Video| Inikan Hari Raya! Andi Bernadee kena teliti! Lagu pertama solo raya! Catchy dan menghiburkan!
Published by.
Baharu seminggu kita berpuasa namun tidak dinafikan persiapan ke arah tibanya Syawal tidak pula dilupakan bahkan suasana ke arah itu diserikan pula dengan lagu-lagu hari raya, sama ada yang lama mahu pun baharu.
Dan terbaharu buat julung kalinya, pelakon dan penyanyi berasal Sabah. Andi Bernadee berpeluang menyampaikan lagu hari raya secara solo yang diberi judul ‘Inikan Hari Raya’ setelah beralih ke syarikat rakaman Universal Music Malaysia.
Terdahulu pemilik bernama sebenar, Andi Azrul Andi Mapangile, 33, ini, pernah menyampaikan lagu raya bersama personaliti media sosial, Ryan Bakery untuk lagu ‘'Raya Last Minit" pada tahun 2023.
Kali ini Andi memilih untuk menyampaikan suasana sebuah keluarga yang pulang ke kampung halaman serta pelbagai peristiwa yang terjadi dalam persiapan dan sambutan hari raya.
“Situasi ini pasti berlaku di mana-mana, dan saya percaya ia dapat dirasai oleh semua orang,” jelas Andi mengenai lagu ciptaan Hanis Rafi, Firdaus Rahmat dan Omar K itu.
Menggabungkan elemen moden dan tradisional, lagu terbaharunya ini dijangka akan memberi kelainan serta menyemarakkan lagi suasana perayaan dengan irama yang catchy dan menghiburkan.
Turut mendapat sentuhan lirik nukilan Andi sendiri bersama komposer-komposernya, lagu ‘Inikan Hari Raya’ menjalani proses rakaman sebanyak dua kali sesi di studio.
Pada sesi pertama, beliau merakamkan vokal utama sebagai demo untuk merasai ‘feel’ lagu tersebut.
“Dari situ, saya dan komposer berbincang tentang muzik, adunan, dan lirik yang sesuai. Hanya selepas itu, kami melakukan rakaman kali kedua dengan segala keputusan yang telah disahkan,” katanya mengenai proses rakaman yang teliti ini.
Menurutnya ketelitian itu perlu waima beliau ingin semua pendengar untuk mendengar, layan, nikmati, dan hayati lagu berkenaan apatah lagi menghayati unsur nasihat yang terselit dalam yang lagu tersurat daripada suasana ceria hari raya.
Berkongsi tentang pengalamannya bekerja dengan individu lain dalam menghasilkan lagu ini, Andi menyatakan beliau sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan sesiapa sahaja.
“Bagi saya, perkara ini sudah menjadi biasa. Saya lebih suka bekerja dengan mereka yang suka berbincang, berkongsi idea, dan menerima idea-idea daripada saya atau pasukan saya. Kolaborasi yang baik akan menghasilkan karya yang lebih sempurna dan berkualiti,” tambah Andi.
Beliau berharap lagunya ini dapat menghiburkan semua pendengar dan memberi sedikit keceriaan dalam meraikan Aidilfitri.
“Seperti biasa, saya berharap agar para pendengar dapat menikmati lagu “Inikan Hari Raya” dengan sepenuh hati,” katanya penuh harapan.
Lagu “Inikan Hari Raya” sudah boleh dinikmati di semua platform digital.
“Jadi menjelang Raya tahun ini, jangan lepaskan peluang untuk menikmati lagu ini yang pasti menyemarakkan lagi suasana Aidilfitri anda,” akhiri Andi.
Untuk rekod, pelantun lagu ‘Donde’ ini menggunakan ‘Andi’ pada permulaan namanya Azrul waima 'Andi' adalah gelaran Bangsa Melayu Bugis atau suku Bugis yang diberikan kepada keturunan bangsawan.
Gelaran yang tertinggi ini diletakkan sebagai nama pertama dalam nama seorang Bugis seperti Andi Azrul Andi Mapangile. - KitaReporters
Lagu pertama raya daripada Andi Bernadee berduet dengan Ryan Bakery dua tahun lalu.