SATU-SATUNYA stesen televisyen terestrial separa kerajaan nasional Islam, TV AlHijrah sudah tentu tidak mahu ketinggalan meraikan sambutan Maulidur Rasul dengan program istimewa pada 19 Oktober 2021 ini.

Menerusi rancangan seni persembahan Islamik, ’Muhammad Kekasih Agung’ yang akan disiarkan secara langsung selama dua jam bermula pukul 9 malam hingga 11 malam, 19 Oktober 2021 akan datang, TV AlHijrah sekali gus melakar sejarah tersendiri apabila buat pertama kalinya menggabungkan dua orang pendakwah terkenal bersama 10 penghibur tanah air.

Mengangkat tema sambutan Maulidur Rasul TV AlHijrah iaitu ‘Manhaj Rabbani, Negara Harmoni', program tersebut yang diadakan di studionya yang berwajah baharu menggabungkan bacaan Al-Quran, qasidah, selawat, monolog, sajak, tausiah serta nyanyian tentang Rasulullah.


Lagi kisah-kisah menarik berkaitan program tv


Seawal jam 6 petang, penonton boleh menyaksikan ‘Di Ambang Muhammad Kekasih Agung’ yang menampilkan Ustaz Jalaluddin Mohd Zaiki bagi meninjau persiapan belakang tabir krew dan juga personaliti. 

“Kami pilih untuk terbit dan siar rancangan ini kerana sebagai umat Islam, semua sedia maklum bahawa pintu utama untuk meraih kecintaan Allah SWT terhadap kita semua adalah melalui kekasih-Nya iaitu Baginda Rasullullah,” ujar Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Namanzee Haris.


Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Namanzee Haris... Kekuatan rancangan ‘Muhammad Kekasih Agung’ terletak pada gabungan dua elemen utama dalam penerbitan sesebuah rancangan hiburan Islamik.


Berkongsi selanjutnya aspirasi tentang penerbitan program berkenaan yang dijangka bakal mencatat peratusan tontonan tinggi, Namanzee memberitahu, kekuatan rancangan ‘Muhammad Kekasih Agung’ terletak pada gabungan dua elemen utama dalam penerbitan sesebuah rancangan hiburan Islamik.

“Pertama, sudah semestinya objektif serta konsep rancangan. Keduanya, kami tampilkan pendakwah hebat serta penghibur berdedikasi yang memiliki ilmu, kekuatan vokal serta penghayatan penuh emosi dalam menyingkap semula tabir perasaan cinta para penonton kepada Nabi Muhammad,” tambah Namanzee.

Menurut beliau, selain Ustaz Wadi Annuar dan Ustaz Jafri Abu Bakar yang akan menyampaikan tausiah manakala  Dato’ Hattan, Faizal Tahir, Amerul Affendi, kumpulan Kopratasa, Daqmie, Ijam Medicine, Naqiu, Datin Alyah, Ustazah Sharifah Khasif serta kumpulan nasyid Zayne dipilih bagi membuat persembahan.


Ustaz Wadi Annuar antara penceramah terkenal yang turut serta dalam program keagamaan ini.


“Rancangan ini mencipta rasa rindu kepada Nabi Muhammad kerana kita bawa penonton menelusuri perjalanan kehidupan Baginda bermula detik kelahiran, kisah sebelum kenabian, detik wahyu diturunkan, cabaran dakwah, tahun dukacita, Isra’ dan Mikraj, hijrah ke Madinah, khutbah terakhir hinggalah saat kewafatan Nabi,” sambung Namanzee.



Di samping itu bagi menambahkan kemeriahan sempena sambutan Maulidur Rasul, TV AlHjrah turut menyiarkan rancangan istimewa lain seperti siaran langsung 'Hijrah Anak Muda’ pada 18 Oktober 2021 pukul 6.00 petang serta siaran langsung ‘Di Ambang Muhammad Kekasih Agung’ pada 19 Oktober 2021 pukul 6.00 petang.

Sehari selepas itu pula ditampilkan  siaran langsung ‘Bincang Niaga Istimewa Keluarga Malaysia’ pada 20 Oktober 2021 pukul 4.30 petang diikuti oleh program  ‘Al-Quran Johan-Johan Kebangsaan’ pada 26 Oktober 2021 pukul 9 malam dan ‘Gema Haflah’ pada 30 Oktober 2021 pukul 9 malam. 

Nantikan ya! - KitaReporters


15
9
0
14
0

Copy Link: