Gila Hindustan| Babita robohkan tembok keluarga Kapoor! Benarkan anak-anak perempuannya berlakon!
Published byNama hebat dalam keluarga Kapoor. Dari kiri: Raj Kapoor, Prithviraj Kapoor, Shammi Kapoor dan Shashi Kapoor.
DALAM
Keluarga Kapoor, nama besar dalam industri filem Bollywood, peraturan tetap
keluarga ialah anak perempuan tidak dibenar sama sekali menceburkan diri dalam
perfileman jika sekali pun berbakat
besar.
Bukan
setakat itu, peraturan ini juga terpakai kepada pelakon wanita yang berkahwin
dengan ahli keluarga Kapoor. Mahu tidak mahu mereka mesti berundur daripada
filem dan menjadi suri rumah sepenuh
masa.
Keluarga
Kapoor adalah nama besar dalam industri filem Bollywood. Daripada ketua
keluarga, Prithviraj Kapoor (1906-1972) yang bermula dari teater ke filem,
keluarga itu melahirkan bintang ternama yang mewarnai dunia filem Bollywood.
Mereka adalah rangkaian tiga beradik anak kepada Prithviraj, iaitu Raj Kapoor (1924-1988), Shammi Kapoor (1931-2011) dan Shashi Kapoor (1938-2017).
Mereka merupakan bintang ternama yang menguasai layar perak sejak tahun 50-an, seiring dengan bintang lain seperti Dev Anand, Biswajit, Rajendra Kumar dan lain-lain.
Shashi Kapoor dan Babita dalam 'Hasina Maan Jayegi'.
Peminat filem
Hindi tentu masih ingat dengan ‘Awara’, ‘Sangam’ dan ‘Mera Naam Joker’
antara filem hebat lakonan Raj Kapoor. Juga tentu ingat dengan ‘An Evening in
Paris’, ‘Andaz’ dan ‘Brahmachari’ lakonan Shammi Kapoor. Begitu juga
‘Kanyaadan’, ‘Pyar Ka Mausam’, ‘Trishul’ dan ‘Kabhi-Kabhie’ lakonan Shashi Kapoor.
Ini sekadar
menyebut beberapa buah filem lakonan ketiga-tiga beradik Kapoor. Beratus-ratus filem
mereka bintangi selama mengabdikan diri dalam perfileman. Malah Raj Kapoor
memiliki studio perfileman sendiri, RK Studio.
Menyambung
tradisi keluarga Kapoor ini ialah anak-anak Raj Kapoor, iaitu Randhir Kapoor
dan Rishi Kapoor (1952-2020). Ingat ‘Bobby’ pasti ingat kepada Rishi, filem
yang mengangkat namanya bersama Dimple Kapadia. Selain itu banyak lagi filem
lakonannya.
Bagaimana pun anak-anak Shami Kapoor atau Shashi Kapoor tidak menonjol sebagai bintang. Anak Shammi, iaitu Aditya pernah berlakon tetapi lebih popular sebagai produser filem, penulis dan ahli perniagaan. Anak Shashi Kapoor pernah mencuba nasib melalui ‘Ahista-Ahista’ tetapi gagal mencipta nama.
Pelbagai sudut wajah jelita Babita ketika berada di puncak kerjaya di Bollywood.
Kehebatan keluarga Kapoor menyebabkan ramai pelakon wanita ingin menjadi ahli keluarga
disegani itu. Namun yang berjaya ialah bintang jelita Babita, 77, yang berkahwin
dengan Randhir Kapoor, 77, pada 1971. Mereka jatuh cinta dalam set penggambaran
filem ‘Kal Aaj Aur Kal’ pada tahun sama.
Seorang
lagi ialah aktres Neetu Singh yang berkahwin dengan Rishi Kapoor pada 1980.
Mereka berkahwin walaupun Rishi dikaitkan dengan Dimple Kapadia setelah
kejayaan besar ‘Bobby’. Dimple berkahwin dengan Rajesh Khanna.
Namun peraturan
tetap peraturan yang mesti dipatuhi. Sebaik menjadi keluarga Kapoor, Babita dan
Neetu Singh terpaksa berundur daripada kilauan lampu Bollywood walaupun ketika
itu mereka berada di puncak kehebatan sebagai bintang filem.
Semua patuh
kepada peraturan keluarga Kapoor yang diamalkan sejak zaman berzaman
sehinggalah Babita bertindak mengubah tradisi ini. Dia adalah individu yang berani
melanggar peraturan ini dengan menggalakkan dua anak perempuannya, Karishma
Kapoor, 49, dan Kareena Kapoor, 43, menjadi bintang filem.
Bintang antaranya ‘Farz’, ‘Hasina Maan Jayegi’, ‘Ek Shriman Ek Shrimati’, ‘Tumse Acha Kaun Hai’, ‘Pehchan’, ‘Anjaana’ itu melihat anak-anaknya mempunyai bakat besar dalam lakonan dan tidak harus disia-siakan begitu sahaja. Dia tidak mahu anak-anaknya terkongkong dengan peraturan keluarga Kapoor yang menyebabkan dia sendiri berundur daripada filem ketika namanya disanjung.
Perkahwinan Randhir Kapoor dan Babita pada 1971.
Kerana itu Babita nekad merobohkan tembuk halangan yang dianggap ketinggalan zaman. Dia tidak
mahu peraturan tersebut mengekang bakat anak-anaknya walaupun mendapat
tentangan suaminya sendiri, Randhir, yang mahu tradisi keluarga Kapoor dipertahan.
Namun dia tetap bertegas.
Ternyata
percaturan Babita membuahkan kejayaan. Karishma dan Kareena muncul antara
bintang hebat di Bollywood. Secara tidak langung kehadiran mereka menyemarakkan
nama keluarga Kapoor yang dilihat tidak lagi sehebat ketika era 60-an hingga
90-an.
Antara
filem lakonan Karishma ialah ‘Murder Mubarak, ‘Raja Hindustani’, ‘Dil To
Pagal Hai’, ‘Hum Saath Saath Hain’, ‘Jeet’, ‘Raju Babu’, Dulhan Hum Le Jayange’
‘Biwi No 1’ dan banyak lagi.
Filem
lakonan Kareena, isteri aktor Saif Ali Khan, antara lain ialah ‘Crew’, ‘Jab
We Met’, ‘Asoka’, ‘Kabhi Khusi Kabhie Gam’, ‘3 Idiots’, ‘Bajrangi Bhaijaan'.
Banyak daripada filem yang mereka bintangi adalah filem pecah panggung yang menempatkan Karishma dan Kareena di persada Bollywood.
Semua ini adalah berkat keberanian ibu mereka menentang peraturan Keluarga Kapoor. Jika tidak mungkin Karishma dan Kareena kini hanyalah suri rumah sepenuh masa. - KitaReporters
Randhir Kapoor dan Babita bersama anak mereka, Karishma Kapoor (kiri) dan Kareena Kapoor.