KHAIRUDIN Abd. Samad (tiga dari kiri) menerima cenderamata berupa peralatan sukan badminton Felet daripada Pengarah Urusan Felet International Holdings Sdn. Bhd., Datuk Teo Tong Wah (tiga dari kanan).  


DATUK Seri Khairudin Abd. Samad menjadi tokoh pertama yang tampil menawarkan diri sebagai calon Presiden baharu Persatuan Badminton Malaysia (BAM) pada mesyuarat agung tahunan pemilihan penggal 2025-2029 antara April atau Mei 2025 ini.

Penawaran ke ‘kerusi panas’ itu katanya, dibuat dengan bersandarkan pengalamannya sebagai Presiden Persatuan Badminton Putrajaya (PjBA) selama 15 tahun dan menyandang jawatan Naib Presiden BAM sejak 2017.  

“Saya juga melihat sekarang ada kekosongan apabila Tan Sri Mohamad Norza Zakaria melepaskan jawatan sebagai Presiden BAM (sejak Ogos 2024) dan sekarang hanya dipangku oleh Timbalan Presiden (Datuk V. Subramaniam).

“Saya juga berminat untuk membuat sedikit sebanyak perubahan dalam pemilihan atau menentukan hala tuju BAM ini,” katanya selepas majlis menandatangani perjanjian penajaan Felet dengan PjBA di Kompleks Kejiranan Presint 11, Putrajaya pada 6 Januari 2024.


KHAIRUDIN Abd. Samad pernah menjadi pengurus pasukan badminton Piala Thomas dan Sudirman 2021 selain masih menyandang jawatan kanan persatuan silat dan sepak takraw Putrajaya serta Presiden Majlis Senator Malaysia. 


Khairudin, 61, mengakui mempunyai idea-idea yang boleh diketengahkan untuk memajukan badminton supaya menjadi sukan nombor satu di Malaysia malah kerana memikirkan para pemain kita yang semakin ditinggalkan oleh lawan dari negara jiran seperti Thailand.

“Bukan saya hendak tinggalkan apa yang telah dibuat oleh Norza, Datuk Mohamed Al-Amin Majid dan Tengku Tan Sri Mahaleel Tengku Ariff (mantan Presiden BAM). Dibandingkan Thailand yang lebih maju kalau tidak berbuat sesuatu, kita akan kian ketinggalan,” katanya.

Anak jati Butterworth, Pulau Pinang ini juga tidak melihat Subramaniam sebagai saingannya namun tetap menegaskan, tidak sesekali rela melihat perpecahan akibat pemilihan pucuk pimpinan BAM nanti.

“Jika ada juga presiden persatuan badminton negeri lain yang mungkin berminat (pencalonan kerusi No. 1 BAM), kami boleh duduk berunding. Yang penting jangan ada perpecahan dalam pertandingan kalangan kami, yang itu saya tidak bersetuju.

“Masing-masing sudah tentu ada idea. Kalau ada pertandingan pun biarlah secara sihat. Saya boleh berhadapan dengan siapa sahaja (pencabar) tetapi tidak melihat Subramaniam satu cabaran saya,” katanya yang juga menyandang jawatan kanan persatuan silat dan sepak takraw Putrajaya.


V. SUBRAMANIAM. - Kredit foto: AB


Sebagai Naib Presiden BAM sekarang tidak bererti beliau tidak berbuat apa-apa tetapi segala wawasannya jika mendapat mandat teraju baharu perlu dirahsiakan dan dibincangkan dengan rakan-rakan dalam badan induk kebangsaan itu, tegasnya. 

Ujar bekas pengurus pasukan negara pemenang tempat ketiga bersama Piala Sudirman 2021 di Vantaa, Finland ini, “saya jangkakan selain Presiden, saya juga kena pastikan calon-calon Timbalan Presiden daripada pasukan saya.

“Kalau tidak, susah saya hendak bekerja dan majukan sukan ini. Kita yang dalam masyarakat berbilang kaum ini sudah tentu akan dikaitkan dengan apa juga sukan.  

“Naib Presiden datangnya dari negeri-negeri yang saya tidak boleh tentukan (calon-calonnya tetapi) Timbalan-timbalan Presiden boleh dan mesti punya visi sama atau sekurang-kurangnya berbincang beri suntikan baharu idea,” katanya.

Khairudin turut pernah dilantik BAM sebagai pengurus pasukan Piala Thomas 2021 di Aarhus, Denmark selain ke Terbuka Perancis dan Kejohanan Se-England beberapa tahun lalu. - KitaReporters


KHAIRUDIN Abd. Samad (tiga dari kiri) dan Teo Tong Wah (tiga dari kanan) menayangkan replika penajaan Felet kepada PjBA bernilai RM400,000 bagi tempoh lima tahun (2025-2029) selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Penajaan di Kompleks Kejiranan Presint 11, Putrajaya pada 6 Januari 2025. 


SENARAI PRESIDEN LALU BAM:

1934 - 1937: John L. Woods

1947: Lim Chuan Geok

1949: Heah Joo Seang

1950 - 1953: Khoo Teik Ee

1954 - 1959: Heah Joo Seang

1960: Low Hoot Yeang

1961: Tan Sri Khir Johari

1985: Tan Sri Elyas Omar

1993: Datuk Seri Dr. Abdullah Fadzil Che Wan

2000: Tan Sri Mohd. Nadzmi Mohd. Salleh

2013: Tengku Tan Sri Mahaleel Tengku Ariff

2015: Tan Sri Mohamed Al-Amin Abdul Majid (pemangku)

2017: Tan Sri Mohamad Norza Zakaria

2024: Datuk V. Subramaniam (pemangku)


MOHAMAD Norza Zakaria mengundur diri daripada kerusi panas BAM selepas Sukan Olimpik Paris 2024. - Kredit foto: BAM

11
7
0
14
0

Copy Link: