Video| Zul Ariffin, Uyaina Arshad tak serupa tapi sama! Cari keserasian dalam drama Love Elsa
Published byAPABIL seorang pelakon yang boleh dikatakan masih hijau dalam dunia lakonan, Uyaina Arshad, 28, digandingkan dengan pasangan pelakon popular dan berpengalaman seperti Zul Ariffin, 34, sudah tentu perasaan gementar itu dirasai Uyaina, Tak begitu?
Lebih-lebih lagi apabila ditawarkan watak utama dan buat julung kalinya pula dapat ‘hero’ terkenal macam Zul Ariffin. Apa perasaan?
“Ketika mendapat tahu akan berlakon bersama Zul Ariffin, sudah tentu saya rasa takut nak masuk set apatah lagi ini gandingan pertama saya bersama dengan seorang nama besar dalam bidang lakonan,” cerita Uyaina atau nama penuhnya, Saidatul Naseha Uyaina Arshad dalam sidang media drama ‘Love Elsa’ secara virtual baru-baru ini yang turut dihadiri Zul Ariffin.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Uyaina Arshad
Drama bersiri ‘Love Elsa’, sebuah karya adaptasi novel nukilan Acik Lana merupakan pertaruhan terbaharu daripada pengarah prolifik Michael Ang yang mengangkat genre fantasi cinta ala-ala drama Korea, terbitan syarikat produksi Juita Viden Sdn Bhd.
Ia sudah mula menemui penonton pada setap hari Isnin hingga Khamis, jam 10 malam menerusi slot Megadrama di saluran Astro Ria (104) menggantikan drama sensasi ‘Rindu Awak Separuh Nyawa'.
Pendek kata, bukan sahaja Uyaina yang rasa gementar dengan keupayaannya berlakon di samping Zul Ariffin tetapi tempias itu turut menjadi satu kerisauan kepada Michael Ang sendiri terhadap gandingan pilihannya itu.
“Pada mulanya saya gementar juga kerana ‘chemistry’ antara mereka agak lambat untuk muncul. Namun perasaan tersebut tidak lama kerana kegusaran itu terus hilang apabila kedua-dua teraju utama saya saling ‘memberi’ dan memudahkan keseluruhan penggambaran,” lapor Michael Ang (gambar bawah, tengah).
Terbukti gandingan julung kalinya ini dilihat serasi walau pun barangkali ini antara drama yang dilihat Zul Ariffin tidak melakonkan babak sentuhan ‘berani’ ketika bersama pasangannya apatah lagi bersama pelakon berhijab yang memohon agar tiada adegan bersentuhan berlaku.
“Jika ada sentuhan yang dipertontonkan itu adalah melalui kamera trick. Nampak macam ada sentuhan tetapi sebenarya tidak,” sambung Uyaina sambil melahirkan rasa seronoknya di set apabila mendapati Zul Ariffin sebenarnya seorang yang suka menyakat dan mesra malah saling membantu.
“Itu menyebabkan saya rasa cepat dan mudah menjalinkan keserasian bersama Zul Ariffin,” akui Uyaina yang mula berkecimpung dalam dunia seni selepas dinobatkan Juara ‘Pencarian Nona Manis 2015’ walau pun berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Undang-undang dari Universiti Malaya.Bercerita lanjut, katanya, antara babak paling mencabar dan rasa gementar adalah ketika penggambaran montaj yang memerlukannya berenang di dalam air bersama ikan-ikan.
Dan bagi Zul Ariffin, beliau menghormati prinsip Uyaina yang tidak mahu bersentuhan.
“Tiada masalah, kalau tak perlu bersentuhan tak perlu buat kerana adegan bersentuhan dan pegang tidak semestinya menjanjikan apa-apa kesan malah keserasian bukan diperoleh sebab itu,” balas Zul Ariffin.
Namun ironinya korang sedar tak bahawa di sebalik latar belakang kedua-dua pelakon ini, Zul Ariffin dan Uyaina memiliki ‘keserasian’ dalam kehidupan mereka.
Zul dan Uyaina merupakan anak bongsu dalam empat beradik. Jika Zul mempunyai dua kakak dan seorang abang, Uyaina pula adalah adik bongsu kepada dua abang dan seorang kakak.
Antara babak-babak lakonan mereka dalam drama 'Love Elsa'.
Persamaannya lebih ketara apabila Zul pernah memendam cita-cita untuk menjadi anggota Tentera Laut Diraja Malaysia tetapi tidak layak akibat kecederaan patah pada bahu sedangkan Uyaina pula mempunyai seorang ayah, berjawatan pegawai tentera laut.
Ayah Uyaina, Arshad Ibrahim meninggal dunia di New Zealand pada usia 37 tahun dalam tahun 1997 sewaktu menjalankan tugas sebagai pegawai tentera laut ketika Uyaina berusia 5 tahun.
Sejak itu, ibunya, Siti Noor Farah Al-Wafa tidak pernah berkahwin lagi sehingga kini manakala Zul Ariffin pula kehilangan ibu tercinta, Robiah Nasir yang meninggal dunia pada 5 Disember 2017 akibat penyakit jantung.
Selain itu, kedua pelakon yatim piatu ini berasal dari Perak iaitu Zul dilahirkan pada bulan Oktober 1986 di Taiping manakala Uyaina pada bulan November 1992 di Kuala Kangsa, yang cuma 24km jarak kejauhannya kedua-dua bandar ini.
Tak sangka kan? Kebetulan ada persamaan pada biodata kedua-dua bintang popular ini.
Cuma yang membezakan, Uyaina sudah pun dirisik oleh penyanyi Raja Syahiran Raja Azhanrianshah (gambar atas), 28, untuk dijadikan teman sehidup semati, manakala Zul Ariffin yang khabarnya mempunyai seorang kekasih bukan beragama Islam, berpegang kepada prinsip untuk tidak mendedahkan siapakah wanita bertuah yang berjaya mencuri hatinya sehingga tiba waktunya.
Apa pun tahniah terlebih dahulu kepada kedua-duanya. Bila kah perkahwinan yang dirancang masih 'rahsia'. - KitaReporters
Adakah wanita ini bakal isteri Zul Ariffin? - Kredit foto: Youtube kisahdisebaliksuara.