SKUAD Malaysia yang turun menentang Nepal di Stadium Sultan Ibrahim. - Kredit Foto: FAM


KETIKA Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Iskandar Puteri, Johor sepatutnya bergema meraikan kejayaan Malaysia menewaskan Nepal 2-0 pada aksi pusingan ketiga kelayakan bola sepak Piala Asia 2027 pada Selasa, 26 Mac, 2025, suasana yang  berlaku adalah sebaliknya. 

Sejak sepak mula, perlawanan hilang aura apabila tempat duduk penonton lebih banyak kosong daripada diisi menjadikan suasana sedikit suram seolah-olah ia hanya bertaraf perlawanan persahabatan.

Menurut laporan Harian Metro, hanya 4,000 penyokong hadir ke stadium yang berkapasiti 30,000 orang itu, sekali gus gagal mencetuskan gema sorakan yang diharapkan untuk membangkitkan semangat juang Harimau Malaya.

Sebaliknya, penyokong Nepal tampak lebih teruja bersorak sepanjang perlawanan seolah-olah pasukan mereka sedang beraksi di gelanggang sendiri.


KUMPULAN penyokong yang menamakan mereka Ultras Malaya.


Persoalannya ke manakah hilangnya penyokong Harimau Malaya terutama Ultras Malaya yang selama ini cukup setia memberi sokongan? Mana ekor harimau yang sentiasa menjadi pemain ke-12?

Pelbagai teori dibincangkan dalam kalangan peminat bola sepak. Ada yang yakin Malaysia tidak akan berdepan masalah untuk menewaskan Nepal berdasarkan ranking dunia dan keputusan masa lalu, menyebabkan mereka tidak datang ke stadium.

Sebaliknya mereka ‘menyimpan duit’ untuk perlawanan menentang Vietnam pada 10 Jun, 2025, yang juga akan dilangsungkan di SSI. Itulah lawan sebenar yang akan menguji sejauh mana keberkesanan Revolusi Harimau Malaya yang dicanangkan selama ini.

Selain itu, ada tanggapan bahawa penyokong mengambil sikap tunggu dan lihat hasil revolusi yang dibawakan jurulatih baharu Harimau Malaya, Peter Cklamovski sebelum ‘mengiktirafnya’ dengan memberi sokongan di stadium.


KEMAMPUAN Peter Cklamovski belum diuji pada perlawanan Malaysia menentang Nepal. - Kredit foto: FAM


Namun, tidak kurang yang menganggap penyokong tidak turun memberi sokongan kerana pasukan Harimau Malaya kini sudah hilang ‘wajah Malaysia’ kerana dibarisi pemain warisan dan naturalisasi.

Bagi pemerhati bola sepak negara, Rosli Hussein, faktor-faktor yang dibincangkan netizen tidak boleh ditolak kerana apa yang difikirkan mereka mungkin ada logiknya.

“Ya, Nepal sebenarnya bukan tandingan kita. Penyokong yakin Malaysia dapat kalahkan pasukan itu, jadi mereka tidak ghairah untuk ke stadium sebaliknya hanya menyokong dari jauh.

“Saya yakin perlawanan menentang Vietnam nanti akan menarik lebih ramai penyokong kerana pada ketika itu baru mereka dapat menilai sejauh mana kemampuan Cklamovski dan pasukan berwajah baharu kita.  

“Jika Malaysia berjaya mengatasi Vietnam nanti, saya yakin penyokong akan kembali memenuhi stadium selepas itu,” kata Rosli. 


ROSLI HUSSEIN


Mengenai dakwaan bahawa penyokong hilang nafsu untuk memberi sokongan kerana Harimau Malaya dibarisi oleh ramai ‘pemain luar’ berbanding ‘anak jati Malaysia’, bekas pemain kebangsaan itu berkata, faktor berkenaan juga mungkin boleh menjadi penyebab peminat menjauhkan diri.

“Kalangan orang lama seperti saya memang rasa tak selesa dengan pendekatan ‘mengimport’ pemain luar untuk pasukan negara. Walaupun pemain warisan memiliki pertalian darah dengan negara kita namun kita lebih bersemangat bila melihat pemain tempatan beraksi.

“Benarlah tanggapan bahawa pasukan Malaysia sekarang sudah hilang ‘wajah Malaysia’ kerana dibarisi pemain warisan dan naturalisasi. Bila kita melihat pasukan, kita seolah-olah sedang menonton pasukan luar,” katanya lagi. 


PEMAIN Malaysia meraikan jaringan Hector Hevel (No 13)  pada perlawanan menentang Nepal. Kredit foto: FAM


Rosli juga tidak menolak kemungkinan faktor pemilihan venue perlawanan turut menyumbang kepada ketidakhadiran ramai penyokong.

“Keghairahan terhadap pasukan kebangsaan berpusat di Kuala Lumpur yang berada di tengah-tengah, membolehkan penyokong semua penjuru hadir. Tak dinafikan, SSI sebuah stadium yang memang sesuai untuk perlawanan bertaraf antarabangsa tapi faktor jarak mungkin menjadi pertimbangan penyokong.

“Selain itu, ini bulan Ramadan, apatah lagi 10 malam terakhir, ramai orang menumpukan kepada ibadah terutama solat tarawih,” katanya.

Pada perlawanan itu Harimau Malaya mendahului The Gorkhalis menerusi pemain warisan, Hector Hevel pada minit ke-30, disusuli jaringan Corbin Ong pada minit ke-70.

Kemenangan itu meletakkan Harimau Malaya pada tangga kedua Kumpulan F, di belakang Vietnam yang membelasah Laos 5-0 pada satu lagi perlawanan pada hari sama. - KitaReporters


JADUAL perlawanan Kumpulan F pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2027. - Kredit foto: FAM

16
12
0
16
0

Copy Link: