Video| Iwan yang sekarang bukan yang dulu! Giat beri ceramah motivasi! Nak lupakan Memori Daun Pisang!
Published by.
"SAYA mahu melupakan Memori Daun Pisang, cukup-cukuplah kenangan itu. Sebab itu, saya banyak menukar lirik lagu-lagu "cinta cinton" yang memuji sesama manusia, kepada memuji kebesaran Allah seperti lagu Yang Sedang-Sedang Saja, Wulah dan banyak lagi.
"Alhamdulillah, Allah masih sayangkan saya dan Dia menjentik hati ini kembali ke jalan-Nya dan meninggalkan dunia glamor dan berpura-pura. Bidang hiburan dulu banyak memberi pengajaran sehingga saya menjadi Iwan yang ada hari ini," kata Wan Syahman Wan Yunus, 64, atau Iwan ketika ditemui selepas menyampaikan kuliah maghrib sempena Majlis Israk dan Mikraj di Surau Al-Ukhuwah, Seksyen 8, Bandar Baru Bangi, Selangor.Iwan bergambar kenangan bersama Pengerusi Pertubuhan Musaadah Jaringan Insan (PEMUDAH), Hezla Hashim (kiri) dan AJK Surau Al-Ukhuwah, Seksyen 8, Bandar Baru Bangi, Selangor.
Nama Iwan ketika zaman kemuncaknya bergelar Raja Dangdut Malaysia memang hebat, dia penerbit, penulis lagu dan penyanyi. Siapa tidak ingat lagu Memori Daun Pisang, "Yang Sedang-sedang Saja", "Fantasia Musim Cinta", "Cinta Keruan" dan "Wulan".
Jualan album solo dan kolaborasi mencecah ratusan ribu unit sehingga merajai pasaran muzik tempatan.Iwan pernah berkahwin dengan pelakon, Rosnah Mohd Noor pada 1987, dikurniakan tiga cahaya mata, Wan Ramada Agus Putra, Wan Syamira Putri Octovia atau Octovia Manrose dan Wan Syahera Putri Aprena atau Aprena Manrose.
Perkahwinan kedua bersama Wan Rafidah Abu Bakar pada 1998 dan ketiga bersama Evie Surriyanti, pada Februari 2009. Mereka dikurniakan cahaya mata, Wan Nur Sumayyah. Isterinya, Evie sekarang banyak mendorong Iwan beralih ke muzik nasyid.Wan Syahman Wan Yunus @ Iwan.
"Tiga hari pertama selepas mendapat hidayah dan berhijrah, saya menangis. Jika bersolat dan sujud, saya mesti menangis. Hati ini terlalu sebak dan hiba kerana Allah masih sayang insan kerdil dan hina ini.
"Selain itu, saya menangis kerana dalam ramai manusia, Allah pilih saya, mengapa? Mesti ada hikmahnya. Ketika keluar bersama jemaah tabligh, saya menangis, insaf selain terharu kerana Allah memberi saya jalan untuk berdakwah, jadi apa lagi yang saya nak minta melainkan terus kuat dan istiqamah berdakwah ke jalan-Nya."Setiap manusia ada perjalanan masing-masing, saya bersyukur perjalanan saya ke jalan Allah. Jika Allah tidak beri saya hidayah, saya mungkin terus hanyut dalam dunia hiburan yang melalaikan dan tidak tahu bagaimana pengakhiran nanti," katanya lagi.Iwan bergambar bersama penulis (kiri) dan Siak Surau Al-Ukhuwah, Seksyen 8, Bandar Baru Bangi, Selangor Faisal Che Omar.
Beliau berkata, selain menyanyi dan mencipta lagu kerohanian, banyak surau dan masjid di Selangor menjemputnya untuk menyampaikan ceramah motivasi mengenai pengalaman hidupnya dulu dan bagaimana penghijrahan dari dunia hiburan kepada dunia dakwah.
