Video| Akhirnya! Konsert Slam Mentari Muncul Lagi diteruskan! Tertangguh selama hampir 2 tahun!
Published byPeminat kumpulan Slam yang selama ini menanti hampir 2 tahun untuk menyaksikan 'Konsert Slam Mentari Muncul Lagi' akan dapat mengubati kerinduan mereka apabila konsert berkenaan bakal diteruskan pada 12 Februari 2022.
Bakal berlangsung di venue sama iaitu di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di bawah anjuran Shiraz Projects Sdn Bhd, ‘Konsert Slam Mentari Muncul Lagi’ mengharapkan sinar yang lebih terang untuk tahun hadapan.
“Kita berdoalah agar tiada ‘gelombang ketiga’ dan industri kembali pulih,” harapan Ketua Pengarah Eksekutif Shiraz Projects, Shirazdeen Karim sambil bersyukur dapat meneruskan projek yang tergendala sebelum ini dengan bantuan yang disalurkan MyCreative Ventures Sdn Bhd (MyCreative), sebuah badan kerajaan yang ditubuhkan untuk memajukan industri kreatif Malaysia melalui pelaburan srategik dan inovatif.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Zamani Slam
Konsert ini yang sepatutnya berlangsung pada 17 Januari 2021 terpaksa ditunda disebabkan pandemik Covid-19 di mana industri seni tanah air amat terkesan.
Dengan mematuhi SOP yang ditetapkan oleh pihak kerajaan, konsert tersebut akan berlangsung dengan kapasitas 50% kehadiran dengan penjarakan sosial.
“Mereka yang hadir perlu membuat ujian swab sekurang-kurangnya 48 jam sebelum konsert dan harus kemas kini dalam sistem kami barulah kami dapat keluarkan tiket demi keselamatan semua termasuk artis dan team produksi,” tambah Shiraz (gambar bawah, dua dari kiri), ketika ditemui pada sidang media yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur baru-baru ini.
Turut hadir Pengerusi MyCreative, Noor Azmi Mt Said (kiri) berserta tiga daripada anggota kumpulan Slam iaitu Zamani (tengah) Shah dan Eddie (kanan) manakala seorang lagi rakan anggotanya, Man tidak dapat hadir.
Menurut Shiraz, walaupun kemungkinan besar konsert yang dianjurkan tidak memberikan pulangan untung disebabkan kapasiti tidak penuh namun bersyukur geran yang diperoleh sebanyak RM600,000 daripada MyCreative membantu syarikatnya untuk meneruskan projek.
Mengakui hampir gulung tikar disebabkan dua tahun tidak berpeluang menganjurkan konsert, Shiraz mengharapkan tahun hadapan yang lebih menyerlah sebagaimana judul lagu ‘Mentari Muncul Lagi’.
Sementara itu, vokalis utamanya, Zamani yang dilihat lebih bertenaga dan sihat melahirkan rasa bersyukurnya kesihatannya semakin pulih selepas menjalani beberapa sesi urutan tradisional dan rawatan bagi sakit tulang belakang melengkung yang dihadapinya.
“Alhamdullilah selama berehat dua tahun ini, saya lebih rasa sihat dan tidak sabar untuk meneruskan konsert, sekali gus mengubati rindu peminat Slam,” ujar pelantun lagu ‘Gerimis Mengundang’ ini yang hadir ditemani isterinya, Nur Juliana Abdul Rani.
Malah pemilik nama penuh, Zamani Ibrahim ini turut melahirkan kesyukurannya apabila Shiraz sebagai penganjur membantu dan mengambil berat terhadap kesihatannya dari segala aspek bagi memastikan staminanya cukup dan dirinya sihat menjelang konsert.
''Konsert Slam Mentari Muncul Lagi’ menawarkan tiket berharga RM700, RM360, RM260, RM200, RM160, RM130 untuk peminat melakar sejarah bersama mereka.
Apa pun, sebarang keterangan lanjut, boleh layari www.myticket.asia untuk tempahan tiket malah bagi informasi atau update terkini, layari laman sosial Slam dan Shiraz Projects.
Peminat-peminat Slam juga boleh membeli T-shirt eksklusif apabila membeli tiket konsert di laman web www.myticket.asia. - KitaReporters