Video| Amelia Henderson, Idris Khan tak profesional! Tak kenang budi! Saya terpaksa saman! - A Aida
Published byProduser terkenal A. Aida, 52, terpaksa melakukan tindakan tidak disukainya iaitu menyaman dua pelakon, Amelia Henderson, 26, dan Idris Khan, 33, gara-gara menarik diri pada saat-saat akhir daripada drama 28 episod 'Sekali Lagi Cinta Kembali' sebagai pelakon utama.
Tindakan dua pelakon itu melanggar kontrak menyebabkan syarikat miliknya A. Aida Production (AAA) mengalami kerugian ratusan ribu ringgit kerana telah membayar peralatan dan lokasi selain bayaran awal untuk dua pelakon itu dan perlu mencari pelakon pengganti sebagai pelakon utama.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan produser A Aida
Menurut Aida, penggambaran sepatutnya dijalankan pada 16 Jun 2022 lalu, namun kedua-duanya menarik diri pada malam 15 Jun.
Idris Khan menarik diri setelah mengetahui Amelia menarik diri sebelumnya. Sedangkan Idris dan Amelia, katanya sudah lama menandatangan kontrak dan telah menerima 5 peratus bayaran.
Aida menyifatkan tindakan kedua-dua pelakon itu sangat tidak profesional apabila menarik diri pada saat akhir, serta melanggar kontrak yang sudah ditandatangani.
"Nak pujuk itu tidaklah, 'no way'. Banyak kali pengarah, Riza telefon tapi tak angkat. Jadi kami anggap memang mereka tak mahu. Ketika sesi bacaan skrip, mereka datang.
"Dah terangkan mengenai watak. Lagipun, kita dah bayar semua peralatan, lokasi dah bayar semuanya, beratus ribulah. Ini RM1 juta punya projek," ujarnya.
Aida atau nama sebenarnya Zaidah Awang, turut kecewa dengan Amelia dan Idris yang disifat tidak mengenang budi.
Beliau mendakwa Amelia mula dikenali setelah diberi peluang oleh AAP berlakon dalam drama ‘Kisah Cinta Kita’. Sementara Idris Khan diberi peluang berlakon dalam beberapa drama terbitan AAP dari ‘pelakon kayu’ ketika diperkenalkan oleh Fattah Amin kepadanya di pejabatnya beberapa tahun lalu.
Aida tampil bersama pengarah drama terbabit, Riza Baharudin dan peguam dari tetuan Zulpadli & Edham, Ashmadi Othman pada sidang media di Kuala Lumpur pada Jumaat, 24 Jun 2021.
Menurut Ashmadi, pihaknya sudah menghantar surat saman pada Rabu, 22 Jun 2022 lalu dengan menyertakan beberapa tuntutan.
"Pihak AAP ada menyebut di dalam surat tuntutan kerana Amelia dan Idris mungkir perjanjian dan ada beberapa perkara lain menyusul," jelasnya.
Aida yang merupakan bekas pelakon meminta para pelakon bersifat profesional setelah diberi tugas kerana kealpaan mereka boleh menjejaskan sesuatu penerbitan.
Baginya tindakan tegas seperti saman terpaksa diambil untuk menyedarkan para pelakon dan pihak-pihak lain yang menjejaskan penerbitan sesebuah drama atau filem.
Sebagai Timbalan Persatuan Penerbit TV, dia akan memberitahu ahli persatuan dan terserah kepada mereka untuk mengambil tindakan terhadap dua pelakon itu. - KitaReporters