"Saya seronok berkongsi pengalaman, sekurang-kurangnya ia memberi pengajaran kepada orang lain. Saya sudah melalui dunia hiburan yang penuh glamor dan melalaikan, semoga orang lain lebih berhati-hati."Alhamdulillah, saya memiliki tauliah menyampaikan ceramah agama daripada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) sejak 2024. Saya bukan ustaz, jadi saya lebih selesa berkongsi cerita serta pengalaman saya untuk dikongsi dengan jemaah, selain itu mereka juga rindu mendengar saya menyanyi."Tak salah kan saya berceramah dan menyelitkan dengan nyanyian kerana liriknya bukan kepada kecintaan kepada manusia tapi memuji kebesaran Ilahi," tambahnya.Iwan memiliki tauliah dari JAIS untuk menyampaikan ceramah agama di surau dan masjid sekitar Selangor.
Iwan berkata, selepas 14 tahun berhijrah, beliau bahagia dengan isteri dan anak-anaknya, cukuplah apa yang ada.
"Dulu ketika popular dalam dunia hiburan, kita ingat dunia ini kita yang punya, ramai peminat, glamor dan hidup seperti dalam mimpi, rupanya dunia ini hanya sementara dan ia adalah fitnah terbesar kerana jika manusia tidak mengejar akhirat, kita akan rugi selama-lamanya. "Syukur kerana Allah masih memberi saya nyawa, kekuatan dan istiqamah untuk berdakwah. Apabila Allah beri hidayah, baru kita tahu matlamat hidup kita yang sebelum ini kita abaikan."Manusia itu fitrah, dulu di alam roh, kita sudah berjanji untuk taat kepada Allah tapi apabila dilahirkan dan dikelilingi dengan kemewahan dunia, kita lupa diri," katanya.
Katanya, ramai manusia melakukan pelbagai cara untuk mencari ketenangan seperti mengambil minuman keras, dadah atau melakukan seks bebas tapi jalan yang mereka pilih nyata gagal memberi ketenangan malah kehidupan mereka semakin jauh daripada Allah.
Iwan mahu melupakan Memori Daun Pisang.
"Alhamdulillah, Allah pilih saya untuk mendapat ketenangan melalui kerja-kerja dakwah, bukan susah sangat pun dan bukan setiap hari. Biasanya saya keluar tiga hari ke jalan Allah, setahun 40 hari, taklah susah mana pun tapi inilah kebahagiaan yang saya cari selama ini.
"Orang bertanya saya mengapa melakukan kerja-kerja dakwah yang memenatkan dan tidak menguntungkan sedangkan saya boleh popular, hidup dalam glamor dan memiliki wang yang banyak."Itu mungkin telahan mereka tapi ramai tidak tahu dunia yang saya pilih ini adalah kunci kepada kejayaan saya di akhirat. Dunia ini hanya sementara dan berpura-pura sedangkan matlamat kita ialah akhirat, Sebab itu saya mahu menjadi hamba Allah dan syahid di jalan-Nya!," katanya.Sempena kehadiran Ramadan dan Aidilfitri nanti, Iwan sudah menyiapkan beberapa lagu terbaharu untuk peminat-peminatnya. Dan, sebagai anak seni, beliau akan terus menggunakan bakat anugerah Allah itu untuk berdakwah melalui lagu."Selain lagu sempena kedatangan Ramadan dan Aidilfitri, saya turut menyiapkan lagu terbaharu "Malam Pertama di Syurga", insya-Allah akan keluar selepas hari raya puasa nanti.Banyak surau dan masjid di Selangor menjemput Iwan untuk menyampaikan ceramah motivasi mengenai penghijrahannya ke dunia dakwah,
"Saya perlu keluarkan lagu-lagu dengan lirik kerohanian dan ketuhanan ini supaya orang tidak ingat lagi lagu-lagu lama saya yang melalaikan tapi mengingati Iwan dengan irama yang memuji Allah dan Rasul. Bakat mencipta lagu dan menyanyi adalah anugerah Allah, jadi saya guna ke jalan sepatutnya," katanya.
Ditanya perancangan masa depan, katanya beliau akan terus berdakwah sehingga ke akhir nyawa dan selalu meminta semoga mati dalam keimanan."Saya tidak pernah terfikir menjadi seperti hari ini, tidak langsung. Ini semua kehendak Allah, saya terima dengan rasa syukur. Ini bukti Allah sayang saya."Selalunya apabila bersolat malam, saya menadah tangan ke langit, bersyukur nikmat yang Allah berikan dan menangis mengenangkan dosa-dosa yang dilakukan sebelum ini. Moga Allah ampunkan dosa-dosa saya!," katanya. - KitaReporters