ACL 2022: Kemaraan JDT tersekat! Tewas 0-5 pada pusingan kedua! Urawa Red Diamonds terlalu hebat!
Published byKredit foto: FB JDT dan AFC
Bekas juara sebanyak dua kali, Urawa Red Diamonds dari Jepun meneruskan kemaraan ke suku akhir selepas mencatat kemenangan mudah ke atas Johor Darul Ta'zim (JDT) 5-0 dalam saingan peringkat kalah mati Liga Juara-Juara AFC (ACL) 2022 yang berlangsung di Stadium Saitama pada hari ini, Jumaat, 19 Ogos 2022.
Dalam perlawanan ini, Arif Aiman Mohd Hanapi menguji terlebih dahulu gawang gol Urawa Red Diamonds namun percubaan jauh beliau berjaya ditepis keluar oleh penjaga gol mereka.
Ketika skuad kendalian Hector Pablo Bidoglio dilihat cuba menyesuaikan diri dalam perlawanan ini, Urawa Red berjaya membuka tirai jaringan seawal minit ke-8 apabila pengadil dari Australia menghadiahkan sepakan penalti selepas penjaga gol JDT, Farizal Marlias dikatakan melakukan kekasaran dan Alexander Scholz tiada masalah untuk meletakkan tuan rumah di hadapan.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Liga juara-Juara AFC
Kredit foto: FB JDT dan AFC
JDT kembali mengatur serangan dan gerakan Arif Aiman hampir membuka peluang jaringan untuk JDT namun tolakan beliau terlalu kuat kepada Fernando Martin Forestieri.
Dalam usaha JDT mengatur serangan, mereka dihukum sekali lagi melalui serangan pantas pemain Urawa Red dan Matthew Thomas Davies terpaksa menjatuhkan pemain Urawa Red di luar kotak penalti.
Sepakan percuma untuk Urawa Red dan David Joacim Moberg Karlsson tidak mempersia peluang tersebut apabila menjaringkan gol cantik untuk menewaskan Farizal Marlias untuk kali kedua pada minit ke-19.
Mendahului 2-0 dalam masa 20 minit ternyata memberi tekanan untuk para pemain JDT apabila serangan mereka mudah dipatahkan oleh pemain Urawa Red.
Sementara pasukan tuan terus mempamerkan taring dengan menguasai permainan dan menekan setiap kali pemain JDT memegang bola sehingga memberi kesukaran kepada permainan JDT.
Ketiadaan Leandro Sebastian Velazquez di bahagian tengah ternyata memberi kesan sangat besar untuk JDT apabila permainan mereka tidak seperti perlawanan sebelum ini.
Malah JDT sukar untuk bermain hantaran pendek dek kerana intensiti tinggi pemain-pemain Urawa Red.
Urawa Red terus mempertingkat serangan dan kelincahan Yusuke Matsuo sentiasa memberi masalah besar kepada pertahanan JDT.
Karlsson sekali mencatat nama sebagai penjaring untuk gol kedua beliau dalam perlawanan ini dan meletakkan Urawa Red lebih selesa mendahului 3-0.
Bermula separuh masa kedua, mungkin terlalu selesa mendahului, ketua jurulatih Urawa Red, Ricardo Rodríguez Suarez melakukan tiga pertukaran sekali gus. Permainan tuan rumah juga nampak jauh berbeza dari separuh masa pertama apabila lebih tenang dalam mengawal bola.
JDT cuba bangkit dan mencari gol untuk merapatkan kedudukan namun menghadapi kesukaran setiap menyerang ke kawasan mereka. Peluang terbaik JDT hadir pada minit ke-60 menerusi Forestieri namun tandukan beliau berjaya dikeluarkan oleh pemain Urawa Red.
JDT melakukan pertukaran pemain dan perubahan taktikal dan permainan JDT ternyata nampak lebih baik apabila hantaran pendek menjadi dan lebih berani memegang bola terutama bahagian tengah.
Dalam keghairan JDT mencari gol dan mengatur serangan demi serangan dari pelbagai arah, mereka dihukum melalui serangan balas dan kali ini Kasper Aalund Junker pula menceriakan penyokong tuan rumah dan beliau sekali menjadi watak pemusnah untuk jaringan kelima pada masa kecederaan, minit ke-91.
Kekalahan JDT maka tamatlah perjuangan mereka di AFC selepas terkandar di pusingan kedua namun ia satu pencapaian terbaik untuk kelab Malaysia kerana ia pertama kali lepas dari peringkat kumpulan. - KitaReporters
Kredit foto: FB JDT dan AFC