PADA awal perkahwinan, setiap pasangan suami isteri pasti dapat mengecapi kebahagiaan dan kerukunan rumah tangga. Ditambah pula dengan kehadiran beberapa cahaya mata yang comel dan cantik sekali gus menambahkan lagi seri rumah tangga.

Bak pepatah Melayu berkata ‘langit tidak selalu cerah’ di mana setiap kebahagiaan ada ujian dan dugaannya. Begitulah juga adat orang yang berumah tangga, ada masanya penuh kebahagiaan dan ada pula ditimpa kesengsaraan.


Kisah-kisah menarik berkaitan rumah tangga:

https://kitareporters.com/search?search=rumah+tangga



Setiap orang mempunyai sifat atau sikap cemburu termasuklah rakan-rakan, pasangan kekasih, suami isteri dan individu-individu bergelar manusia.

Namun, terdapat sifat cemburu yang tercela yakni ‘cemburu buta’ yang menzalimi pasangan masing-masing kerana tidak mempercayai antara satu sama lain disebabkan pelbagai faktor.

Natijahnya terutama pasangan berkahwin akan menggongkong pergaulan isteri atau suami, melakukan penderaan mental serta fizikal, dan kemuncaknya menimbulkan 'krisis rumah tangga' sehingga sanggup melakukan pembunuhan terhadap teman hidup masing-masing.

Adakah golongan wanita bergelar isteri sudah tidak lagi selamat hidup bersama suaminya setelah bertahun-tahun lamanya melayari bahtera rumah tangga mereka?

Apakah punca berlakunya keganasan rumah tangga termasuk sikap cemburu melampau, penderaan mental dan fizikal serta pengabaian nafkah keluarga.


Keratan akhbar memaparkan sikap seorang suami sanggup membunuh isteri yang dahulu sangat dicintainya gara-gara sikap cemburu yang terlampau melangkaui batasan kewarasan normal manusia. 


Menurut statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) antara 2010 hingga Mac 2017 terdapat 57,519 kes keganasan terhadap kaum wanita telah dilaporkan. Sebanyak 23,212 kes atau 40 peratus daripadanya adalah melibatkan kes keganasan rumah tangga.

Terkini, sebanyak 3,080 kes keganasan rumah tangga dilaporkan oleh PDRM sejak tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac 2020 hingga Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sehingga 31 Oktober 2020.

Menurut Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Bukit Aman, Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan berkata, kes disebabkan pelbagai punca termasuk perbalahan antara pasangan seperti sikap cemburu, perselisihan faham, masalah kewangan dan suami terlibat dengan penagih dadah. 

Manakala Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pula menunjukkan bahawa kes keganasan rumah tangga adalah sebanyak 69,978 kes dari tahun 2010 sehingga Mei 2018

Angka statistik ini secara tidak langsung memaparkan ‘penyakit rumah tangga’ semakin parah sehingga mencetuskan permasalahan besar dalam institusi-institusi kekeluargaan di negara ini.


Lokasi di mana mayat isteri suspek disembunyikan dan ditanam di kawasan ladang Bandar Penawar yang terletak kira-kira 30 kilometer (km) dari rumah mereka di Taman Saujana. - Sumber Metro.


Insiden terbaharu dan dianggap sadis berlaku terhadap kes seorang suspek lelaki berusia 43 tahun disyaki telah membunuh isterinya berpunca sikap isterinya bertindak keluar dari rumah mereka pada jam 2 pagi setelah berlaku perselisihan faham antara mereka di Taman Saujana, Kota Tinggi, Johor.

Mangsa (isteri), 38, kemudiannya ditembak di dada dengan jarak dekat ketika tidur (setelah kembali semula ke rumah) oleh lelaki itu. 

Pihak polis tidak menolak kemungkinan motif pembunuhan tersebut bermotifkan cemburu sehingga menyebabkan si suami tergamak melepaskan tembakan terhadap mangsa (isteri).

Menurut sumber, pasangan tersebut dikatakan sedang dalam proses penceraian.

Suspek dan mangsa telah mendirikan rumah tangga sejak lapan tahun lalu dan dikurniakan dua orang cahaya mata berusia tiga dan empat tahun.

Sementara itu, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dalam kenyataannya berkata, anak mangsa akan dijaga oleh pihak mereka selepas proses  mendapatkan perintah mahkamah diluluskan(penjagaan sementara) nanti. - KitaReporters


Sumber:

https://wanita.ikram.org.my/2020/11/25/kenyataan-media-sempena-hari-antarabangsa-bagi-penghapusan-keganasan-terhadap/

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2019/06/577008/wanita-83-peratus-mangsa-keganasan-rumah-tangga-berpunca-dadah

https://www.sinarharian.com.my/article/127041/BERITA/Semasa/Bunuh-isteri-Polis-masih-siasat-motif-cemburu

0
0
2
0
0

Copy Link: