"Sekarang kami kena 'repair' dia (Safawi Rasid) macam kami kena 'repair setiap pemain kebangsaan yang dapat panggilan yang pergi berlatih macam pergi bercuti."

Demikian kenyataan pemilik kelab Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim sebagai respons kepada kritikan peminat terhadap pemainnya, Safawi Rasid ekoran prestasi hambar penyerang itu pada aksi Liga Juara Asia (ACL) 2021 yang sedang berlangsung di Bangkok.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan JDT FC

Kenyataan Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang dimuat naik melalui Instagram.


Kenyataan itu dilihat sebagai satu tamparan kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM)  dan pengurusan skuad kebangsaan khususnya barisan kejurulatihan yang diketuai Tan Cheng Hoe.

Namun, bagi jurulatih berpengalaman, Mohd Azraai Khor Abdullah, kesalahan tidak sepatutnya dibebankan seratus peratus ke atas FAM mahupun jurulatih sebaliknya pemain sendiri perlu bertanggungjawab ke atas prestasi mereka.

“Saya tidak berniat menyanggah pandangan Tunku Ismail tapi seorang pemain profesional yang bagus, mereka patut tahu bagaimana hendak menjaga prestasi agar sentiasa berada pada tahap terbaik.

“Mereka tidak boleh bergantung semata-mata kepada jurulatih sebaliknya perlu ada inisiatif sendiri untuk memastikan sentiasa berada dalam kondisi terbaik sama ada dalam soal kecergasan mahupun permainan.


Azraai menganggap pemain perlu bertanggungjawab atas prestasi mereka sendiri. Kredit Foto: Azraai Khor Abdullah


“Awak pemain profesional, awak patut tahu apa perlu dilakukan untuk sentiasa berada dalam keadaan cergas. 

“Kalau awak tak tahu macam nak lakukan, lantiklah seorang jurulatih kecergasan peribadi yang berkelayakan untuk melatih anda. Saya rasa dengan gaji yang awak dapat, tak ada masalah untuk awak lakukan ini demi karier sendiri,” kata Azraai.

Menurut Azraai, apa yang disarankan itu bukan ditujukan semata-mata kepada Safawi sebaliknya juga kepada semua pemain profesional di negara ini.

“Itulah profesional sebenar sebagaimana dilakukan pemain luar negara. Sebab itu, pemain seperti Ronaldo yang sudah berusia 36 tahun masih cergas dan mampu memberi persembahan terbaik dalam setiap perlawanan,” ujarnya.

Malah, jurulatih yang mencipta sejarah membawa Kedah memenangi ‘double treble’ pada musim 2007 dan 2008 menekankan kecergasan pemain bukan semata-mata bergantung pada latihan di tengah padang malah turut merangkumi gaya hidup di luar padang.


Safawi menerima kritikan kerana aksi kurang bertenaga semasa pertandingan Piala Juara-Juara Asia di Bangkok. Kredit foto: FB Johor Southern Tigers.


Lebih teruk bila ada yang terkena penyakit DAP… Apa tu DAP? Dalam Alam Percintaan…inilah penyakit yang sukar diubat serta merosakkan."


“Soal pemakanan, tidur dan kehidupan seharian pemain akan turut memperngaruhi prestasi mereka. Maaf cakap, apa yang saya lihat, perkara sebegini tidak dititikberatkan oleh kebanyakan pemain kita terutama yang masih muda.

“Mereka tidak jaga pemakanan. Ada yang tidur lewat. Lebih teruk bila ada yang terkena penyakit DAP… Apa tu DAP? Dalam Alam Percintaan…inilah penyakit yang sukar diubat serta merosakkan.

“Bila dah asyik bercinta, awek pula tidak faham dan selalu menganggu, malah dok desak ajak kahwin, inilah punca pemain hilang fokus pada kariernya.

“Jadi, kesimpulannya, pemain yang patut tahu bagaimana hendak menjaga diri mereka sendiri. Tak adil untuk menyalahkan jurulatih sahaja bila mereka tidak berada pada tahap terbaik,” kata Azraai.



Semalam (Sabtu, 26 Jun 2021), Tunku Ismail atau lebih dikenali sebagai TMJ (Tunku Mahkota Johor) menempelak pengurusan skuad Harimau Malaya apabila pemain JDT yang baru pulang daripada tugasan pada pertandingan Kelayakanan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Dubai, Emiriah Arab Bersatu mengalami kemerosotan prestasi atau cedera ekoran latihan yang tidak mencapai intensiti sepatutnya.

Malah, Tunku Ismail menganggap latihan yang dijalani pemain kebangsaan sepanjang di Dubai seolah-olah macam bercuti. 

Tunku Ismail membuat kenyataan itu sebagai mempertahankan kritikan ke atas Safawi yang gagal memberi impak dalam dua perlawanan diharungi JDT di Bangkok, menyaksikan pasukan itu tewas 0-1 kepada kelab Jepun, Nagoya Grampus dan menang 1-0 ke atas Ratchaburi FC dari Thailand.


Latihan berintensiti rendah ketika bersama skuad kebangsaan dianggap sebagai punca pemain kurang cergas serta gagal mencapai prestasi terbaik. Kredit foto: FB FAM


"Lepas pulang daripada Portugal dia (Safawi) menjaringkan gol. Aksi pertama sumbangsih dah jaringkan gol. Selepas itu dia alami kecederaan. Pulih dari kecederaan dia jaringkan gol lagi.

"Belum 100 peratus pulih jurulatih (Cheng Hoe) ambik untuk Harimau Malaya. Sesi latihan yang intensiti rendah. Sampai sekarang 'down'.

"Sekarang kami kena 'repair' dia macam kami kena 'repair setiap pemain kebangsaan yang dapat panggilan yang pergi berlatih macam pergi bercuti," katanya yang membalas kritikan netizen dalam laman Instagram padaq 26 Jun 2021.

Seramai 13 pemain JDT dipanggil memperkuatkan Harimau Malaya pada pertandingan Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 yang berlangsung dari awal hingga pertengahan Jun 2021 lalu.


Tan Cheng Hoe, jurulatih Harimau Malaya. - Kredit foto: FB FAM.


Malaysia sekadar menamatkan kedudukan di tangga ketiga di belakang UAE dan Vietnam yang muncul juara dan naib juara Kumpulan G. Ekoran itu skuad negara tidak layak ke Piala Dunia namun masih berpeluang merebut tiket ke Piala Asia apabila bakal bersaing di pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia pada Februari 2022.

Kegagalan itu disambut kritikan hebat daripada penyokong selepas skuad bimbingan Cheng Hoe yang turut diperkuatkan oleh tiga pemain naturalisasi - Mohamadou Sumareh, Liridon Krasniqi dan Guilherme de Paula - bermain di bawah kemampuan sebenar.

Malah, Tunku Ismail yang nyata turut kecewa dengan pencapaian Harimau Malaya, secara terbuka menawarkan diri untuk menguruskan pasukan kebangsaan dan ia disambut baik oleh penyokong.

Mengulas perkara itu, Azraai menganggap tawaran Tunku Ismail itu patut disambut oleh FAM kerana beliau yakin baginda mampu membawa perubahan kepada skuad kebangsaan sebagaimana dilakukan ke atas JDT.

“Tunku Ismail adalah orang yang tepat. Bukan sahaja beliau seorang yang benar-benar berjiwa bola malah berpengalaman luas dalam pengurusan bola sepak sejak mengambil alih JDT.

“Beliau sudah melalui jatuh bangun bersama JDT serta mempunyai pengaruh yang besar dalam bola sepak kita. Semua itu akan membantu meningkatkan prestasi pasukan kebangsaan,” ujar Azraai.

Dan secara berseloroh Azraai menambah: “Saya rasa kalau Tunku pegang team kebangsaan, pemain yang dipilih pun tak berani main-main sebaliknya akan main sungguh-sungguh. Masa tu baru depa tau langit tinggi ke rendah.” – KitaReporters


Malaysia meraikan kemenangan 1-0 ke atas Thailand untuk menduduki tangga ke-3 pertandingan Kelayakan Piala Dunia 2022 / Piala Asia 2023 di Dubai, baru-baru ini. - Kredit foto: FB FAM.

62
8
5
12
4

Copy Link: