Buta literasi! 3M perlu ditambah! Mahir IT! Mahir aplikasi telefon bimbit, kendali media sosial!
Published byPERNAH dengar laporan ada kisah orang buat pembelian dalam talian dan merunggut bungkusan tidak diterima, sampai ada yang sanggup 'merempuh' pusat bungkusan kerana menyangka syarikat kurier lambat hantar barangan mereka.
Namun setelah dikesan senarai tempahan, rupa-rupanya si pembeli hanya masukkan barangan dibeli ke dalam bakul (basket) belian tetapi tidak dihantar kepada syarikat penjual.
Demikian cerita Presiden ASEAN Co-operative Organisation (Pertubuhan Koperasi ASEAN) atau ACO, Datuk Abdul Fattah Abdullah ketika memberi contoh kadar 'buta literasi' membabitkan sebahagian besar masyarakat dalam penggunaan aplikasi telefon bimbit.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan koperasi
ABDUL FATTAH ABDULLAH
Beliau yang juga Naib Presiden Ikatan Koperasi Antarabangsa - Asia Pasifik (ICA-AP), berkata jika sebelum ini kerajaan ada menganjurkan formula 3M - membaca, menulis dan mengira, kini kerajaan perlu menambah 1M lagi iaitu mahir IT (teknologi maklumat).
Menurutnya, mahir IT ini ialah dalam konteks penggunaan aplikasi telefon bimbit dan cara mengendalikan media sosial bagi membolehkan rakyat dapat menggunakan sepenuhnya kemudahan teknologi berkenaan.
"Sebahagian besar pengguna telefon termasuk orang pencen dan masyarakat kampung sekali gus bermakna jurang pengendalian serta kemahiran telefon bimbit itu sangat tinggi di samping kemudahan Internet pula lembap di pedalaman.
"Perkara ini dijangka selesai selepas kerajaan dengan syarikat swasta berkerjasama membina dan melancarkan satelit negara untuk merapat jurang Internet itu.
"Penggunaan telefon di negara ini termasuk telefon bimbit yang mahal sangat meluas tetapi bayangkan daripada 10 aplikasi, orang kita tahu satu atau dua saja. Itu pun jawab telefon dan WhatsApp.
"Dunia sedang beredar dengan adanya TikTok, Instagram, Twitter dan andai tahu aplikasi banyak manfaatnya. Jika sebaliknya, sebagai contoh masih gunakan cara tradisional memasarkan produk, mereka akan menanggung kos mahal tidak banyak keuntungan dapat diraih," katanya.
Abdul Fattah (tiga dari kanan) mengiringi Zahidi (empat dari kanan) menyempurnakan gimik perasmian sewaktu Majlis Menandatangani MoU antara Koperasi 1 Malaysia Berhad dan Syarikat Parcel365. - Kredit foto: FB Zahidi Zainul Abidin
Beliau berkata demikian sewaktu Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Koperasi 1 Malaysia Berhad dan Syarikat Parcel365 Sdn Bhd di Dewan Dato’ Mohd Ali Baharum, Wisma Ungku A Aziz, Kelana Jaya, Selangor pada 14 Disember 2021.
MoU jalinan kerjasama sistem penghantaran dan penerimaan bungkusan secara aplikasi internet itu menyaksikan
Koperasi 1 Malaysia Berhad diwakili Bendaharinya, Datuk Jerfree Zain Affendi Dan Yunan dan Setiausahanya, Borhan Mat Aris manakala Syarikat Parcel365 Sdn Bhd diwakili Pengarah Urusan, Eddie Mok Yew Keong dan Lee Swee Yao.
Majlis turut disaksikan oleh Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Datuk Zahidi Zainul Abidin.
Tambah Abdul Fattah, pihaknya akan memulakan program perintis kelas bimbingan tidak lama lagi untuk merapatkan jurang literasi antara bandar dan luar bandar yang dijangka dinikmati lebih 7 juta ahli koperasi.
"Koperasi juga perlu mengubah cara berniaga dengan mencari peluang untuk berusaha dengan syarikat terkenal bagi mengembangkan perolehan pendapatan koperasi.
"Selain itu, koperasi itu menyasarkan meletakkan 1,000 unit kotak Parcel365 ke seluruh negara khususnya di kawasan pedalaman untuk memberi kemudahan penghantaran bungkusan yang ditempah dalam talian sampai kepada pengguna dalam keadaan selamat dan tidak rosak termasuk kena air hujan.
"Pada masa ini masalah utama penghuni kondominum, penduduk luar bandar ialah barang-barang tempahan mereka ditinggalkan dengan pengawal keselamatan.
"Ditambah pula dengan masalah jalur lebar yang lembap di luar bandar menyebabkan penduduk kampung sukar mendapat kemudahan berkenaan," ujarnya.
Beliau turut memaklumkan gerakan koperasi negara sedang mengembangkan rangkaian perniagaan untuk menetapkan matlamat menambahkan perolehan pendapatan RM60 billion menjelang 2025.
Setakat ini sudah RM40 billion sudah diperolehi dan mereka memerlukan tambahan RM20 billion. - KitaReporters
Penduduk kampung dan ahli-ahli koperasi boleh berniaga jika kadar literasi dan mahir menggunakan aplikasi telefon tinggi.