Video| Menarik ni! Jamal Abdillah sedia duet tapi ada syarat! Aliff Syukri sahut cabaran Mokhzani!
Published byJika legenda rock, Datuk Awie, 53, bereaksi sinis untuk diduetkan dengan selebriti sensasi Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman, 35, lain pula ceritanya bagi Raja Pop, Datuk Jamal Abdillah, 63.
Baginya yang penting nyanyian Aliff tidak sumbang, soal suara sedap itu nombor dua.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan penyanyhi legenda Jamal Abdillah
"Saya tak kisah dan sedia terima pelawaan Datuk Seri Aliff Syukri untuk berduet. Namun dia perlu ikut syarat yang ditetapkan," kata Jamal Abdillah.
"Bukan dia sahaja, malah sesiapa sahaja boleh berduet dengan saya tapi nyanyiannya mesti sepenuh hati selain tidak sumbang. Itu yang paling utama.
"Pada saya, apa yang dibuat ini adalah satu penghormatan, ikut trend semasa dan saya pun kekal relevan untuk bersama-sama berada di persada.
Menurut penyanyi bergelar Raja Pop ini, semua orang tahu Aliff bukan penyanyi dan apa yang dilakukan ialah sebagai strategi promosi bisnesnya.
"Sekiranya ditakdirkan kami berduet, dia tak perlu pun belajar dengan guru vokal. Cuma saya akan turunkan 'key' suara biar seimbang dengan usahawan terbabit.
"Sebenarnya semua pihak perlu berlapang dada kerana ia hanya sebahagian daripada strategi perniagaan. Kita tak boleh salahkan dia kalau dia berbuat demikian kerana usahawan harus menggunakan pelbagai kaedah untuk melariskan produk," katanya yang ditemui media pada majlis pelancaran produk kosmetik Zarania Beauty pada Selasa, 23 Ogos 2022.
Jamal bersama isterinya, Datin Zai Izzati Khiruddin menjadi rakan kongsi bagi produk kecantikan itu.
"Sesiapa pun bebas nak menyanyi. Tiada masalah jika dia menggunakan cara ini untuk perniagaannya." katanya.
Sementara itu, Aliff Sukri membuktikan keseriusannya untuk menjadi penyanyi, bukan sekadar hobi. Untuk itu, Aliff Syukri berkata beliau sedia berjumpa tokoh muzik tanah air, Datuk Mokhzani Ismail untuk mendapat panduan.
"Jangan nanti saya dah menuntut ilmu orang masih tak hargai bakat saya ya. Ok Dato Mokhzani jom kita berjumpa. Saya sedia menuntut ilmu untuk menghasilkan karya seni yang lebih baik untuk rakyat Malaysia."
Terdahulu, Mokhzani menerusi hantaran dalam media sosial menjelaskan tular atau trending bukanlah penentu kualiti sesebuah lagu. Dia turut menawarkan diri untuk menjaga vokal Aliff secara percuma sekiranya berhasrat untuk terus menghasilkan lagu selepas ini.
Kedua-dua mereka dilihat berbincang sesama sendiri apabila Mokhzani berkongsi semula hantaran berkenaan menerusi Instagram.
"Insya-Allah, sama-sama kita belajarlah. Dato ajarkan saya meniaga," tulisnya yang cuba bergurau.
Mokhzani seterusnya membalas, "Insya-Allah Dato Seri selepas selesai tugas Hari Merdeka saya nanti, boleh kita jumpa. Banyak guru-guru vokal terbaik negara saya boleh cadangkan untuk kaedah terbaik vokal 'projection' untuk penambahbaikan.
"Ada cikgu Sarah Ismail, Dia Fadila, Siti Hajar, Datuk Syafinaz, Cikgu Delly, Cikgu Juanita dan banyak lagi yang bertauliah. Semangat kental Dato Seri saya yakin mampu mengubah segalanya," kata konduktor, pencipta lagu dan pemain piano tersohor itu.
Mokhzani juga memohon maaf sekiranya tegurannya membuat Aliff terasa hati.
"Saya tegur untuk kebaikan. Bina sikap positif dan terus melangkah. Semua orang termasuk saya datang dari bawah dan masing-masing lalu jalan berliku untuk berjaya.
"Tak apa Dato Seri dah berjaya bidang perniagaan. Cuma bidang muzik adalah satu bidang yang berlainan dan perlu semangat yang kental. Akan mengambil masa sedikit bergantung kepada bakat dan usaha berganda. Selamat mencuba," tulisnya. - KitaReporters