Keluarga Malaysia: Terima kasih Wanita UMNO Labis! Mahu agih 1k kotak makanan di Parlimen Labis!
Published byKakitangan Pusat Khidmat DUN Tenang sedang memunggah kotak makan untuk diserahkan kepada penerima di Parlimen Labis yang sudah dikenal pasti.
BUAT kali kelima berturut-turut sejak tahun 2018, Wanita UMNO Bahagian Labis tidak pernah gagal menyantuni golongan memerlukan dengan menghulurkan sumbangan berupa kotak makanan asas kepada golongan yang memerlukan di Parlimen Labis.
Ketuanya, Haslinda Salleh yang juga ADUN Tenang berkata, seperti tahun-tahun sebelum ini, pihaknya menyediakan sejumlah seribu kotak makanan kering seperti beras, gula pasir, tepung, minyak masak serta barangan lain untuk diagihkan kepada mereka yang memerlukan sebagai memenuhi aspirasi Keluarga Malaysia.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan aktiviti sumbangan makanan
Ketua Wanita UMNO Labis yang juga ADUN Tenang, Haslinda Salleh (kiri) memantau kerja-kerja pengagihan kotak makanan kepada pemimpin setempat di Parlimen Labis sebelum diserahkan kepada penerima.
"Berbeza dengan tahun sebelumnya, pengagihan kotak makanan tersebut pada tahun ini turut mendapat kerjasama baik pihak Pusat Khidmat DUN Tenang serta pemimpin setempat berbanding sebelum ini yang digerakkan sepenuhnya oleh jawatankuasa wanita UMNO Bahagian Labis.
"Kerjasama serta penglibatan pemimpin setempat seperti ketua kampung dan jawatankuasanya sedikit sebanyak membantu melancarkan kerja-kerja pengagihan terutama dalam usaha mengenal pasti mereka yang benar-benar layak untuk menerima sumbangan ini," katanya ketika ditemui di Pusat Khidmat DUN Tenang di Labis, Johor.
Menurutnya, peranan pemimpin setempat amat penting bagi memastikan matlamat pengagihan sumbangan tersebut mencapai matlamat dan sampai kepada golongan sasar memandang mereka merupakan entiti yang lebih mengenali dan memahami keperluan penduduk di kawasan mereka.
Namun dengan kerjasama pemimpin masyarakat pada peringkat akar umbi pihaknya berjaya mengenal pasti dan memastikan hanya mereka yang benar-benar terjejas dan memerlukan diberi keutamaan untuk menerima sumbangan ini.
Menurutnya, sumbangan tersebut mungkin tidak seberapa, namun diharap mampu membantu meringankan beban penerima terutama dalam persiapan menyambut kedatangan bulan Syawal tidak lama lagi.
"Dengan adanya sumbangan kotak makanan asas ini, penerima mungkin boleh menggunakan wang yang sepatutnya dibelanjakan untuk membeli barang makanan asas tersebut untuk kegunaan lain dalam menyediakan keperluan keluarga menyambut hari raya nanti.
"Saya harap pada masa akan datang kami mampu untuk meneruskan program pemberian sumbangan seperti ini dalam jumlah yang lebih banyak bagi memastikan lebih ramai golongan terjejas menerima manfaat daripada penganjuran program ini." katanya. - KitaReporters