasilkan sebanyak lima siri yang akan dikendalikan lima orang mentor terdiri daripada gabungan pengarah filem yang mempunyai kekuatan dalam skil dan aspek pengarahan masing-masing iaitu Aziz M Osman, Jason Chong, Azhari Zain, Nik Amir dan Razaisyam Rashid



Peserta akan didedahkan dengan ilmu-ilmu pengarahan melalui diskusi dalam kalangan pengarah mentor. 

“Pendedahan, pemikiran dan percambahan idea baru serta upscaling yang mereka lalui akan memberi peluang kepada mereka untuk mengikuti program tumpuan iaitu program menjual idea karya filem pendek yang bakal dilaksanakan,” jelas Khir (gambar bawah).



Kelima-lima mentor ini akan menilai pembentangan kertas kerja mereka dan memilih 15 orang peserta  berpotensi untuk ke peringkat selanjutnya dan mereka dibenarkan untuk memilih mentor masing-masing. 

Hanya 5 peserta yang akan dipilih untuk menyertai projek filem cereka MCAG yang menggabungkan 5 karya filem pendek arahan mereka setelah melalui proses siri-siri  projek ini. 

Pautan untuk menyertai program siri pertama ini akan dikongsi menerusi platform media sosial MCAG. 

Mereka yang berminat untuk terlibat dalam program mentoring ini perlu mengisi borang menerusi pautan Google Form yang akan dikongsi selepas program siri pertama berakhir. 



Jadual siri program seperti berikut:

Siri Pertama: 24 September 2021 (Durasi 2 jam, bermula jam 8 malam) 

Siri Kedua: 1 Oktober 2021 (Durasi 2 jam, bermula jam 8 malam) 

Siri Ketiga: 8 Oktober 2021 (Durasi 2 jam, bermula jam 8 malam) 

Siri Keempat: 15 Oktober 2021 (Durasi 2 jam, bermula jam 8 malam) 

Siri Kelima: 22 Oktober 2021  (Durasi 2 jam, bermula jam 8 malam) 

Selain FINAS, turut memberikan kerjasama menjayakan program terdiri daripada  Planet Mahir dan Yayasan TM serta rakan strategik Terang dan Bronic. 

“Saya bersama pasukan sangat berharap agar filem kebangsaan terus diangkat sekali gus melahirkan karya-karya yang berperanan dalam pembentukan bangsa Malaysia yang harmoni sekali gus menyumbang dalam perkembangan ekonomi negara,” akhiri Khir.

Beliau  berharap usaha awal MCAG dalam membentuk para sutradara berbakat dan terlatih ini memulangkan kepercayaan kepada pihak penerbit dalam memberi hak bercerita kepada sutradara dilantik. - KitaReporters


12
9
0
12
0

Copy Link: