Video| Tidak berasas, bersifat fitnah! Kami juga akan saman balik! - Idris Khan, Amelia Henderson!
Published byDua pelakon, Idris Khan, 34, dan Amelia Henderson, 26, akan mengemukakan saman kerana menyifatkan dakwaan produser A Aida, 52, terhadap kedua-dua mereka dalam satu sidang media Jumaat, 24 Jun 2022 lalu sebagai tidak berasas dan bersifat fitnah.
Idris meluahkan ketidakpuasannya dalam satu kenyataan yang disiar dalam Instagramnya pada Sabtu, 25 Jun 2022.
Dan beberapa jam kemudian, Amelia pula memuat naik rakaman video yang menyifatkan apa yang dinyatakan oleh penerbit drama itu tidak benar.
Kedua-dua pelakon ini akan mengambil tindakan undang-undang bagi menegakkan kebenaran dan membela diri di mahkamah.
"Beberapa dakwaan dan tuduhan yang dilemparkan terhadap saya dalam sidang media itu adalah tidak berasas dan bersifat fitnah.
"Atas nasihat peguam yang mewakili saya, prosiding undang-undang untuk mendedahkan kebenaran akan diteruskan," kata Idris.
Idris mengakui dia sangat terkejut dan hairan dengan tuduhan itu, tetapi sangat berterima kasih kerana mendapat segala bentuk sokongan yang positif.
"Saya ingin mengucapkan alhamdulillah dan berterima kasih atas segala sokongan, dorongan dan kata-kata yang baik daripada anda semua. Saya merasa rendah diri dan terharu menerima mesej bersifat kasih sayang dan prihatin anda," katanya.
Idris juga menekankan bahawa dia menentang sekeras-kerasnya sebarang bentuk ancaman dan buli dalam masyarakat, apatah lagi dalam industri hiburan.
"Terdapat segelintir pihak yang menggunakan kedudukan dan kuasa dengan memeras ugut supaya mengikut rentak mereka atau menanggung akibatnya.
"Saya akan melawan penyalahgunaan kuasa secara terang-terangan ini hingga ke akhirnya," katanya.
Idris juga mengingatkan kepada semua bahawa rezeki datang daripada Allah SWT dan bukan daripada manusia.
"Saya tidak akan berdiam diri menghadapi sebarang ancaman yang memperkecilkan peribadi, integriti dan prinsip saya dalam hidup.
"Pihak yang pernah bekerjasama dan mengenali saya sepanjang saya berada di dalam industri ini boleh mengesahkan komitmen dan etika bekerja saya yang tidak boleh dipertikaikan," katanya.
Terkejut dengan sidang media yang berlangsung pada Jumaat 24 jun 2022 lalu, Amelia menegaskan segala tuduhan yang dilemparkan ke atas dirinya adalah tidak benar.
“Tanpa prejudis saya ingin katakan segala tuduhan adalah tidak berasas dan tidak benar. Saya terkejut dengan sidang media yang dijalankan sebelum ini dan dapat tahu tentang perkara tersebut melalui sosial media.
“Saya percaya perkara ini boleh diselesaikan secara tertutup tanpa melibatkan media dan orang awam. Saya faham kontrak tersebut, tetapi saya tidak melanggarnya.” katanya.
Amelia mendakwa selepas menandatangani kontrak pada Februari 2022 lalu, dia masih belum menerima skrip penuh drama Sekali Lagi Cinta Kembali dan tarikh sebenar penggambaran dimulakan juga belum diketahui.
Tambahnya, watak dalam skrip yang diterima pada Mei 2022 lalu tidak sama seperti mana ditawarkan ketika awal perbincangan untuk berlakon dalam drama tersebut.
Dalam sidang medianya, A Aida atau nama sebenarnya Zaidah Awang, menyifatkan tindakan Idris dan Amelia Henderson menarik diri pada saat-saat akhir daripada penggambaran drama terbitannya sebagai sangat tidak profesional dan mengarut.
Aida berkata, dia akan mengambil tindakan tegas termasuk memfailkan saman terhadap mereka kerana melanggar kontrak penggambaran drama terbitan A Aida Production (AAP) berjudul ‘Sekali Lagi Cinta Kembali’.
A Aida mendakwa dia mengalami kerugian ratusan ribu bagi penerbitan drama 28 episod itu di mana Amelia dan Idris telah ditawar memegang peranan utama.
Menurut A Aida, Amelia menarik diri sehari sebelum penggambaran, sementara Idris enggan berlakon setelah Amelia menarik diri.