Piala Malaysia 2022: Terengganu FC tepati ramalan ke separuh akhir! Tundukkan bekas juara KL City FC!
Published byTERENGGANU FC menepati ramalan apabila berjaya mara ke separuh akhir selepas menundukkan Kuala Lumpur (KL) City FC 4-1 secara agregat dalam perlawanan kedua suku akhir Piala Malaysia 2022 yang berlangsung di Stadium Mizan Zainal Abidin pada 12 November 2022.
Bermain di halaman sendiri ternyata memberi kelebihan buat Terengganu dan mereka berjaya menguasai 15 minit awal permainan dengan serangan bertali arus. KL City sekali sekala cuba mengatur serangan namun beberapa gerakan mudah dipatahkan oleh pemain Terengganu.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan
Pemain tengah tuan rumah, Manuel Ott membuka tirai jaringan pada minit ke-21 untuk meletakkan Terengganu di hadapan 1-0 ,sekali gus memberi kelebihan gol untuk pasukan mereka.
Tersentak dengan jaringan itu, KL City menyusun kembali permainan dan beberapa kali dapat melakukan percubaan bahaya ke kubu Terengganu.
Beberapa minit sebelum tamat separuh masa pertama, KL City terus menyerang dan mereka berjaya menyamakan kedudukan menerusi Haqimi Rosli pada minit ke-46 untuk menghidupkan kembali harapan skuad Warga Kota.
Bersambung babak kedua, KL City lebih bersemangat dalam menyerang untuk mencari gol penyamaan sehingga memberi bahaya kepada barisan pertahanan Terengganu.
Terengganu kembali mendahului perlawanan apabila Tchetche Kipre meledak gol kedua tuan rumah pada minit ke-62 dan penjaring terbanyak Piala Malaysia setakat ini, Kpah Sherman melengkapkan kemenangan tuan rumah dengan jaringan ketiga pada minit ke-89.
KL City yang cuba bangkit pada hujung permainan ternyata sudah terlewat buat mereka dan terpaksa menerima kekalahan ini dan tidak dapat mengekalkan piala yang dimenangi pada tahun lepas (2021).
Terengganu akan bertemu Selangor pada separuh akhir kedua untuk menentukan slot ke perlawanan akhir. - KitaReporters
Kredit Foto : FB MFL