Latihan bagi pertajam rejaman! Perlawanan persahabatan LPPSA dan Tim Media! Hadapi kejohanan PSKK!
Published byTIM Media mendapat kepercayaan sebagai rakan sepelatih dalam menajamkan persediaan pihak lain termasuk pasukan Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) pada 26 Julai 2024 yang akan menghadapi Pesta Sukan Kementerian Kewangan (PSKK) Ke-46.
Tim Media yang menggabungkan pengamal media atas talian, kakitangan agensi Kementerian Komunikasi (K-Kom), syarikat cetak dan artis bebas ini turut berpeluang menggilap kembali sentuhan mereka sejak berehat sepanjang Jun 2024 menerusi perlawanan persahabatan sepak takraw dengan LPPSA di Presint 18, Putrajaya ini.
TIM Media (kiri) diketuai Khairul Azra Ghazali (berdiri, empat dari kiri) manakala pasukan LPPSA dibimbing oleh Mohd. Hafizie Manap (berdiri, tujuh dari kiri). - Kredit foto: KFM/LPPSA
Mohd. Hafizie Manap
Pasukan sepak takraw LPPSA yang dikendalikan oleh bekas apit kiri atau pengumpan skuad negara pemenang pingat perak Sukan Asia Guangzhou 2010, Mohd. Hafizie Manap bakal beraksi pada PSSK dari 10 hingga 17 Ogos ini di Arena Universiti Malaya, Kuala Lumpur.
LPPSA pada 2 Ogos 2024 telah menjalani satu lagi pemanas badan dengan pasukan Kementerian Kewangan (MoF) juga di Presint 18.
APIT kanan Tim Media, Nazizul Najhan Saarani (dua dari kiri) membuat rejaman gunting yang cuba ditampan pemain pasukan LPPSA sambil diawasi Noorshafik Othman (kiri).
Mereka merupakan antara 13 agensi MOF yang akan menyertai PSSK 2024 yang dianjurkan secara dwitahunan.
LPPSA juga menjadi tuan rumah PSSK Ke-46 ini bersama-sama Bursa Malaysia Berhad dan Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM) dengan 12 lagi jenis sukan turut dipertanding iaitu bola sepak, olahraga, golf, bola jaring, pingpong, futsal, boling dan badminton.
Antara agensi MoF yang turut bersaing termasuk Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (KDRM) dan Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH).
“Pasukan LPPSA menzahirkan terima kasih kepada Tim Media kerana sudi mengadakan perlawanan persahabatan tersebut walaupun keputusannya kurang menyebelahi kami selepas hanya menjalani latihan kurang sebulan.
“Dua perlawanan pemanas badan ini juga memberi kami, pendedahan suasana pertandingan sekali gus mengeratkan silaturahim kedua-dua pasukan,” kata Hafizie, 40, pemenang Kejohanan Kebangsaan Piala Emas Khir Johari 2010 dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
TAMPANAN apit kanan pasukan LPPSA (kanan) terhadap libasan Nazizul Najhan Saarani tepat menjamah kawasan Tim Media.
Tim Media pula sedang dalam perancangan menghidupkan kembali Rejam Media 2024 - sebuah kejohanan sepak takraw antara syarikat media, badan sukarela media dan agensi K-Kom kemungkinan pada akhir 2024.
Berformat liga dan kalah singkir antara regu, kejohanan yang dijadualkan di Lembah Klang ini mungkin turut mengundang wakil media Thailand, Singapura dan Brunei.
Kali akhir Tim Media atau asalnya, Kelab Sepak Takraw Media Massa (Keris) melangsungkan Rejam Media-Keris ialah pada 2015 di Kompleks Sukan Majlis Sukan Negara (MSN), Taman Keramat, Kuala Lumpur. - KitaReporters
TIM Media (kiri) dan pasukan LPPSA mempamerkan semangat persaingan dan kesukanan sihat dalam perlawanan persahabatan di Presint 18, Putrajaya pada 26 Julai 2024. - Kredit foto: KFM/LPPSA