SELEPAS tular beberapa insiden 'kantoi' membabitkan rider syarikat perkhidmatan penghantaran makanan membawa barang terlarang mahupun cubaan pemandu lori ais membawa ketum, kini ada modus operandi lain yang diguna pakai bagi mengaburi mata pihak berkuasa. : KitaReporters

Ketua Polis Daerah Cameron Highlands, Deputi Superintenden Ashari Abu Samah (kanan) menunjukkan rokok seludup yang berjaya dirampas dalam dua serbuan berasingan di Cameron Highlands, Pahang. -Gambar ihsan PDRM
Terbaharu, menggunakan perkhidmatan syarikat kiriman atau penghantaran berlesen (kurier), golongan 'penyangak' ini mungkin beranggapan taktik tersebut selamat dan mampu menyembunyikan perbuatan salah mereka.
Namun, awas ya! Pihak berkuasa tidaklah semudah ABC untuk anda permainkan.
Buktinya..... dua cubaan menyeludup rokok seludup berjaya dipatahkan dalam tempoh masa setengah jam sahaja oleh pasukan Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Cameron Highlands, Pahang.
Hebat!!!
Dalam dua kejadian berasingan itu, dua lelaki diberkas bersama beberapa kotak barangan mengandungi rokok seludup yang diambil mereka dari pusat pengumpulan sebuah syarikat kiriman berlesen.
Ketua Polis Daerah Cameron Highlands, Deputi Superintenden Ashari Abu Samah berkata, sindiket penyeludupan rokok tidak bercukai itu terpaksa menggunakan syarikat kiriman untuk menghantar barangan terlarang kepada pelanggan kerana bimbang ditahan semasa sekatan jalan raya (SJR).
Malah katanya, pemeriksaan secara rambang terhadap kenderaan mencurigakan juga menyebabkan sindiket berkenaan tidak mahu mengambil risiko sekiranya diarahkan untuk diperiksa.
"Penghantaran rokok seludup ini dilakukan menggunakan servis kurier dari lokasi lain ke sini (Cameron Highlands). 

"Bagaimanapun, disebabkan alamat yang diberikan itu tidak wujud, maka penghantaran dibuat di lokasi lain setelah menghubungi penerima. 

"Siasatan mendapati, rokok seludup itu mempunyai permintaan tinggi di sini terutama dalam kalangan pekerja warga asing

"Harga yang dijual juga lebih tinggi berbanding harga biasa di bawah (tempat lain)," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, dua lelaki masing-masing berusia 29 dan 28 tahun itu diberkas antara pukul 3 hingga 3.30 petang di kawasan Perumahan Makmur di Tanah Rata dan Kampung Raja Blue Valley di Cameron Highlands pada 22 April 2020.
Katanya, pemeriksaan mendapati kesemua bungkusan yang dirampas daripada kedua-dua kenderaan jenis Toyota Hilux milik suspek itu mengandungi 700 karton rokok seludup tidak bercukai pelbagai jenama. 
"Anggaran rampasan bernilai lebih kurang RM40,000 manakala nilai rampasan bercukai dianggarkan berjumlah RM900,000," katanya. - KitaReporters
2
0
2
1
1

Copy Link: