Nia Ramadhani hidup bahagia selepas mendirikan rumah tangga dengan ahli perniagaan Ardiansyah Bakrie. Kredit foto: Instagram @ramadhaniabakrie.


Sejak seminggu lalu, pelakon Nia Ramadhani menjadi sorotan utama media, khususnya di Indonesia, kali ini bukan berfokus pada lingkar hidup mewah yang kerap diperagakan sebaliknya kerana pembabitan dirinya dan suami, Ardiansyah Bakrie dalam penyalahgunaan dadah!

Nia sebelum itu ditahan polis Indonesia bersama pemandunya, ZN pada petang Rabu, 7 Julai 2021 kerana disyaki terbabit penyalahgunaan serta memiliki dadah sementara, suaminya, Ardi menyerah diri ke Polres Metro Jakarta Pusat, pada malamnya.

Ketika ditahan, polis turut merampas dadah jenis syabu seberat 0.78 gram bersama sebuah alat menghisap syabu atau bong.

Pasangan suami isteri itu mengaku bahawa dadah itu milik mereka dan mendedahkan sudah terbabit menghisap syabu sejak lima bulan lalu. Malah, hasil ujian air kencing, mereka disahkan positif syabu.


Lagi cerita-cerita menarik


Nia dan suaminya, Ardi muncul buat pertama kali dalam sidang media di Polres Metro Jakarta Pusat, pada Sabtu, 10 Julai 2021. - Kredit video: Kompas TV/Kompas.com


Pada Sabtu, 10 Julai, 2021 lalu, Nia dan Ardi buat pertama kali (sejak ditahan) muncul dalam satu sidang media di Polres Metro Jakarta Pusat.

Sepanjang sidang media itu, Nia kelihatan gagal mengawal perasaannya, kerap sebak dan menangis sambil ditenangkan oleh Ardi yang berdiri di sebelahnya.

“Saya, Nia Ramadhani Bakrie mengakui bahawa yang saya lakukan tidak menjadi sebuah contoh yang terpuji. Sebagai manusia, saya sedar, seharusnya saya memberi contoh yang baik bagi anak-anak saya dan orang-orang sekitar saya.

“Saya berharap, melalui penyataan saya ini, saya bisa dibukakan pintu maaf yang sebesar-besarnya daripada semua pihak terutama yang saya kasihi orang tua saya dan seluruh keluarga besar, terutama anak-anak saya, Mikhayla (Zalinda), Mainaka (Zanatti) dan Magika (Zaladrie),” ucap Nia.


Nia dan keluarganya dalam satu percutian. - Kredit foto: Instagram @ramadhanibakrie


Ketika menyebut nama ketiga-tiga anaknya, Nia tidak mampu membendung tangisan sehingga terpaksa ditenangkan suaminya, Ardi. Difahamkan, ketiga-tiga anak pasangan itu kini dijaga oleh keluarga Ardi.

Pada penghujung ucapannya, Nia mengungkapkan: “Dan yang terutama buat saya adalah pengampunan daripada Allah SWT. Sebagai warga Indonesia yang baik, saya akan kooperatif (bekerjasama).”

Sementara itu, keluarga Ardi, melalui jurucakapnya, Lalu Mara Satriawangsa berkata pihak keluarga sudah memaafkan pasangan itu serta akan memberi dokongan penuh agar Ardi dan Nia menjalani proses pengadilan.

Ayah Ardi, Aburizal Bakrie adalah bekas menteri ekonomi Indonesia sementara Ardi sendiri adalah seorang ahli perniagaan yang berjaya.

Pasangan itu berkahwin pada 1 April, 2010 yang dianggap sebagai perkahwinan termewah pada tahun itu. Sejak berkahwin, Nia meninggalkan dunia selebriti untuk memberi tumpuan kepada keluarga khusus terhadap tiga orang cahaya mata mereka.


Kredit foto: Instagram @ramadhaniabakrie


Kehidupan zaman kanak-kanak sangat susah sehingga pernah makan nasi hanya berlaukan garam! 


Perkahwinan dengan Ardi juga dilihat sebagai titik tolak kepada kehidupan Nia ke arah lebih baik tanpa perlu lagi bertungkus-lumus di set pengambaran untuk menyara kehidupannya.

Sebagaimana pernah diceritakan oleh Nia sendiri, kehidupan zaman kanak-kanaknya sangat susah sehingga pernah makan nasi hanya berlaukkan garam!

Ramai yang tidak tahu Nia dibesarkan dalam keluarga yang mengalami keruntuhan rumah tangga. Ibu bapanya berpisah ketika Nia berusia 4 tahun dan dia dibesarkan oleh ibunya.

Bakat seni Nia sudah teserlah sejak usianya 5 tahun apabila membabitkan diri sebagai penari sebelum terjun pula ke dunia lakonan ketika berumur 15 tahun melalui sinetron Bidadari 2 pada 2003.

Namanya mula melonjak selepas membintangi sinetron Bawang Merah Bawang Putih pada 2004. Sepanjang kariernya, Nia sudah membintangi 26 sinetron dan tiga buah filem sebelum menjadi suri rumah selepas berkahwin dengan Ardi pada 2010.


Wajah terkini Nia Ramadhani yang tular melalui media sosial.


Mengungkap kisah silamnya, Nia pernah berkata: “Ya, banyak yang orang tak tahu. Yang orang lihat yang senang saja, yang bangun tidur main Instagram, menyanyi-nyanyi dan berbelanja (membeli-belah).

“Saya pernah makan nasi dengan garam, dulu bersama mama zaman dahulu,” dedah Nia.

Ternyata apabila dirangkumkan kisah hidup Nia dari dahulu hingga sekarang, ia tak ubah ibarat sebuah sinetron yang sering kita saksikan di televisyen - seorang anak kecil daripada keluarga susah, berjaya dan kini terperangkap dengan dadah!

Apakah kesudahan ‘sinetron’ kehidupan Nia Ramadhani? Tunggu episod seterusnya. - KitaReporters


Daripada kanak-kanak yang hanya mampu makan nasi berlaukkan garam, kehidupan Nia berubah selepas berkahwin dengan Ardi. - Kredit foto: Instagram@ramadhaniabakrie

2
0
8
0
1

Copy Link: