MELIHAT gelagat mereka dalam video yang dimuat naik dalam YouTube pun sudah mencuit hati, apatah lagi kalau mereka berlakon filem. Tiada siapa sangka rezeki Yoe Parey, Asif Suhaimi dan Syahmi Sazli semakin berkembang gara-gara video yang mereka buat itu. Dan kepada peminat-peminat mereka yang mahu ketawa melihat gelagat mereka, anda boleh tonton lakonan Yoe, Asif dan Syahmi dalam filem Syif Malam Raya. : KitaReporters

Buat pertama kali, Asif Suhaimi dan Syahmi Sazli bersama anggota Shiro dalam salah satu adegan filem Syif Malam Raya.



Jangan risau, anda tetap boleh menonton lakonan mereka biarpun pawagam masih tutup kerana filem arahan Datuk Prof Dr. A. Razak Mohaideen itu akan menemui orang ramai menerusi saluran Astro First (480) mulai 21 Mei 2020

Mengikut perancangan awal, filem terbitan Ray Theme Sdn. Bhd., dan edaran United Studio itu bakal menemui penonton sempena hari raya ini, tapi dek sebab wabak COVID-19, terpaksalah pengedar filem mencari alternatif lain.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif KRU Studio dan selaku penerbit filem Syif Malam Raya, Datuk Norman Abdul Halim, pihak mereka rasa gembira kerana filem tersebut dipilih untuk tayangan di Astro First.

“Walaupun pada awalnya, filem ini dijadualkan untuk tayangan di pawagam, industri perfileman tempatan harus berdepan dengan keadaan realiti semasa dan ketidakpastian tarikh mula pawagam untuk kembali beroperasi.

“Pihak kami amat bernasib baik kerana Syif Malam Raya dipilih untuk mula tayangan di Astro First beberapa hari sebelum hari raya. 

"Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Astro yang bertindak pantas dalam menyediakan ruang alternatif buat kami penggiat seni, sekali gus memainkan peranan penting dalam menyelamatkan industri perfileman tempatan,” katanya.

Filem Syif Malam Raya akan disiarkan di Astro First pada 21 Mei 2020.


Sementara itu, Naib Presiden, Ketua Astro Shaw & Nusantara, Raja Jastina Raja Arshad berkata, pihak Astro Shaw amat prihatin dengan situasi sekarang.

Katanya, lanjutan dari Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), masyarakat tidak dapat pulang ke kampung menjelang hari raya dan Astro Shaw yang sentiasa mengutamakan penonton denga terus menyediakan konten segar dan sesuai untuk tontonan sekeluarga.

“Sejajar dengan seruan kerajaan yang membenarkan rakyat Malaysia meraikan sambutan Aidilfitri pada hari pertama sahaja dan terbatas dengan SOP dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), kami yakin hari raya masih boleh disambut dengan meriah menerusi inovasi  dan kreativiti baharu yang dicipta.

“Selepas sambutan positif dan kini menjadi filem nombor satu paling tinggi sewaan Astro First, filem Manap Karaoke yang ditayangkan pasa awal Mei lalu membuktikan penonton mula menerima suasana baharu menonton filem terus di pawagam rumah mereka,” jelasnya.

Syif Malam Raya adalah filem genre komedi horror yang pasti menghiburkan hati penonton.


Tambahnya, khas untuk bulan Syawal ini, Astro Shaw meneruskan inovasi baharu dengan mempersembahkan sebuah lagi filem edisi istimewa raya yang bertepatan dengan tema raya Astro: ”Jarak akan menguatkan kita untuk esok yang lebih bermakna”, di mana Syif Malam Raya mempunyai elemen penghayatan yang cukup mendalam tentang sambutan Hari Raya Aidilfitri.

“Dengan memberi penekanan bahawa tidak kira di mana sahaja kita berada jalinan masih tetap dapat dieratkan dan kekal utuh. 

"Kami berharap agar filem ini mampu mengisi hari lebaran penonton dengan senyuman walaupun tidak berjarak tempat,” katanya.

Syif Malam Raya adalah sebuah filem komedi horror yang turut menampilkan barisan pelakon seperti Reen Rahim, Nadia Brian, Lia Natalia, Atu dan Shreif dari kumpulan Zero serta ramai lagi.

Syif Malam Raya merupakan filem pertama lakonan Asif, Yoe Parey dan Syahmi.


Kisah Syif Malam Raya bermula apabila cuti raya Zaid (Atu) dan Hisyam (Sharif) tidak diluluskan dan mereka ditugaskan untuk menghantar satu mayat ke Ipoh pada malam Aidilfitri. 

Mereka turut menumpangkan Mira dan Yoh untuk pulang beraya ke kampung halaman dengan menaiki van jenazah.

Kejadian aneh mula berlaku dan kekecohan timbul apabila mereka tiba di sebuah kampung yang dihantui pocong!!

Jangan lupa untuk sewa filem Syif Malam Raya selama 48 jam dengan harga RM15 untuk anda menonton berulang kali. 

Untuk mendapat info terkini tentang filem Syif Malam Raya, sila layari Instagram, Facebook dan Twitter Astro Shaw. - KitaReporters

75
12
0
6
3

Copy Link: