Bekas wartawan belajar tulis skrip! Bengkel Penulisan D’Klik!
Published byBIDANG penulisan yang berbeza namun menarik perhatian beberapa bekas wartawan akhbar untuk menimba ilmu penulisan skrip drama televisyen (TV) dan radio sebagai usaha menjana pendapatan selepas berhenti kerja secara sukarela. Kehadiran mereka memeriahkan lagi perjalanan Bengkel Penulisan D’Klik 2.0. : KitaReporters
Penyertaan beberapa bekas wartawan memberi suntikan semangat kepada peserta bengkel itu.
Lagi kisah-kisah berkaitan penulisan:
https://kitareporters.com/search?search=penulisan
Bengkel anjuran Zahanna Adamm Enterprise dengan kerjasama Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Melaka (JKKN) itu berlangsung di hotel terkemuka di Melaka pada 12 dan 13 Disember 2020 lalu.
Pengarah projek bengkel itu, Zanahariah Jaafar, berkata pembabitan beberapa wartawan itu turut menyuntik semangat peserta lain bengkel itu khusus dalam kalangan guru, usahawan, penggiat seni, pelakon dan penulis novel.
Menurutnya, wartawan terbabit melahirkan rasa berpuas hati dengan perjalanan bengkel berkenaan kerana telus dalam menyampaikan pelbagai maklumat yang berguna untuk menghasilkan skrip drama TV dan radio.
Zanahariah Jaafar
“Mereka
berasa teruja untuk terbabit secara langsung dalam menghasilkan penulisan skrip
yang berkualiti dan bermutu untuk TV atau radio sebagai bidang baharu bagi
menjana sumber pendapatan,” katanya.
Bengkel selama dua hari itu dibimbing oleh penulis novel dan skrip drama, pengarah dan penerbit drama serta teater, Siti Rohayah Atan dan Aminah Mokhtar. Bengkel itu disertai 23 peserta, manakala sebahagian lagi tidak dapat hadir berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Pengarah JKKN Negeri Melaka, Ezlina Alias (kiri) bersama penulis novel Rohani Deraman atau nama pena Fida Rohani menunjukkan novel yang akan diadaptasi menjadi skrip drama.
Zanahariah berkata, bengkel itu mendedahkan kepada peserta kaedah menulis skrip drama yang baik terutama bagi menarik perhatian penonton jika disiarkan di TV, manakala pendengar pula akan terpegun apabila mendengar melalui corong radio.
Menurut beliau, bengkel itu juga memberi inspirasi kepada mereka yang sudah bergiat aktif menulis novel cara untuk mengadaptasi karya mereka kepada skrip drama tv dan radio sehingga menarik perhatian penonton atau pendengar.
Seorang peserta sedang membentangkan karya skrip drama dalam bengkel itu di depan pembimbing dan peserta lain.
Katanya, setiap peserta diberi modul yang akan membabitkan pengisian seperti gerak kerja berkumpulan termasuk latihan dan membuat persembahan berdasarkan skrip yang dihasilkan bagi meningkatkan kefahaman dan kemahiran.
“Pada akhir
bengkel itu pembimbing akan membuat penilaian skrip yang dihasilkan dari
pelbagai segi dan kelemahan yang perlu diatasi oleh peserta dalam menghasilkan
karya berkualiti dan bermutu.
“Bengkel berlangsung dalam suasana santai dan setiap peserta diberi peluang melontarkan pandangan mereka apabila skrip yang dihasilkan dikritik pembimbing bagi mencari penyelesaian terbaik dan memperbaiki kesilapan,” katanya. - KitaReporters
Peserta menunjukkan sijil penghargaan yang diterima selepas dua hari menyertai Bengkel Penulisan D’Klik 2.0.
Sebahagian daripada peserta Bengkel Penulisan D’Klik 2.0.