Syabas Ariana, Azreena dan Syaqiera! Tempah tiket ke Olimpik 2024! Tiga panahan 'Perfect 10' recurve!
Published by
ARIANA Nur Dania Mohamad Zairi (kiri), Nurul Azreena Mohamad Fazil (tengah) dan Syaqiera Mashayikh layak ke Sukan Olimpik Paris 2024 dalam acara recurve berpasukan wanita. - Kredit foto: MSN
ARIANA Nur Dania Mohamad Zairi, Nurul Azreena Mohamad Fazil dan Syaqiera Mashayikh melebarkan saiz kontinjen Malaysia ke Sukan Olimpik Paris 2024 pada bulan depan (Julai 2024) apabila turut menempah tiketnya dengan ke separuh akhir Kejohanan Kelayakan Memanah Olimpik.
Trio acara recurve berpasukan itu menewaskan gandingan Colombia 55 berbalas 50 mata dalam perebutan slot temasya ke-33 dari 26 Julai hingga 11 Ogos 2024 itu di Padang Memanah Cenntential, Antalya, Turkiye.
Ariana, Azreena dan Syaqiera turut mencatat tiga kali 10 mata sempurna antara enam giliran panahan mereka sedangkan lawan sekadar beroleh tiga catatan maksimum sembilan mata pada 14 Jun 2024.
Setakat ini, 16 atlet Malaysia sah akan ke Olimpik Paris termasuk Ariana yang layak lebih awal pada 11 November 2023 lalu sebagai juara acara recurve perseorangan Kejohanan Kelayakan Olimpik Benua Asia di Bangkok, Thailand.
ARIANA Nur Dania Mohamad Zairi (tengah) menaiki podium pingat emas recurve individu memanah wanita Kejohanan Kelayakan Benua Asia di Bangkok sekali gus layak ke Olimpik Ke-33. - Kredit foto: MSN
Kontinjen negara ke Paris diketuai Timbalan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Amin dengan Timbalannya bekas ratu skuasy negara, Datuk Nicol David.
Mereka yang turut telah layak ialah Lee Zii Jia, Aaron Chia/Soh Wooi Yik, Goh Jin Wei, Pearly Tan/M. Thinaah dan Chen Tang Jie/Toh Ee Wei (badminton).
Atlet-atlet lain termasuk Nur Aisyah Zubir, Datuk Azizulhasni Awang, Shah Firdaus Sahrom, Nurul Izzah Izzati Asri (berbasikal), Bertrand Rhodict Lises (akuatik terjun) dan Khairulnizam Afendy serta Nur Shazrin Latif (pelayaran).
AKSI meyakinkan dan cemerlang Ariana Nur Dania Mohamad Zairi di Bangkok sehingga berjaya meraih tiket Sukan Olimpik Paris bagi recurve individu wanita. - Kredit foto: MSN
Berbanding jiran seperti Thailand, Indonesia, Filipina bahkan Singapura, masih belum ada atlet negara yang berjaya mengumandangkan lagu Negaraku dan mengibarkan Jalur Gemilang di podium pingat emas Sukan Olimpik sejak menyertainya pada 1956 di Melbourne, Australia (ketika itu Persekutuan Tanah Melayu atau Malaya).
Pencapaian terbaik kontinjen kita ialah pada Olimpik Rio 2016 menerusi Datuk Lee Chong Wei, Goh V Shem/Tan Wee Kiong, Chan Peng Soon/Goh Liu Ying (badminton), Cheong Jun Hoong/Pandelela Rinong Pamg (akuatik terjun) – empat pingat perak dan Azizulhasni Awang (berbasikal) – sebutir pingat gangsa.
Olimpik Tokyo 2021 sekadar menyaksikan Malaysia membawa pulang sebutir pingat perak acara keirin berbasikal menerusi Azizulhasni yang mesra digelar Jijoe atau ‘Si Roket Saku’ (The Pocket Rocketman) dan sebutir pingat gangsa beregu badminton, Aaron Chia/Soh Wooi Yik. - KitaReporters
SYAQIERA