PKP buka pintu rezeki! Pau Gebu Panas Samah @ Man laku keras
Published byENGGAN duduk sahaja tanpa melakukan sebarang aktiviti mengeluarkan peluh, mendorong seorang pesara swasta memanfaatkan tempat letak kereta dalam halaman rumah dengan menjual Pau Gebu Panas sejak tiga bulan lalu. Kini Pau Gebu Panas semakin panas dalam kalangan jiran-jirannya di Rembau, Negeri Sembilan. : KitaReporters
Lagi cerita-cerita berkaitan pengusaha:
https://kitareporters.com/search?search=pengusaha
Pesara itu, Abdul Samah Abdul Samad menganggap usaha menjalankan perniagaan pau tersebut ibarat satu hikmah di sebalik pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) oleh kerajaan bagi menyekat penularan Covid-19 yang membantunya mengurangkan stres apabila terpaksa berkurung di dalam rumah.
Abdul Samah Abdul Samad memulakan bisnes Pau Gebu Panas seawal jam 11 pagi.
Selain mendatangkan sumber rezeki bagi menampung kos perbelanjaan harian, bisnes Pau Gebu Panas itu mengeratkan hubungan silaturahim beliau dengan jiran tetangga selepas menetap di Lorong PP7, Taman Pinggiran Pedas, Rembau sebaik sahaja bersara tahun 2017.
Beliau
menjual Pau Gebu Panas yang berinti
kaya, kacang, kelapa, coklat, ayam dan daging.
Abdul Samah, berkata dia akan memulakan bisnes itu seawal pukul 11 pagi dengan mengeluarkan pau daripada peti sejuk beku untuk dinyah beku bagi memastikan inti pau itu mudah masak apabila melalui proses mengukus.
Abdul Samah turut menjual Apam Daun Rambai atau Apam Johol yang turut mendapat sambutan.
Menurutnya, sejak sebulan lalu pula, beliau turut menjual Apam Daun Rambai atau Apam Johol yang akan dikukus bersama-sama pau yang turut mendapat sambutan daripada orang ramai yang tinggal sekitar taman itu.
Katanya, sementara menunggu pau dan apam itu masak dia akan melihat tempahan melalui WhatsApp daripada orang ramai termasuk mereka yang tinggal beberapa kilometer daripada taman itu yang memerlukan beliau membuat penghantaran segera.
Abdul Samah membuat penghantaran ke rumah penduduk yang membuat tempahan menerusi WhatsApp atau telefon.
“Saya berasa seronok menjalankan bisnes pau dan apam kerana dapat membantu penduduk khusus di taman ini menikmati juadah minum petang bersama-sama keluarga tanpa perlu ke pekan dalam keadaan PKP sekarang.
“Bisnes ini pula bersesuaian dengan umur saya yang kian tidak bertenaga untuk membuat kerja berat di samping berganding bahu dengan isteri Jamiah Baharudin bagi melayani pelanggan yang datang membeli pau atau apam,” katanya.
Penduduk datang membeli Pau Gebu Panas atau Apam Johol daripada Abdul Samah.
Abdul Samah yang turut dikenali dengan nama Man, berkata bekalan pau itu diperoleh daripada seorang pengusaha Melayu di Ampangan, Seremban, manakala apam dibekalkan jiran yang secara tidak langsung membantu mereka memasarkan makanan itu ketika PKP sekarang.
“Saya akan mengambil bekalan itu bagi tempoh dua atau tiga hari sekali, bagaimanapun jika bekalan itu hampir habis saya akan menghubungi mereka untuk membuat penghantaran segera supaya dapat memenuhi permintaan pelanggan.
Abdul Samah mendapatkan bekalan pau daripada pengusaha Melayu dari Ampangan, Seremban manakala apam dibuat oleh jirannya.
“Pada hari Jumaat saya berhenti bisnes ini untuk berehat dan akan memulakan semua pada hari Sabtu hingga Khamis setiap minggu.
“Apabila memulakan semula pada hari Sabtu, saya sudah menerima banyak tempahan dan panggilan telefon daripada pelanggan yang bertanyakan bisnes pau dan apam itu sudah dibuka atau belum ,” katanya.
Pau Gebu Panas dan Apam Daun Rambai Abdul Samah menjadi juadah pilihan minum petang penduduk di tamannya.
Kepada mereka yang ingin membuat tempahan atau membeli Pau Gebu Panas dan Apam Daun Rambai boleh menghubungi Abdul Samah atau Man menerusi telefon 013-3844885 atau 012-3319413 (Jamiah). - KitaReporters