Perang TMJ-Sanusi! Kiriman ros merah, McDonald tanda gencatan senjata? Kasi panas line wajib la!
Published byKiriman sejambak bunga ros merah daripada Tunku Ismail kepada Muhammad Sanusi. - Kredit foto: FB Muhammad Sanusi Md Nor.
Selepas beberapa hari berbalas ‘serangan’; melalui media sosial, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor kelihatan mengendurkan ketegangan menjelang suku akhir kedua Piala Malaysia antara Johor Darul Ta’zim (JDT) dengan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) pada Khamis, 18 November, 2021.
Pada Isnin, 15 November, 2021, Tunku Ismail menunjukkan contoh sangat terpuji apabila mengirimkan sejambak bunga ros merah dan bungkusan makanan segera, McDonald kepada Sanusi disertai nota bertulis “Dengan ingatan tulus ikhlas dari TMJ.”
Ia dikongsi oleh Sanusi melalui akaun Facebooknya dengan kata-kata: “Menjunjung Kasih TMJ atas kiriman bunga dan McDonalds, hari Khamis ini kita berentap lagi, kalah, seri atau menang adalah adat perlawanan. Kasi panas ‘line’ itu wajib laaa.”
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Piala Malaysia
Selain bunga, Tunku Ismail turut mengirim makanan segera, McDonald kepada Muhammad Sanusi. - Kredit foto: FB Muhammad Sanusi Md Nor.
Langkah Tunku Ismail itu dilihat sebagai jalan merintis kepada perdamaian antara kedua-dua pihak malah mungkin sebagai usaha untuk melakukan ‘gencatan senjata’.
Susulan itu, Sanusi yang sebelum itu tidak tahan telinga dengan ‘usikan’ Tunku Ismail apabila membalasnya dengan ‘agak keras’ melalui Facebook, juga dilihat kembali tenang.
Jengahan ke akaun Facebooknya mendapati beberapa status panas yang dimuat naiknya sebelum ini sebagai membalas ‘serangan’ Tunku Ismail, sudah dipadam.
Perang mulut antara Tunku Ismail dengan Sanusi tercetus ekoran kenyataan TMJ yang juga merupakan pemilik kelab JDT berhubung masalah tunggakan gaji dihadapi skuad Kedah FC.
Tulis Tunku Ismail, “Bila nak lawan JDT sahaja ke baru nak bayar gaji? Sampai bila nak perangai macam ni? Kepala pistol”.
Kata-kata Tunku Ismail itu merujuk kepada pasukan Kedah yang melangsaikan tunggakan gaji pemain menjelang pertembungan kedua-dua pasukan pada suku akhir pertama Piala Malaysia di Alor Setar pada Ahad, 14 November, 2021 lalu.
Sanusi, selaku Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), kemudian membalas sindiran TMJ melalui status berbunyi: “La ni bulan sebelaih dah... bulan satu sampai bulan sepuluh kena lawan JDT tiap-tiap bulan kaaa??? Apa punya peluru kapoq tala ikut suka dia.”
Kedua-dua pemimpin itu kemudian saling berbalas sindiran melalui akaun media sosial masing-masing sehingga turut mencetuskan ‘bahang’ dalam kalangan penyokong terutama selepas Kedah dan JDT seri 0-0 pada akhir suku akhir pertama itu.
JDT dan Kedah akan membuat perhitungan suku akhir kedua di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, pada Khamis, 18 November, 2021 ini dengan ‘langkah damai’ dicetuskan Tunku Ismail dan Sanusi dilihat tepat pada masanya kerana mampu meredakan ketegangan dalam kalangan penyokong.
Skuad Kedah akan membuat perhitungan suku akhir kedua dengan JDT di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada Khamis, 18 November, 2021. - Kredit foto: KDA FC.
Sementara itu, Dewan Pemuda Pas Johor turut mengambil langkah menjernihkan keadaan apabila membuat permohonan maaf kepada Tunku Mahkota Johor ekoran kenyataan Sanusi yang dilihat agak keterlaluan.
Ketua Pemuda Pas Johor, Ahmad Nawfal Mahfodz berkata, pihaknya mengambil maklum berlaku salah faham dikhuatiri berpunca kekhilafan laras bahasa digunakan Sanusi kepada TMJ.
“Tanpa niat menderhaka, kami percaya bahawa beberapa kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak Menteri Besar Kedah hanya membangkitkan semangat kesukanan, bukan atas dasar kepentingan peribadi.
“Justeru, Dewan Pemuda PAS Negeri Johor dengan rendah hati ingin merafak sembah ampun kepada Tunku Mahkota Johor di atas kekhilafan yang berlaku,” katanya dalam satu kenyataan. Sanusi adalah pemimpin PAS Pusat dan negeri Kedah.
Zulakbal (kiri) mahu pemimpin menghayati Rukun Negara dalam sebarang tindak-tanduk serta percakapan.
Dalam pada itu, pensyarah kanan Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI), Dr Zulakbal Abd Karim berharap pemimpin tidak kira apapun status kedudukan mereka, agar lebih berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan kerana ia boleh turut mencetuskan perbalahan dan ketegangan dalam kalangan rakyat.
“Dilihat daripada sudut positif, perang mulut antara TMJ dan Sanusi boleh memeriahkan suasana perlawanan. Namun, apa yang kita bimbangkan adalah sudut negatifnya yang mana kemungkinan ia akan turut mempengaruhi penyokong sehingga mencetuskan perbalahan sesama mereka.
“Saya sangat memahami cara orang Kedah bergurau, bunyinya memang kedengaran agak kasar. Mungkin MB Kedah tidak bermaksud mempersenda atau menghina TMJ tapi dari pandangan orang luar Kedah, ia dianggap keterlaluan.
“Atas sebab itu, sebagai pemimpin, mereka perlu berhati-hati dalam percakapan. Saya bukan tujukan kepada MB Kedah tapi secara umum untuk semua pemimpin tanpa mengira status mereka.
“Sebagai pemimpin, mereka tidak boleh bersikap seperti orang kebanyakan kerana setiap tindak-tanduk dan percakapan mereka akan dinilai oleh rakyat malah boleh memperngaruhi sentimen yang mungkin membawa ketidakharmonian.
“Kita selalu menekankan kepada rakyat agar menghayati Rukun Negara, jadi sepatutnya pemimpinlah yang terlebih dahulu perlu menghayatinya terutama dalam bab Kesopanan dan Kesusilaan,” kata Zulakbal.- KitaReporters
Pemain Kedah, Asnan Ahmad (kiri) mengawal penyerang JDT, Leandro Valequez dalam aksi suku akhir pertama di Stadium Darul Aman, Alor Setar pada 14 November, 2021.