Berita Terkini| Tiada permit sah! 1,600kg makanan kucing dibawa masuk ke Malaysia ditahan Maqis
Published byAntara makanan kucing yang ditahan oleh Maqis pada 31 Mac 2021 kerana ketiadaan permit yang sah. - Kredit foto: Ihsan Maqis.
JABATAN Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis)
telah menahan 1,600 kilogram makanan kucing di Kompleks Imigresen, Kastam,
Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam pada 31 Mac 2021 kerana tidak
punyai permit yang sah.
Pengarah Maqis Kedah, Lily Rosalind berkata ia susulan hasil
pemeriksaan ke atas sebuah lori membawa makanan haiwan berkenaan yang ditahan
pihaknya jam 4.45 petang pada hari kejadian.
“Hasil dari pemeriksaan dilakukan, didapati sebanyak 200
kotak makanan haiwan dengan nilai dianggarkan RM8,641 cuba dibawa masuk ke
Malaysia untuk pasaran tempatan.
“Kesemua barangan
dirampas untuk tindakan lanjut kerana tiada sebarang dokumen dan permit import
sah daripada pihak Maqis,” katanya menerusi satu kenyataan pada 2 April 2021, sebagaimana dilaporkan oleh Sinar Harian Online.
Katanya lagi, perbuatan mengimport tanpa suatu permit dikeluarkan
Maqis adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 11(1), Akta Perkhidmatan dan Kuarantin
dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728]. - KitaReporters