Kumpulan Arteh nafi tumpang nama Mr. Os! 12 peserta Mencari Sepahtu Yang Hilang! Siapa mereka?
Published byKumpulan Arteh - Hazwan dan Dewa (kanan) dari Perak.
GAYANYA, suaranya malah wajah Mohamad Hafizul, 25, pasti akan mengingatkan kita kepada seorang legenda pelawak terkenal, siapa lagi jika bukan Allahyarham Mr. Os atau nama sebenarnya Mohd Yusof Abdul Hamid.
Apabila Hafizul atau lebih mesra disapa Dewa bercakap dengan gaya dan suara persis Mr, Os ketika memperkenalkan diri bersama abangnya, Mohamad Hazwan sebagai salah satu daripada 12 kumpulan/peserta yang bakal bertanding dalam program ‘Mencari Sepahtu Yang Hilang’ (MSYH) bersandarkan nama kumpulan 'Arteh’, ramai yang mendengarnya akan terbayangkan Mr. Os.
Hakikatnya, mereka adalah anak-anak kepada pelawak popular itu namun menafikan kejayaan mereka ke pentas ‘MSYH’ dengan menewaskan lebih kurang 1,000 penyertaan yang memohon hingga disenaraipendekkan kepada bilangan 12 orang sahaja itu disebabkan mereka adalah anak kepada Mr. Os.
Lagi cerita-cerita menarik
“Ketika hadir uji bakat kami tidak mendedahkan identiti kami yang mempunyai pertalian darah dengan bapa kami, Mr Os dan sebenarnya kalau boleh kami tidak mahu dikatakan menumpang nama arwah bapa sebab itu kami terpilih,” ujar Dewa dan abangnya, Hazwan aka Has Yusof ketika ditemui pada sidang media program ‘Mencari Sepahtu Yang Hilang’, yang berlangsung semalam, 24 November 2021.
Turut hadir tiga anggota Sepahtu terdiri daripada Jep, Rahim dan Pak Ya yang akan bertindak sebagai juri tetap. Datin Marlia Musa dan Ebby Yus sebagai ‘mentor’ serta pelakon Ramona Zamzam selaku pengacara dan pelakon/pelawak, Jiggy Masin sebagai hos untuk edisi sisipan di belakang pentas atau di sebalik tabir “Mencari Sepahtu Yang Hilang”.
Dan bersama mereka tidak ketinggalan Pengurus Saluran Astro Warna, Noraeha Mohd Salleh (gambar bawah, tengah).
Menyambung bicara mengenai kejayaan tersenarai bersama 11 peserta lain, kata Has, persoalan itu barangkali tidak dapat disorok waima adiknya Dewa mempunyai banyak persamaan dengan arwah bapa.
Ketika majlis memperkenalkan setiap peserta, Dewa diminta menyanyikan lagu popular Mr, Os ‘Durian Dah Berbunga’ atau dalam loghat bahasa Peraknya berbunyai ‘Deghoyan Dah Berbunge di mana parsembahan serta vokalnya yang saling tak tumpah Mr. Os mendapat sorakan hadirin.
Menjawab pertanyaan platform mana yang diminatinya dalam kerjaya seninya, Dewa mahu pun abangnya, Has tidak menolak mahu mencuba pelbagai cabang seni sekiranya berpeluang atau ditawarkan,
“Seminggu sebelum bapa meninggal, arwah ada berpesan walau apa pun cabang seni yang saya pilih sama ada pelakon ke, pelawak ke waima pengarah filem sekali pun, katanya, kamu kena beringat jangan lupa diri, jangan ‘culture shock’ dan paling utama ingat dosa dan jangan tinggal solat,” ujar Dewa sambil menambah kata itu antara pesanan yang dipegangnya sampai sekarang,
Mr. Os yang memulakan kerjaya sebagai pelakon filem pada tahun 1986 menerusi filem Balik Kampung menghembuskan nafas terakhirnya pada usia 55 tahun di Hospital Selayang pada 8 April 2016.
Selain Kumpulan Arteh, 11 pesaing lain dalam ‘MSYH’ terdiri daripada Yusra (solo), Muslim (solo), Joned, Spana dan Sebat (kesemuanya peserta duo) serta Gahai, Pitu, Sepan, San, Siji dan Takal (peserta trio).
Menariknya, di antara mereka itu, seorang peserta finalis akan dipilih sebagai penerima ‘Kasut Emas’ dan berpeluang untuk diserapkan ke dalam program ‘Sepahtu Live Reunion’ bersana Jep, Rahim dan Pak Ya,’ ujar Norzeha Mohd Salleh,
Menurut Norzeha, pembahagian markah 100 peratus terdiri dari tiga (3) kategori utama; Idea (35%), Kreativiti (35%) dan Jalan Penceritaan (30%).
Penyingkiran mingguan akan dibuat ke atas kumpulan yang mendapat markah terendah.
Juara akan membawa pulang hadiah kemenangan sebanyak RM30,000 berserta trofi, manakala Naib Juara bakal membawa pulang RM15,000 berserta trofi.
Tempat ketiga pula memenangi RM9,000, keempat sebanyak RM6,000 dan kelima dengan RM3,000, kesemuanya berserta trofi sumbangan Astro.
Jadi nantikan siapakah juaranya pada program ‘MSYB’ yang akan mula bersiaran pada setiap hari Khamis mulai 2 Disember 2021, 9.00 malam, secara langsung menerusi saluran komedi, Astro Warna (107). - KitaReporters