Dua daripada 8 buah lori sedang mengisi air untuk dihantar ke rumah-rumah mangsa banjr di Kupang, Baling.
SEMUA keluarga mangsa banjir di Kupang merasa lega kerana masalah air untuk mandi, minum dan mencuci pakaian kini tidak lagi membebankan mereka kerana bantuan bekalan air terus dihantar ke setiap rumah di mukim tersebut.
Tiga buah kenderaan mengangkut air bersih yang telah diproses disediakan oleh pihak berkuasa dengan lapan lori disediakan untuk membawa air ke setiap rumah mangsa-mangsa banjir sekurang kurangnya dua kali sehari.
Cuma mangsa banjir perlu sediakan tong atau sebarang takungan atau bekas plastik yang boleh diisi air.
Zakari Ismail turut membantu pemandu lori untuk menyalurkan bekalan air ke takungan yang disediakan di rumahnya di Kampung Iboi, Kupang.
Beberapa penduduk mangsa banjir dan mereka yang turut terputus bekalan air ekoran banjir mengejutkan akibat kepala air pada 4 Julai 2022 lalu bersyukur kerana masalah bekalan air di rumah rumah mereka kini bukan lagi menjadi kesulitan.
Setiap hari sejak beberapa hari lalu selepas berlaku banjir besar, yang dipercayai berpunca daripada pecahan beberapa kolam dalam kawasan ladang Durian Musang King di Gunung Inas, mangsa-mangsa banjir menghadapi kesukaran mendapatkan air bersih untuk mandi, mencuci pakaian dan minuman.
Ahmad Asroh Ahmad
Seorang pemandu lori yang menghantar air ke rumah rumah mangsa banjir, Ahmad Asroh Ahmad, 49, dan 7 lagi pemandu lain yang ditugaskan menghantar air ke rumah-rumah mangsa banjir dan penduduk yang terputus bekalan air akibat banjir memberitahu, mereka bersyukur kerana dapat bertugas menghantar air pada mangsa banjir.
Menurutnya, setiap pagi dia dan rakan-rakan pemandu lori membawa air akan menyemak laluan dan kampung sasaran mareka bagi memastikan tiada mangsa banjir tidak mendapat bekalan air.
Jelas Ahmad Asroh lagi, mereka amat peka dengan kesukaran yang dihadapi mangsa banjir jika tiada bekalan air di rumah-rumah mereka.
Zakari Ismail
Seorang penduduk, Zakari Ismail, 67, dari Kampung Iboi bersyukur walaupun tidak terlibat dalam bencana banjir, namun rumahnya terputus bekalan air sejak petang banjir melanda.
Beliau berterima kasih pada pihak pengurusan Syarikat Air Darul Aman (SADA) yang begitu cepat bertindak membantu mangsa banjir dan penduduk yang tinggal dalam kawasan yang dilanda banjir yang terputus bekalan air. - KitaReporters
Bekalan air disalurkan dari lori ke tempat simpanan air di rumah mangsa banjir.