Berita Terkini| Cubaan OKT loloskan diri di hospital gagal! Berlaku pergelutan dengan polis!

Published by
KitaReporters

ARIFAI Tarawe berkata semasa proses tangkapan dilakukan berlaku sedikit pergelutan dan mengakibatkan seorang anggota polis cedera ringan. - Kredit foto: Astro Awani


CUBAAN seorang lelaki yang juga orang kena tahan (OKT) melarikan diri ketika menerima rawatan di Hospital Selayang gagal, selepas ditahan semula di kawasan berhampiran hospital berkenaan, pada Isnin 17 Mei 2021.

Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, dua anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh ditugaskan untuk menjaga seorang OKT berusia 39 tahun berkenaan di wad pemerhatian, Hospital Selayang kira-kira pukul 1 tengah hari.

"Ketika anggota itu sedang memantau, dia melihat suspek berkenaan sedang berbaring dan mengalih kedudukan secara duduk di atas katil sambil tangan kirinya dalam keadaan bergari di bahagian kepala katil.

"Bagaimanapun, suspek secara tiba-tiba terus melompat dari katil dan berlari ke arah luar hospital dalam keadaan tangan kiri masih bergari dan ketika itu, anggota bertugas melihat besi kepala katil itu tercabut," katanya dalam kenyataan media pada Selasa, 18 Mei 2021.

Arifai menjelaskan dua anggota polis berkenaan terus mengejar suspek terbabit sehingga ke hadapan kawasan Selayang Capital yang terletak kira-kira 120 meter dari wad itu sebelum berjaya menahan OKT terbabit.

"Semasa proses tangkapan dilakukan, berlaku sedikit pergelutan dan mengakibatkan seorang anggota polis cedera ringan.

"Siasatan dilakukan mendapati OKT terbabit dimasukkan ke Hospital Selayang pada Ahad, 16 Mei lalu bagi rawatan disebabkan mengalami penyakit sawan," katanya.

Suspek berkenaan yang mempunyai rekod jenayah serta dadah ditahan bersabit satu kes rogol di IPD Sungai Buloh dan direman selama tujuh hari.

"Susulan kejadian itu, kami membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 223/224 Kanun Keseksaan.

"Dalam kes ini, pihak polis akan menjalankan siasatan menyeluruh dari pelbagai sudut bagi mengenal pasti punca kejadian itu," katanya. - KitaReporters


Lagi berita-berita terkini dalam KitaReporter

Gambar hiasa... Suspek mempunyai rekod jenayah serta dadah ditahan bersabit satu kes rogol di IPD Sungai Buloh dan direman selama tujuh hari. 

0
0
0
0
0

Copy Link: