Piala Malaysia 2023: Skuad muda Perak berjaya ke separuh akhir bertemu JDT! Tamatkan cabaran Sabah!
Published byPerak terus melakukan kejutan dalam kempen Piala Malaysia musim 2023 ini apabila menjadikan Sabah mangsa seterusnya selepas menewaskan lawan 1-0 pada suku akhir kedua di Stadium Ipoh pada 25 September 2023.
Kemenangan itu menjadikan agregat 3-2 sekali gus menghantar Perak ke separuh akhir dan akan bertemu juara bertahan, Johor Darul Ta'zim (JDT) FC.
Terikat dua sama pada suku akhir pertama di Stadium Likas, Sabah yang berkunjung ke Perak pada awalnya dilihat tiada masalah untuk mencatat kemenangan.
Namun lain pula terjadi apabila tuan rumah lebih bersemangat dan begitu disiplin dalam permainan mereka sehingga memberi kesukaran kepada pelawat.
Satu jaringan daripada Wan Zack Haikal pada minit ke-45 sudah cukup untuk mengecewakan wakil Piala AFC 2023 di hadapan penyokong setia Perak.
Biarpun pelbagai cara digunakan untuk bangkit, anak buah Yusri Che Lah nampak lebih yakin dalam mengawal permainan dan mempertahan kelebihan jaringan itu sehingga memberi tekanan kepada Sabah.
Biarpun hanya dibarisi pemain muda dan tiada ramai pemain berpengalaman jika dibandingkan dengan wakil dari Borneo itu, tetapi semangat juang mereka lebih baik.
Wan Zack menjadi wira Perak membantu pasukannya ke separuh akhir Piala Malaysia musim ini. - Kredit foto: Facebook MFL
Separuh akhir pertama nanti akan berlangsung pada 20 Oktober 2023 dan Perak akan berkunjung ke gelanggang Harimau Selatan terlebih dahulu.
Terengganu pula akan menerima kunjungan Kuala Lumpur City di Kuala Terengganu. - KitaReporters