Video| Yang Remeh Temeh masih memikat! Ariff ingin berjaya sebagai busker seperti Pak Pandir!

Published by
KitaReporters

Suhaimi Kamarul Ghani (duduk) bersama arwah Pak Pandir (Azmi Ali) ketika membuat persembahan buskers tidak berapa lama dulu.


PENGALAMAN lebih 20 tahun membuat persembahan busker dengan Allahyarham Azmi Ali atau Pak Pandir mendorong Suhaimi Kamarul Ghani melebarkan bakat itu kepada anaknya Muhammad Ariff untuk berjinak dalam muzik itu sejak beberapa tahun lalu.

Beliau beranggapan muzik itu secara tidak langsung dapat mengekang anaknya daripada melakukan perkara tidak bermanfaat selepas waktu kerja atau hujung minggu sebaliknya menghiburkan orang ramai walaupun bakat tidak didendangkan.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan buskers

Muhammad Ariff (tengah) bersama bapanya Suhaimi Kamarul Ghani (kiri) dan Muhammad Khairul Ashraf Wahab ketika membuat persembahan busking pada satu majlis di Semenyih, Selangor baru-baru ini.



Suhaimi berkata, sebelum bersama arwah Pak Pandir yang popular dengan lagu Yang Remeh Temeh, beliau sudah menubuhkan kumpulan muzik yang dikenal dengan nama The Malay Boys ketika bekerja di negara Finland pada tahun 1982.

Menurutnya, kumpulan itu diberi peluang untuk membuat persembahan di beberapa pub dan mendapat sambutan baik sebelum dia pulang ke tanah air beberapa tahun berikutnya dan menyertai arwah Pak Pandir.

Bersama arwah, beliau membuat persembahan buskering di beberapa pusat beli-belah sekitar bandar Kajang, Selangor di samping menerima undangan menyanyi dalam majlis tertentu dan pada hujung minggu, Muhammad Ariff selalu ikut serta.


Suhaimi dan Muhammad Ariff berehat seketika selepas membuat persembahan buskering.


“Anak saya mengambil kesempatan ini untuk mempelajari beberapa alat muzik dan mendendang lagu secara live apabila mendapat galakan daripada arwah Pak Pandir yang menyedari dia mempunyai bakat dalam nyanyian.

Selepas arwah Pak Pandir meninggal dunia pada tahun 2018, saya bergabung bersama Muhammad Ariff dengan dibantu oleh anak saudara Muhammad Khairul Ashraf Wahab meneruskan aktiviti buskering supaya bakat dia tidak hilang begitu sahaja,” kata Suhaimi.

Muhammad Ariff berkata, dia berasa bertuah dapat bersama bapanya dan arwah Pak Pandir yang banyak memberi galakan serta nasihat apabila menjadi seorang busker terutama supaya selalu merendahkan diri di samping menghormati orang ramai.


Muhammad Ariff yang memiliki suara yang memukau pendengar akan menimba lebih banyak pengalaman sebagai busker.


Menurutnya, arwah mengingatkan supaya menyelami senikata dan lirik lagu yang disampaikan serta menyanyi dengan penuh bersemangat supaya orang ramai terhibur dan bersabar apabila menerima kritikan untuk memperbaiki kelemahan.

Beliau berkata, walaupun kumpulan itu belum memiliki nama khusus tetapi sudah sering menerima undangan untuk membuat persembahan dan dari situ, dia memperbaiki lagi mutu suara apabila menyanyikan lagu.

“Apabila bapa ada bersama ketika membuat persembahan dia menjadi pendorong kepada saya untuk menyampaikan lagu dengan baik serta memuaskan hati pendengar kerana menyanyi secara live bukanlah mudah.


Muhammad Ariff dan Muhammad Khairul Ashraf berganding bahu ketika membuat persembahan buskering.


“Walaupun ramai memuji suara saya bukanlah menjadi sebab untuk membanggakan diri malah banyak lagi pengalaman perlu ditimba daripada mereka yang sudah lama berkecimpung dalam buskering di samping mengingati nasihat bapa dan arwah Pak Pandir.

“Saya juga bercita-cita mencipta senikata dan lirik lagu yang menarik dan mendapat tempat di hati orang ramai seperti lagu Yang Remeh Temeh nyanyian arwah Pak Pandir kerana sehingga kini masih berkumandang,” kata Muhammad Ariff. - KitaReporters


27
15
0
12
0

Copy Link: