AMD A (biru) bekerja keras mematahkan asakan MUFT dalam perlawanan akhir Piala Pra-U 2021. - Kredit foto: KPT


PERHATIAN! Perhatian! Perhatian! Kepada para peninjau bakat kelab-kelab profesional dan amatur bola sepak di seluruh negara termasuk dalam Liga Super, Perdana dan M3 mahupun Piala Presiden dan Belia!  

Bintang-bintang harapan masa depan bola sepak Malaysia yang anda cari-cari bagi pembangunan kelab, mungkin berada di sini.

Pasukan Akademi Bola Sepak Negara Mokhtar Dahari (AMD) A telah membuktikan kemampuan awal mereka apabila begitu unggul untuk menjuarai Kejohanan Bola Sepak Piala Pra-Universiti (Piala Pra-U) 2021 yang berakhir 27 November 2021. 


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Piala Pra-Universiti

AMD A bersorak girang meraikan kejayaan bergelar juara Piala Pra-U 2021 di AMD, Gambang, Pahang. - Kredit foto: KPT


Mereka bukan sahaja berpesta gol membelasah pasukan Universiti Malaysia (MUFT) 5-1 dalam perlawanan akhir kejohanan julung-julung kali itu bahkan mengekalkan rekod tanpa kalah selepas empat perlawanan termasuk liga sepusingan. 

Antara 'permata' baharu yang dicungkil dan wajar digilap lagi kelab-kelab ini daripada kejohanan di AMD Gambang, Pahang ini ialah Adam Farhan Faizal yang bergelar Pemain Terbaik Piala Pra-U 2021 dan Penjaring Terbanyak 10 gol, serta Pemain Terbaik Perlawanan Akhir, Abdul Rahman Daud.

Turut menepati status pilihan utama, AMD A membolot empat anugerah individu,  Pemain Terbaik Kejohanan, Pemain Terbaik Perlawanan Akhir dan Penjaring Terbanyak serta Pertahanan Terbaik.

Selain trofi dan pingat, AMD A turut mengaut RM10,000 iaitu ganjaran juara kejohanan di AMD, Gambang, Pahang itu, meninggalkan MUFT selaku naib juara untuk berpuas hati dengan hadiah RM8,000.



BEBERAPA lagi aksi hebat final antara AMD A (kiri) dan MUFT di AMD, Gambang. - Kredit foto: KPT


SEMUA pemenang anugerah individu Piala Pra-U 2021 bergambar kenangan dengan tetamu-tetamu kenamaan. - Kredit foto: KPT


Kejohanan empat penjuru yang berlangsung hampir seminggu ini turut menyaksikan AMD B memenangi tempat ketiga setelah menewaskan Akademi Bola Sepak FELDA (ABSF) 2-0 dalam perlawanan penentuan tempat keseluruhan untuk membawa pulang RM6,000 dan lawan dengan RM4,000.

Pemilihan pemenang anugerah individu dengan hadiah wang tunai antara RM500 hingga RM1,000, dijalankan oleh sebuah panel penilai yang dilantik oleh penganjur kejohanan, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT). 

Kejohanan ini turut membuka satu lembaran baru kepada KPT untuk mengetengahkan bakat para pemain remaja bawah 17 tahun di negara ini khususnya para lepasan akademi-akademi bola sepak terpilih dan sekolah-sekolah sukan ke satu peringkat tertinggi karier bola sepak di samping peluang untuk melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi.


PEMAIN Terbaik Piala Pra-U 2021, Adam Farhan Faizal (AMD A) wajar diberikan perhatian para peninjau bakat kelab-kelab Liga Malaysia. - Kredit foto: KPT 


PENYERANG berbisa AMD A, Abdul Rahman Daud (atas) membolot anugerah Penjaring Terbanyak dan Pemain Terbaik Perlawanan Akhir Piala Pra-U 2021. - Kredit foto: KPT


Majlis penutupan selepas perlawanan akhir itu turut dihadiri Setiausaha Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar KPT, Datuk Shaharuddin Abu Sohot; Timbalan Ketua Pengarah Sektor Pembangunan Sukan Majlis Sukan Negara (MSN), Suhardi Alias; dan Pengarah Projek Kejohanan yang juga Ketua Seksyen Sukan KPT, Dr. Pekan Ramli. 

Kejohanan ini juga diharap menjadi arena alternatif sekiranya ada lulusan AMD yang tercicir atau terpinggir daripada dipilih mana-mana kelab, untuk menyambung kerjaya sebagai pemain mahupun mahasiswa IPT-IPT tertentu yang mungkin tertarik dengan bakat mereka.

Langkah proaktif ini juga merupakan sebahagian misi kementerian melahirkan ‘Atlet Berfikir’ (Thinking Athletes) atau ‘Pemain Bola Berfikir’, kata Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) kementerian, Dr. Mohd. Zabri Yusoff ketika majlis pelancaran Piala Pra-U 2021 pada 17 November 2021.


Naib juara, MUFT. - Krefit foto: IPT


Tempat ketiga, AMD B. - Kredit foto: IPT


Pasukan ABSF di tempat keempat. - Kredit foto: IPT

15
7
0
6
0

Copy Link: