Berita Terkini| Barangan tiruan berjenama bernilai RM70k dirampas! Peniaga jual dalam talian!
Published byTINDAKAN peniaga yang menjual barangan tiruan berjenama secara dalam talian selepas menyembunyikan barangan berkenaan di kediaman akhirnya memakan diri sendiri apabila pihak berkuasa berjaya mengesan dan merampas pelbagai barangan seperti beg tangan, dompet dan topi bernilai RM70,600.
Ketua Pegawai Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Temerloh, Abdul Razak Yahaya berkata, serbuan di tiga unit rumah di Taman Jaya, Kemayan pada Isnin, 10 Mei 2021 itu menemukan 706 unit barangan tiruan jenama antarabangsa.
“Dalam serbuan itu pemilik bagi setiap premis ditahan bagi siasatan lanjut yang mana ketiga-tiga individu berumur 30 hingga 40 tahun itu mengakui sebagai pemilik premis tersebut,” katanya seperti dipetik oleh Kosmo, pada Selasa, 11 Mei 2021
Menurut Abdul Razak operasi yang dilakukan itu adalah hasil aduan dan risikan pihaknya selama seminggu melibatkan 13 pegawai penguatkuasa KPDNHEP dan tiga wakil pemilik cap dagang.
Kes itu disiasat di bawah Akta Cap Dagangan 2019 kerana disyaki melakukan kesalahan menjual atau menawarkan untuk menjual apa-apa barangan yang cap dagangan dipakaikan dengan salah.
Katanya, modus operandi dalam kes itu ialah dengan membuat pembelian barangan tiruan berjenama terkenal dari luar negara seterusnya menjual secara dalam talian dan langsung dengan harga RM250 hingga RM300.
Dalam pada itu Abdul Razak berkata, KPDNHEP cawangan Temerloh memberi amaran kepada mana-mana individu atau peniaga supaya tidak melakukan aktiviti menyalahi undang-undang seumpama itu.
“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana
individu atau peniaga yang melakukan kesalahan ini dan mereka bakal berdepan
hukuman berat serta denda yang tinggi,” ujarnya. - KitaReporters
Lagi berita-berita terkini dalam KitaReporter