RIZMAN Nordin (kiri) dan Ruzaini Jamil, pereka fesyen terkenal Malaysia diamanahkan mereka busana perasmian Sukan Olimpik Paris 2024 untuk Team Mas. - Kredit foto: IG RR


BELUM pun reda dengan pertukaran reka corak sut trek kontinjen Malaysia yang mulanya dikecam ramai, timbul pula pengumuman tubuh 26 atletnya bakal disarungkan pakaian rasmi kebangsaan rekaan berjenama Rizman Ruzaini pada Sukan Olimpik Paris 2024.

Pereka fesyen terkenal, Rizman Nordin yang bersama-sama Ruzaini Jamil juga ialah pencipta busana penyanyi yang gemar berfesyen pelik, Lady Gaga di Park MGM, Las Vegas, Nevada, Amerika Syarikat dalam konsert ‘Lady Gaga: Jazz & Piano’ pada 20 Jun 2024. 


JENAMA Rizman Ruzaini terdapat pada label pakaian Lady Gaga dalam konsert 'Lady Gaga: Jazz & Piano'. - Kredit foto IG RR 


Kini umum tertanya-tanya apakah rekaannya pula akan mencetuskan kontroversi apabila ditampilkan Team Mas pada acara perarakan rasmi temasya ke-33 itu di Sungai Seine di Paris, bandar raya yang terkenal dengan julukan 'Ibu Kota Fesyen Dunia' pada 26 Julai 2024?

Pakaian kebangsaan dan nama pereka fesyennya bagi perarakan Team Mas pada Olimpik 2024 itu dicanangkan oleh Ketua Kontinjen, Datuk Hamidin Amin di Wisma Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Kuala Lumpur pada 4 Julai 2024.


KETUA Kontinjen Malaysia ke Sukan Olimpik Paris 2024, Datuk Hamidin Amin (duduk, dua dari kiri) mungkin 'diserang' warganet lagi sekiranya pakaian majlis perasmian Team Mas masih tidak cocok pada mata mereka. - Kredit foto: MOM


Sebuah portal blog luar negara pernah meletakkan pakaian majlis perasmian Malaysia pada Sukan Olimpik London 2012 sebagai antara lima yang terburuk di belakang Kanada dan Mexico.

Ketika itu pembawa Jalur Gemilangnya di Stadium Olimpik Taman Olimpik Ratu Elizabeth, London pada 27 Julai 2012 ialah ratu akuatik terjun, Pandelela Rinong Pamg yang kemudiannya mengalungi Malaysia, sebutir pingat gangsa acara pelantar 10 meter wanita.  

Kemudian tibanya Sukan Olimpik Tokyo 2021 tanggal 23 Julai, ada juga cakap-cakap kurang menyenangkan tentang pakaian kontinjen negara yang kain samping atlet lelaki dan kain baju kurung atlet wanitanya terlalu berwarna-warni bagaikan badut sarkas! 

Ketika itu perseorangan badminton, Lee Zii Jia dan pemain beregu campuran, Goh Liu Ying mengetuai perarakan sebagai pembawa bersama Jalur Gemilang di Stadium Olimpik, Tokyo. 


SEKALIPUN tampak garang dan berani dengan corak belang dan warna harimau, ada pula media luar negara yang memperlekehkan pakaian majlis perasmian kontinjen Malaysia ketika Sukan Olimpik London 2012. - Kredit foto: MOM 


Suara lantang warganet ekoran pemaparan sut trek Team Mas yang dilabelkan ‘hodoh’, mendorong Majlis Olimpik Malaysia (MOM) menariknya balik untuk digantikan dengan reka corak belang harimau yang lebih garang pada 2 Julai 2024.

Majlis Sukan Negara (MSN) yang lebih gemar mengunci mulut dan membiarkan MOM menangkis dan menghadam segala kritikan pedas itu, pada 5 Julai 2024 pula menyiarkan penjelasan dan perbezaan mengenai pakaian Team Mas sepanjang Sukan Olimpik Paris 2024 dari 26 Julai hingga 11 Ogos 2024.

MSN menyatakan bahawa sut trek dan baju-T yang dikecam teruk warganet ketika sambutan Hari Olimpik Malaysia pada 23 Jun 2024 itu ialah ‘Pakaian Rasmi Kontinjen’ yang disediakan MOM pada pelbagai temasya sukan utama antarabangsa seperti Sukan Olimpik, Sukan Asia, Sukan Komanwel dan Sukan SEA.


MSN tampil memberikan penjelasan dan perbezaan antara Pakaian Kontinjen, Pakaian Pertandingan dan Pakaian Majlis Perasmian oleh Team Mas pada pelbagai temasya sukan utama antarabangsa. - Kredit foto: MSN


“Pakaian Rasmi akan dipakai (atlet dan pegawai) sepanjang temasya (tersebut) termasuk majlis penyampaian pingat. Bagi Sukan Paralimpik, MSN yang menyediakannya,” lapor laman sosial Facebook MSN itu pada 5 Julai 2024.

‘Pakaian Pertandingan’ atau biasanya dipanggil jersi atau team kit (kelengkapan pasukan) pula menurut MSN, disediakan oleh persatuan sukan kebangsaan (PSK) untuk atlet-atlet jenis sukan mereka yang bertanding pada temasya tersebut mengikut spesifikasi yang ditetapkan oleh badan sukan antarabangsa masing-masing.

“‘Pakaian Majlis Perasmian’ pula disediakan oleh MSN untuk dipakai kontinjen negara yang mulai 6 Jun 2024 digelar Team Mas, ketika majlis pembukaan rasmi temasya dengan yang menjadi tumpuan terkini ialah Sukan Olimpik Ke-33 pada 26 Julai 2024.



BUSANA Lady Gaga dalam konsert di Park MGM, Las Vegas, Nevada, Amerika Syarikat pada 20 Jun 2024 ini direka oleh Rizman Nordin dan Ruzaini Jamil. - Kredit foto: IG RR


Di sini dan ketika inilah apakah pakaian rekaan Rizman itu mampu ‘kalis percikan air’ Sungai Seine, Paris sepanjang enam kilometer apabila Team Mas yang diketuai penerjun akuatik Bertrand Rhodict Lises dan atlet pelayaran, Nur Shazrin Latif sebagai pembawa bersama Jalur Gemilang menyusurinya bersama-sama 24 rakan sepasukan daripada sembilan jenis sukan.

Bagaimana pula reaksi para peminat sukan nanti sama ada yang menyaksikannya menerusi siaran langsung TV mahupun pelbagai gajet dalam talian atau yang sanggup terbang ke ibu kota L'hexagone (Segi Enam) untuk melihatnya lebih dekat dan nyata? - KitaReporters


 

 ADA suara segelintir pemerhati sukan yang mengkritik pakaian majlis perasmian Olimpik kontinjen Malaysia pada Sukan Olimpik Tokyo 2021 ini persis badut sarkas. - Kredit foto: MOM 


 

SETELAH teruk dikecam para peminat tempatan, MOM pimpinan Tan Sri Mohamad Norza Zakaria (dua dari kiri) dan Timbalan Presidennya, Hamidin Amin (kiri) mengalah dengan kehendak mereka untuk menggantikan sut trek dan baju T Team Mas dalam Olimpik Paris dengan reka corak yang lebih belang dan lebih garang. - Kredit foto: MOM

12
10
0
12
0

Copy Link: