Video| Raya ni, Balik Kampung... Gosip Raya! Lagu raya Sherry Alhadad dan Ain Edruce! Kisah lucu!
Published by.
Jika pada awal 80-an dahulu setiap kali menghampiri bulan Syawal, lagu Allahyarham Sudirman Arshad, ‘Balik Kampung’ sering menjadi halwa telinga pendengar walaupun hakikatnya asal usul lagu tersebut dicipta sebagai lagu promosi supaya pengundi balik ke kampung halaman untuk mengundi.
Namun setiap kali tiba musim perayaan lagu itu tetap menjadi pilihan apatah lagi apabila ia disuntik dengan elemen sama seperti yang selaku kita rasai sewaktu pulang berhari raya di kampung halaman.
Terkini, dua dekad kemudian, elemen ‘balik kampung’ masih menjadi lirik utama untuk dinyanyikan namun bezanya kali ini dengan kecanggihan era digital dalam generasi baharu, timbul pula situasi di mana bila berkumpulnya kaum keluarga dan sahabat handal tentunya ada cerita yang ingin dikongsikan, tambah-tambah bab gosip.
Ain Edruce dan Sherry Alhadad (kanan) bergabung dalam single 'Balik Kampung... Gosip Raya'.
Sehubungan itu, timbul idea daripada pihak Sony Music Entertainment Malaysia khususnya Pengarah Urusannya, Kenny Ong untuk menghasilkan sebuah rakaman lagu raya menyatukan kisah balik kampung dan gosip berjudul ‘Balik Kampung… Gosip Raya’.
Dan untuk sebuah lagu rancak berdasarkan kisah realiti mencuit hati seperti itu, terbayang wajah dua nama besar dalam industri hiburan yang bukannya penyanyi profesional tetapi dilihat mampu memeriahkan lagu raya paling ‘havoc’ tahun ini (2025) iaitu pengacara Sherry Alhadad dan Ain Edruce.
“Saya melihat kedua-dua mereka artis yang sesuai untuk menyampaikan single raya ini yang mampu membangkitkan kisah lucu yang boleh dikaitkan dengan lagu penuh drama sebegini sekali gus membayangkan satu tradisi raya yang menyeronokkan, berkongsi cerita dan berbalas gurauan perayaan,” kata Kenny Ong ketika ditemui bersama Sherry dan Ain pada majlis pelancaran lagu ‘Balik Kampung… Gosip Raya’ bertempat di pusat membeli-belah AEON Taman Maluri pada 20 Februari 2025.
Turut hadir Ketua Pegawai Dagangan dan Pemasaran AEON Malaysia, Low Ngai Yuen; Pengurus Besar Softline Merchandising, AEON Co. (M), Natsuko Morishige; dan Pengurus Besar, Bahagian Pemasarannya, Haizon Haini Mokhtar.
Pelancaran tersebut yang mendapat kerjasama daripada AEON dengan majlis bertemakan ‘Seloka Raya’ - Dari Dulu Hingga Kini’ turut memperagakan koleksi fesyen raya AEON, dari baju kurung elegan dan kebaya berwarna-warni hingga kaftan kontemporari dan siluet moden,menggambarkan semangat nostalgia yang dipadukan dengan keceriaan perayaan.
Kerjasama ini menonjolkan komitmen AEON dalam meraikan tradisi raya yang abadi melalui keindahan fesyen Raya berkenaan.
“Di AEON, kami memilih untuk bekerjasama dengan Sony Music Malaysia kerana keupayaan mereka menggabungkan budaya dengan muzik kontemporari secara kreatif. Keunikan Sony dalam menghasilkan muzik yang merentasi generasi selari dengan tema Raya AEON tahun ini,” ujar Ngai Yuen.
Beliau berpendapat istilah ‘Seloka’ melambangkan penceritaan yang santai dan bersahaja—pertukaran kata yang bijak, puitis, serta lucu dan kehangatan—persis lagu ‘Balik Kampung...Gosip Raya’ oleh Sherry dan Ain.
“Kerjasama ini mengingatkan kita bahawa walaupun zaman berubah - dari trend, gaya sehingga cara kita menyambut Raya - inti pati perayaan tetap sama, iaitu berkongsi kegembiraan dan mencipta kenangan bersama insan tersayang,” tambah Ngai Yuen.
Antara koleksi fesyen Raya AEON untuk seisi keluarga. - Foto FAS.
'Balik Kampung...Gosip Raya’ juga mentakrifkan semula maksud ‘gosip’ - bukan sekadar berbual kosong, tetapi sebuah perkongsian cerita, tawa, dan perkembangan hidup yang mengeratkan hubungan serta mencipta kegembiraan bersama. Ia tentang meraikan hubungan - antara keluarga dan sahabat, merentasi generasi lama dan baharu.
Daripada soalan klasik seperti “Bila nak kahwin?” sehingga usikan nakal seperti “Eh, nampak macam dah naik berat badan?” atau “Dengar cerita anak jiran dapat markah tertinggi - anak kamu macam mana?”, perbualan sebegini sering digelar ‘gosip’, tetapi hakikatnya, ia lebih kepada mengeratkan hubungan.
Dan, kegembiraan sebenar raya tercipta apabila gurauan ini kekal ringan dan menyeronokkan - dipenuhi dengan kasih sayang, bukan rasa malu - kerana perbualan yang paling bermakna ialah yang berlandaskan rasa hormat dan kehangatan kebersamaan.
Pendek kata, menampilkan Sherry dan Ain yang bukan penyanyi profesional menepati konsep lagu yang lucu tetapi bermesej ini.
“Ketika Sony Music menyatakan hasrat mereka tentang sebuah lagu Raya, pertama kali mendengarnya terus saya katakan ‘Yes!’ Tanpa berfikir panjang, saya pun terus setuju, begitu juga dengan Ain, dan semuanya siap dalam masa sebulan,” kongsi Sherry.
Ain pula menambah kata, “Kami berdua bukannya penyanyi profesional, jadi setiap kali selesai rakaman, pasti ada sesi gelak ketawa. Kadang-kadang sampai susah untuk diteruskan kerana kami ketawa terlampau lama.”
Rakaman lagu ini sendiri penuh dengan keletah Ain dan Sherry yang sememangnya sinonim dengan gaya selamba dan humor mereka.
“Paling lucu, apabila kami mendengar semula rakaman suara, kami sendiri tidak boleh bezakan! ‘Ini suara Ain atau saya?’ Sehingga perlu bertanya pada komposer untuk pastikan. Nasib baik ada penerbit vokal, Afif Tirmizie yang membantu di studio rakaman, kalau tidak... ‘ke lautlah’ lagu ini,” cerita Sherry dalam gelak ketawa.
Sebagai sebuah lagu yang mencerminkan realiti perbualan raya, Ain dan Sherry berharap Balik Kampung...Gosip Raya akan menjadi lagu wajib dalam senarai putar Aidilfitri pada tahun ini (2025).
“Kami mahukan semua yang mendengar lagu ini akan terhibur, dan kalau boleh nyanyikan bersama-sama ketika dalam perjalanan pulang ke kampung. Pastinya akan lebih meriah!” kata Ain.
Sambung Sherry , “Saya berharap lagu ini bukan sekadar hiburan semata-mata, tetapi sebagai ‘wake-up call’. Bukankah lebih baik kalau kita fokus pada menikmati hidangan raya daripada sibuk bergosip tentang orang lain? Jadi, kalau tidak mahu menjadi bahan gosip, eloklah dengarkan lagu ini dan ambil iktibar” katanya dalam nada teruja.
Selain Ain dan Sherry, video muzik (MV) lagu ini turut menampilkan Hafiz Hamidun, Vanessa Reynauld, Adrianna Cinta dan bintang hip hop terkenal, Kidd Santhe, memeriahkan suasana. - KitaReporters