Jom ramai-ramai! Hadiri konsert Garis Masa Raihan! Kemuncak Festival Cahaya Israk Mikraj! 18 Feb 2023!
Published byHanya lebih kurang dua bulan lagi, umat Islam akan menyambut awal Ramadan pada pertengahan bulan Mac 2023 dan bermula 23 Januari lalu kita sudah pun memasuki bulan Rejab di mana pada 27 Rejab setiap tahun, sambutan Israk Mikraj pasti akan diraikan dengan pelbagai acara termasuk ceramah atau festival bersifat kerohanian.
Sesungguhnya, peristiwa Israk Mikraj adalah salah satu kekuasaan yang ditunjukkan oleh Allah SWT. yang mana secara ringkasnya, Israk bermaksud perjalanan Rasulullah SAW dari Masjidil Haram di Mekah ke Masjidil Aqsa di Palestin dengan menunggang buraq, manakala Mikraj pula merujuk kepada pergerakan baginda dari Masjidil Aqsa ke Sidratulmuntaha.
Perkara itu ada dirakamkan dalam al-Quran menerusi Surah al-Isra’, ayat 1 dan Surah an-Najm, ayat 13 hingga 18.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan kumpulan Raihan
Sehubungan itu, sempena memperingati perjuangan perjalanan Rasulullah SAW, syarikat WNS Marketing Sdn Bhd bersama Musollah Aisya & Ribath Fatimah Az Zahra mengambil langkah menganjurkan Festival Cahaya Israk Mikraj dengan Konsert Garis Masa Raihan menjadi kemuncak’ pengisiannya.
Dijadual berlangsung pada 18 Februari 2023 di Stadium Malawati, Shah Alam, Selangor, Konsert Garis Masa Raihan yang bakal bermula pukul 9 malam ini menjadi konsert tunggal kumpulan nasyid tersohor negara ini untuk tahun 2023.
Sengaja dinamakan Konsert Garis Masa Raihan, malam tersebut akan diisi dengan untaian lagu yang telah membuat Raihan harum di seluruh dunia apatah lagi mereka telah berada dalam belantika muzik Malaysia dan menjadi kumpulan nasyid tersohor di dalam dan luar negara sejak album pertama,’Puji Pujian’ dirilis pada 1996.
“Sejak itu Raihan telah melalui perjalanan yang panjang dengan turun naik, keluar masuk anggota dan kematangan muzik. Dan di sepanjang garis masa yang dilalui Raihan, kami bersyukur kerana peminat tidak pernah meninggalkan kami. Raihan sentiasa mendapat sokongan daripada semua,” ujar Che Am dari Raihan.
Menurutnya, sebab itu konsert mereka pada kali ini dinamakan sebagai Konsert Garis Masa Raihan.
Menjanjikan sebuah konsert yang akan terus menyuburkan rasa cinta dan kasih sayang terhadap Islam dan perjuangan Rasulullah SAW, Raihan akan mendendangkan hits mereka seperti 'Syukur'', Iman Mutiara', 'Senyum' dan 'Sesungguhnya' yang cukup ikonik dengan kumpulan tersebut.
Terdahulu Konsert Garis Masa Raihan akan dibuka dengan kehadiran tokoh Islam, Habib Ali Zainal Abidin, Habib Jamal Bin Toha Ba’agil dan Sidi Abu Anas Abu Jaish dalam slot khas yang disediakan.
Untuk slot pembukaan pada malam tersebut Habib Ali Zainal Abidin, Habib Jamal dan Amy Search akan tampil memeriahkan lagi sambutan Israk Mikraj.
Selain Konsert Garis Masa Raihan, festival Cahaya Israk Mikraj disusun dengan pelbagai aktiviti yang akan ‘membawa’ kita semua kembali merenung dan menghargai pengorbanan Rasulullah SAW terhadap umatnya.
Cahaya Israk Mikraj akan berlangsung dengan tiga acara bermula seawal pukul 9 pagi sehingga 11.30 malam.
Ia merupakan segmen tausiah dan ceramah sebelum malam kemuncak ditutup dengan persembahan Garis Masa Raihan.
Acara akan dimulakan dengan ceramah berjudul ‘Mengetuk Pintu Langit Israk Mikraj', menampilkan Ustazah Halimah Alydrus bersama beberapa rakan selebriti termasuk Neelofa, Umie Aida, Hana Ismail, Heliza Helmi, Hazwani Helmi dan Zizi Kirana.
Dimulakan pada 9 pagi sehingga 12 tengahari, ‘Mengetuk Pintu Langit Israk Mikraj’ berlangsung khusus untuk kaum muslimin atau wanita sahaja.
“Bersama Ustazah Halimah Alydrus, dengarkan juga pengalaman dan perkongsian pada selebriti mengenai perjalanan hidup mereka,” ujar Datin Paduka Umie Aida dari Musolla Aisya yang merupakan penganjur bersama festival.
Tambahnya, selaku penganjur bersama, mereka tidak sabar untuk membawa penonton semua menghayati makna di sebalik peristiwa Israk Mikraj.
“Kami juga mahu tradisi sambutan salah satu peristiwa penting dalam kelendar Islam ini terus diingati dan sampai kepada generasi masa kini,” harapan Umie.
Bersetuju dengan harapan itu, mewakili Ribath Fatimah Az Zahra, Erma Fatima menambah kata, apa yang penting Cahaya Israk Mikraj diisi dengan puji pujian terhadap Rasulullah, acara terbaik dan seimbang, supaya semua yang hadir mendapat manfaat dari penganjuran festival.”
Acara pada seblah petang disambung dengan ‘Kembara Keajaiban & Keimanan Israk Mikraj’ bermula pukul 2 sehingga 4 petang.
Kembara Keajaiban & Keimanan Israk Mikraj’ yang merupakan acara muslimat ini akan menampilkan Ustazah Amirah Novel Jindan, Ustazah Asma’ Binti Harun, Ustazah Aminah BSA, Ustazah Alwiyah Assegaf, Ustazah Muna Assegaf, Ustazah Sofia Alhabsyi dan Ustazah Khudaij Alosmany sebagai panel.
Sementara itu sebagai penganjur utama, W NS Marketing yakin Konsert Garis Masa Raihan akan menjadi kemuncak acara yang seimbang bermanfaat buat pengunjung.
“Sebagai sebuah kumpulan yang sudah membawa nama Malaysia ke pelusuk dunia lewat lagu lagu kerohanian mereka, kami percaya Raihan akan menarik banyak peminat hadir bukan semata mata untuk menikmati persembahan mereka, tetapi juga menghayati seluruh pengisian penganjuran Cahaya Israk Mikraj ini sendiri,” celah Iam Jim mewakili WNS Marketing Sdn Bhd.
Info lanjut berhubung tempahan tiket boleh layari laman web https://www.ticket2u.com.my/. - KitaReporters