ROSLI Hussein (kiri) dalam sidang media pelancaran buku 'Bola Mental' di Universiti Malaya (UM). Turut hadir Pengarah Pusat Sukan UM, Afizal Abu Othman dan bekas jurulatih Selangor FC, Nizam Jamil. - Kredit foto: TVS


KEKUATAN mental memainkan peranan penting dalam mendorong kejayaan seseorang pemain bola sepak. Ia adalah antara tiga komponen utama selain kecergasan fizikal dan kemahiran yang perlu dikuasai untuk melonjakkan prestasi ke tahap maksimum, seterusnya mencipta kecemerlangan.

Tapi, menurut bekas pemain bola sepak kebangsaan, Rosli Hussein, 65, dalam senario bola sepak Malaysia, aspek itu tidak diberi keutamaan sebaliknya sering dikesampingkan malah ada yang mengabaikannya.

“Saya sudah terbabit dalam bola sepak selama 40 tahun. Maaf cakap, saya dapati bola sepak Malaysia adalah paling lemah dalam disiplin mental sedangkan ia adalah aspek yang sangat penting. 

“Pemain bola sepak kita walaupun sudah bergelar profesional, lebih memberi tumpuan kepada kecergasan dan kemahiran tapi mengabaikan soal mental sedangkan ketiga-tiga aspek itu perlu seiring.

“Sebaliknya hal ini menjadi keutamaan dalam kalangan pemain bola sepak luar negara sejak sekian lama. Pada mereka, kecergasan dan kemahiran sudah dianggap rutin sebaliknya aspek mental perlu diberi keutamaan.


BUKU 'Bola Mental' ditulis oleh bekas pemain bola sepak kebangsaan, Rosli Hussein


“Saya bercakap berdasarkan pengalaman saya semasa menuntut di Amerika Syarikat selama empat tahun pada tahun 1980-an. Saya bukan saja bergaul dengan atlet mereka malah terbabit sebagai pemain untuk sebuah kelab bola sepak di Amerika.

“Ketika itu, pada tahun 80-an, mereka sudah mengutamakan displin mental. Apabila saya pulang ke Malaysia pada 1986 dan meneruskan kerjaya sebagai pemain bola sepak di sini, saya dapati aspek ini diabaikan sebaliknya setiap pemain hanya ditekankan soal kecergasan dan kemahiran sahaja.

“Hal ini berlarutan hingga sekarang. Saya boleh katakan, disiplin mental bukan saja dipandang tidak penting malah diabaikan. Hasilnya, ramai pemain bola sepak kita tidak memiliki kekuatan mental,” ujar Rosli.  

Hal ini kata Rosli menyebabkan ramai pemain Malaysia tidak mampu bersaing dengan pemain import dalam liga sedangkan ada antara pemain import setara kemampuan mereka dengan pemain tempatan dari sudut kekuatan fizikal dan teknikal.

“Apabila tidak mempunyai disiplin mental dengan sendiri anda mudah koyak dan hilang daya saing. Inilah yang berlaku kepada pemain tempatan dan membezakan mereka dengan pemain import,” katanya.


BEKAS pemain bola sepak kebangsaan, Datuk Subadron Aziz turut hadir memberi sokongan pada pelancaran buku 'Bola Mental' tulisan Rosli Hussein.


Menyedari hakikat itu, Rosli tampil menghasilkan sebuah buku bertajuk ‘Bola Mental’  khusus membincangkan betapa pentingnya disiplin mental kepada seorang pemain bola sepak.

“Idea untuk menulis buku ini tercetus sebaik saja saya kembali ke Malaysia pada 1986. Tapi, komitmen kerjaya dan karier bola sepak membataskan waktu untuk melakukannya sehinggalah dua tahun lalu saya memulakannya.

“Buku ini bukan bersifat akademik atau ilmiah sebaliknya disampaikan secara santai berpandukan pengalaman saya sendiri.

“Saya menyampaikannya dengan cara yang mudah difahami kerana saya menyasarkan pelbagai peringkat membacanya. Ia sesuai dibaca oleh semua orang yang terbabit dengan sukan termasuk keluarga.

“Apa yang penting, saya mahu memberi kesedaran kepada komuniti sukan betapa pentingnya disiplin mental ke arah melahirkan ahli sukan yang cemerlang.

“Walaupun apa dipaparkan berdasarkan kepada pengalaman saya sebagai pemain bola namun ilmu yang diperoleh dari buku ini boleh diaplikasi kepada apa saja jenis sukan,” kata Rosli.


PENGULAS sukan, Shaukie Kahar menyokong usaha Rosli menulis dan menerbitkan buku 'Bola Mental'.


Rosli yang memulakan kerjaya bola sepak bersama Kelantan, melanjutkan pelajaran dalam jurusan pendidikan jasmani dan pengurusan sukan selama empat tahun di Universiti Eastern New Mexico, Amerika Syarikat dan kembali ke tanah air pada 1986.

Beliau kemudian mewakili pasukan Selangor dan Wilayah Persekutuan (kini Kuala Lumpur City FC) sebelum bersara untuk beralih ke bidang pengurusan. Antaranya, beliau pernah menjawat jawatan penolong setiusaha Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Pengarah Teknikal kelab Felda United.

Buku ‘Bola Mental’ dilancarkan di Universiti Malaya pada 28 Januari, 2025 lalu. Ia dijual secara dalam talian pada harga RM59 dengan sasaran jumlah jualan 1000 naskhah dalam tempoh enam bulan.

Mereka yang berminat untuk memiliki buku ini boleh menghubungi Rosli pada talian 011 26425542. - KitaReporters

 

 

 

13
14
0
10
0

Copy Link: