KEMB pulihkan pengangkutan awam di Kelantan! Penduduk dambakan bas henti-henti cekap, selesa!
Published byAntara model bas yang diuji pandu oleh KEMB untuk menyediakan perkhidmatan bas henti-henti bagi 10 laluan dari Kota Bharu ke beberapa destinasi. - Kredit photo Speed Media Events & Distribution.
HARAPAN penduduk di Kelantan yang mendambakan suatu pengangkutan awam darat yang sempurna dan cekap mungkin akan menjadi kenyataan apabila Konsortium E-Mutiara Berhad (KEMB) dipercayai bakal mengambil alih perkhidmatan bas henti-henti di negeri itu.
Walaupun masih menjadi persoalan namun perkhabaran perkara itu yang berlegar dalam kalangan penduduk diharapkan menjadi kenyataan berdasarkan perancangan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) perkhidmatan berkenaan dijangka bermula 1 Mei 2021 ini.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan pengangkutan
‘Mosquito Bus’ gelaran yang diberikan kepada bas milik NETS yang menjadi pengangkutan awam pertama di Kelantan pada tahun 1947. - Kredit photo Jabatan Penerangan.
Menyingkap sejarah, pengangkutan awam di Kelantan bermula pada tahun 1947 dengan tertubuhnya North Eastern Transport Service yang dikenali NETS yang dimiliki orang Melayu dan menawarkan perkhidmatan menggunakan 27 bas bersaiz kecil dan mampu memuatkan 10 penumpang pada satu-satu masa.
Bas itu yang turut dikenali sebagai ‘Mosquito Bus’ itu hanya beroperasi di laluan sekitar bandar sahaja berikutan kemudahan jalan raya menghubungkan ke kawasan bandar dengan pedalaman belum dibina. Selain itu, bas berkenaan juga digunakan syarikat untuk menyediakan kemudahan sebagai bas sekolah.
Selepas melalui pelbagai cabaran termasuk dari segi peningkatan prestasi serta kemasyhuran sebagai syarikat berasaskan pengangkutan, NETS tidak dapat lari daripada masalah seperti mogok pekerja menyebabkan syarikat itu dijenamakan semula dengan nama Syarikat Kenderaan Melayu Kelantan (SKMK) pada tahun 1967.
Selepas dijenamakan semula itu, SKMK terus berkembang pesat sebagai pengangkutan awam terunggul di Kelantan dan memiliki lebih 300 bas pada satu masa sehingga mampu menyediakan perkhidmatan bas ekspres untuk ke luar Kelantan selain bas henti-henti dan bas cepat ke beberapa bandar jajahan.
Kenangan sejarah stesen bas Kota Bharu yang dikendalikan oleh SKMK beberapa tahun lalu. - Kredit photo Babab.net
Kecemerlangan itu membolehkan SKMK mampu menyediakan kemudahan beberapa stesen bas di seluruh Kelantan di samping stesen kecil di beberapa jajahan untuk kesenangan penduduk.
Namun selepas itu, SKMK menjadi anak syarikat sebuah badan korporat Nadicorp Holdings Sdn Bhd selepas MARA Holding Sdn Bhd diswastakan pada Jun 2000.
Bagaimanapun berikutan perkembangan semasa, pengangkutan awam di Kelantan termasuk bas henti-henti diambil alih oleh Cityliner, anak syarikat Konsortium Transnasional Berhad (KTB), namun ekoran masalah kewangan akhirnya operasinya semakin berkurangan dan menghentikan perkhidmatan beberapa laluan sejak lima tahun lalu.
Stesen bas Kota Bharu yang dikendalikan oleh Cityliner. anak syarikat KTB, yang mengambil alih perkhidmatan bas henti-henti daripada SKMK sebelum berakhir secara berperingkat-peringkat lebih lima tahun lalu.
Menurut sumber, KEMB dijangka mengendalikan laluan dari Kota Bharu ke beberapa destinasi seperti Gua Musang, Kuala Krai, Pengkalan Kubur, Salor - Pasir Mas, Tok Bali – Kampung Raja, Sabak – Airport, Pantai Cahaya Bulan, Bukit Marak – Bachok dan Pulau Melaka – Bachok.
Menurutnya,
berikutan perkembangan serta kekangan wabak Covid-19 dan pelaksanaan Perintah
Kawalan Pergerakan (PKP) kemungkinan perkhidmatan itu tidak dapat dilaksanakan
seperti tarikh yang dirancangkan.
“Pemilihan dan pembelian bas baharu masih dalam proses. Banyak proses tempahan serta penyediaan kelengkapan tertangguh berikutan PKP, bagaimanapun usaha itu akan dipercepatkan.
“Walau bagaimanapun semua kerja mengenal pasti jenis atau model bas yang bersesuaian berjalan lancar,” kata sumber itu.
Antara beberapa bandar jajahan di Kelantan yang akan mendapat perkhidmatan bas henti-henti KEMB.
Difahamkan KEMB sudah mencuba uji beberapa model bas beberapa hari lalu, sementara beberapa model lagi akan tiba di Kelantan untuk tujuan pandu uji.
Sumber itu
berkata, menunggu bas baharu untuk beroperasi memang mengambil masa, namun atas
prinsip dan sifat keprihatinan terhadap kemudahan orang awam, KEMB akan
beroperasi secepat mungkin dengan menggunakan bas ekspres sementara bas baharu
sampai.
KEMB dijangka memulakan operasi ke 10 laluan berkenaan sebaik sahaja semua bas ekspres terbabit dilengkapi dengan mesin tiket elektronik serta pelbagai kelengkapan lain. - KitaReporters