ABDUL Halim Kader (dua dari kanan) menyematkan lencana cenderamata sepak takraw pada dada Ketua Pengarah Lembaga Sukan Negeri Bihar, Raveendran Sankaran dalam sidang media Piala Dunia Sepak Takraw ISTAF di Hotel Chanakya, Patna, Bihar, India. - Foto ISTAF


INDONESIA dan Switzerland menjadi dua negara peserta lewat yang mengesahkan menyertai Piala Dunia Sepak Takraw (STWC) Istaf 2025 dari 20 hingga 25 Mac 2025 di Stadium Tertutup Patliputra, Kankarbagh Patna-Bihar, India. 

Kehadiran mereka menggenapkan 20 pasukan yang akan menyertai tiga acara yang dipertanding dalam STWC - beregu dan kuadran bagi lelaki dan kuadran (wajib), regu dan beregu (pilihan) untuk wanita.

Terdahulu sehingga 22 Februari 2025 lalu hanya 18 negara termasuk tuan rumah dilaporkan sedia untuk berentap merebut kejuaraan yang ditauliahkan Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (Istaf) ini tanpa melupakan dua kuasa utama yang juga musuh tradisi, Thailand dan Malaysia.


AKSI Indonesia menentang Thailand dalam separuh akhir beregu Piala Dunia Istaf 2024 di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur.  Indonesia merupakan pemenang pingat emas acara ini pada Sukan SEA Vietnam 2022 dan Kemboja 2023. - Kredit foto: ST


Indonesia kini di ranking antara empat terhandal dunia seperti dibuktikannya dengan mara ke separuh akhir Piala Dunia Sepak Takraw Istaf 2024 di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur bagi acara regu berpasukan dan beregu.

Switzerland yang turut beraksi dalam Divisyen Satu Piala Dunia 2024 pula mengekori tiga jiran Eropahnya, Perancis, Itali dan Poland ke STWC Bihar di samping New Zealand, Amerika Syarikat dan Brazil sebagai tiga lagi pasukan bukan dari Asia. 

Negara lain ialah China, Taiwan, Iran, Jepun, Myanmar, Nepal, Singapura, Sri Lanka dan Vietnam yang enggan menyerah dalam merebut gelaran No. 1 sepak takraw dunia, kata Setiausaha Agung Istaf, Datuk Abdul Halim Kader dalam sidang media pengumuman STWC di sebuah hotel di Patna, Bihar pada 4 Mac 2025 lalu. 

Turut hadir ialah Menteri Belia dan Sukan India, Mansukh Mandaviya; Ketua Menteri Utama Kerajaan Bihar, Nitish Kumar; Ketua Pengarah Lembaga Sukan Negeri Bihar, Raveendran Sankaran; Presiden Persekutuan Sepak Takraw India (STFI), Yogender Singh Dahiya dan Timbalan Presiden Istaf, Fariq Halim serta Timbalan Setiausaha Agung Istaf, Taufiq Halim.


DARI kiri, Fariq Halim, Raveendran Sankaran, Abdul Halim Kader dan Yogender Singh Dahiya serta Taufiq Halim menjawab soalan wartawan dalam sidang media Piala Dunia Sepak Takraw Istaf 2025 di Bihar, India. - Kredit foto: Istaf 


“STWC Bihar bukan hanya satu lagi lembaran sukan sepak takraw bahkan bukti perkembangan dan perpaduan sejagat yang mewakili sukan hebat ini,” katanya yang juga Presiden Persekutuan Sepak Takraw Asia (Astaf) dalam ucapan alu-aluan sidang itu.

India katanya sebelum ini turut diiktiraf Istaf, sebagai pemain peranan penting dalam sejarah perkembangan sepak takraw apabila sukan ini dijadikan pertunjukan pada Sukan Asia New Delhi 1982 dan kemunculan Piala Dunia Istaf Kedua di Hyderabad pada 2017.

“Saya pada 1982 sebagai Timbalan Setiausaha Agung Astaf bersama-sama Setiausaha Agung, Ahmad Tajuddin Shahabuddin dan Presiden Persekutuan Sepak Takraw Singapura (Perses), Dr. Ya’acob Mohamed yang mengusulkan kepada kerajaan India dan jawatankuasa pengelola bagi pengiktirafan sepak takraw ke Sukan Asia Kesembilan itu,” katanya.

Sepak takraw ujarnya kemudian berjaya menyertai Sukan Asia Beijing 1990 kali pertama sebagai sukan pertandingan dan berpingat dengan menawarkan dua pingat emas dalam regu berpasukan dan antara regu lelaki.

“Memandangkan India mempunyai bakat-bakat sukan yang hebat, kami harap negara ini akan memainkan peranan yang sama malah rakan kongsi utama dalam perjalanan sepak takraw memasuki Sukan Olimpik pula.

“Saya yakin dengan sokongan padu kerajaan, India bakal jadi kuasa handalan sepak takraw apatah lagi ekoran kejayaan sebuah regu kelabnya, STFI Fighters mengejutkan Tentera Udara Thailand dalam Piala Juara-juara Liga Sepak Takraw Malaysia (STL) pada November 2024 lalu,” katanya lagi.


AKSI STFI Fighters India (jersi merah) yang mengejutkan Tentera Udara Diraja Thailand 2-1 dalam STL 2024 di Serdang, Selangor. - Kredit foto: STL


Sementara itu dalam perkembangan lain, Halim mengumumkan Stadium Perbandaran Nakhon Pathom sebagai venue sepak takraw Sukan SEA Ke-33, Thailand dari 9 hingga 20 Disember 2025 ini dengan Gimnasium Jiranakhon, Songkhla menjadi pilihan kedua.

“Stadium Perbandaran Nakhon Pathom mampu memuatkan sehingga 4,000 penonton dan pernah menjadi tuan rumah pusingan akhir Siri Super Istaf 2015 pada Oktober 2015 lalu,” katanya.

Nakhon Pathom terletak 56.8 kilometer atau 54 minit perjalanan dengan pengangkutan darat dari ibu kota Bangkok.

Fashion Island, Bangkok - sebuah kompleks beli-belah yang kerap mementaskan Kejohanan Dunia Piala Raja Thailand, digunakan sebagai gelanggang taekwondo Sukan SEA 2025.

“Dua stadium khas sepak takraw, Lod dan Shin juga tidak dapat disediakan dalam tempoh singkat sembilan bulan oleh Persatuan Sepak Takraw Thailand (TAT),” katanya.

Persekutuan Sukan SEA (SEAGF) dan Jawatankuasa Pengelola Sukan SEA Thailand 2025 serta Astaf telah menetapkan 11 acara (lelaki, wanita dan campuran) dipertanding dengan kelayakan penyertaannya kepada negara peserta ialah:

  • i - Regu berpasukan, kuadran campuran dan chinlone (perkaitan) bebas disertai mana-mana negara;
  • ii - Antara regu, kuadran dan gelung - setiap negara hanya boleh memilih dua daripadanya;
  • iii - Setiap negara boleh menghantar sehingga 18 pemain lelaki dan 18 pemain wanita manakala tuan rumah, 21 orang (sepak takraw). Bagi chinlone, enam hingga lapan orang. - KitaReporters


 

SEPAK takraw kembali ke Sukan SEA/SEAP di Thailand pada 9 hingga 20 Disember 2025 ini selepas Korat 2007, Chiang Mai 1995 dan Bangkok 1985, 1975 dan 1967. - Kredit foto: MOM

11
8
0
12
0

Copy Link: