Gambar hiasan... Polis percaya daun ketum berkenaan akan diseludup ke Thailand menggunakan lorong tikus.


HELAH seorang remaja lelaki dengan cara menyeludup ketum di dalam timbunan rumput yang ditarik dengan motosikal yang dinaikinya di Kaki Bukit di Padang Besar terbongkar selepas dia ditahan oleh polis, pada Ahad, 6 Jun 2021.

Ketua Polis Daerah Padang Besar, Superitendan Saifudin Aslin Abbas berkata, dalam sekatan jalan raya itu pihak polis menemukan 315 bungkusan kecil daun ketum yang dibawa oleh remaja berusia 19 tahun berkenaan.

“Remaja berkenaan ditahan kira-kira jam 5.45 petang Ahad (6 Jun 2021) di sekatan jalan raya di Kaki Bukit dan hasil pemeriksaan polis menjumpai 315 bungkusan kecil berisi daun dipercayai daun ketum seberat 70 kilogram disembunyikan dalam timbunan muatan rumput berkenaan," katanya seperti dipetik oleh Berita Harian pada Isnin, 7 Jun 2021.

Saifudin berkata, siasatan awal mendapati remaja lelaki berkenaan cuba membawa bekalan daun ketum ke Kampung Wang Kelian kira-kira 10 kilometer dari jalan Kaki Bukit.

"Kita percaya suspek akan serahkan bahan rampasan itu kepada seseorang di kampung berkenaan, manakala bekalan daun ketum itu pula akan diseludup ke Thailand menggunakan lorong tikus di sekitar Wang Kelian. 

"Rampasan dianggarkan bernilai RM2,100," katanya lagi.

Suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952. - KitaReporters


Lagi berita-berita terkini dalam KitaReporter

1
0
0
0
0

Copy Link: