Video| Kejutan istimewa buat ibu bapa! Gara-gara 2 tahun tak pulang beraya! Prank tak balik raya!
Published bySEJAK pandemik Covid-19 melanda dunia, ramai yang terpisah jauh daripada ahli keluarga, sahabat handai dan saudara-mara. Malahan suasana Aidilfitri cukup berbeza apabila diraikan sederhana tanpa insan yang tersayang. Pengalaman sama turut dilalui oleh pemuda ini yang tidak dapat pulang ke kampung untuk menyambut hari raya sejak dua tahun lalu.
Berkongsi kisahnya dengan Bigo Live Malaysia, pemuda yang bernama Fairuz Bela ini melahirkan keterujaannya untuk pulang ke kampung tahun 2022 ini dan memberikan kejutan buat ahli keluarganya yang tercinta.
“Tahun ini kita boleh balik kampung beraya, dan saya ada satu perancangan!” katanya dalam satu kenyataan media pada 10 Mei 2022.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan balik kampung
Fairuz yang merupakan seorang penstrim langsung di bawah agensi Todak ini sering aktif melakukan penstriman di Bigo Live (ID: gorillahitam) sejak pertengahan tahun 2016. Antara kandungan yang sering dilakukannya di platform tersebut adalah penstriman permainan video, sembang santai, serta bergurau senda.
Menurutnya, ianya adalah salah satu cara beliau untuk mengeratkan lagi perhubungan bersama dengan pengguna lain.
Sering mengetengahkan kandungan yang mengusik dan bersenda, Fairuz turut merancang melakukan perkara yang sama terhadap ibu bapanya pada Hari Lebaran tahun ini.
“Tahun lepas kita beraya dengan panggilan video sahaja sambil makan ketupat dan rendang, dah macam beraya dengan telefon bukan famili,” ujarnya. Beliau berpendapat raya kali ini akan lebih bermakna dengan kejutan yang dilakukannya.
Beliau mengatur pelan dengan menelefon ibunya dan memberitahu tidak dapat pulang ke kampung halamannya di Gopeng untuk beraya. Namun pada waktu yang sama, turut memulakan perjalanan bersama isteri dan anak-anaknya untuk ke sana.
Sebelum sampai ke destinasi, Fairuz sempat singgah di Tanjung Malim untuk membeli pau kegemaran kedua-dua ibu bapanya.
Setelah tiba di kampung halaman, ibu dan bapanya melahirkan rasa terkejut dan terharu melihat anak kesayangan mereka pulang ke kampung untuk meraikan Aidilfitri bersama-sama.
“Tidak kiralah kehebatan kita dalam media sosial atau betapa canggihnya telefon kita, keluarga haruslah diutamakan,” kata Fairuz. Walaupun sibuk dengan jadual penstriman langsungnya, beliau berpendapat bahawa keluarga adalah nombor satu dan tidak akan ada pengganti.
Video kejutan Fairuz Bela buat ibu bapanya ini ternyata mencuri perhatian ramai sejak dimuat naik dalam media sosial, dan kini telah mendapat hampir 300 ribu tontonan hanya dalam masa lima hari! - KitaReporters