Majlis tahlil Mael XPDC! ABIM anjur majlis secara hibrid! Peringati aktivis seni berpengaruh besar!
Published byAlhamdulillah, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Pusat dan ABIM Johor telah menganjurkan Majlis Tahlil Almarhum Syed Ismail Syed Ibrahim (Mael XPDC) bagi memperingati seorang aktvis seni yang mempunyai pengaruh yang besar khususnya kepada generasi yang membesar pada era 90an.
Rakaman majlis tersebut boleh ditonton di https://fb.watch/ksFqMskhUp/?mibextid=ZbWKwL
Majlis yang diadakan secara hibrid - dalam talian melalui Zoom serta secara fizikal; di Taski ABIM Al-Hidayah, ABIM Muar, Johor ini turut disiarkan secara ‘live streaming’.
Hadir sama, Muhammad Faisal Abdul Aziz (Presiden ABIM); Ustaz Farhan Ashari (Yang Dipertua ABIM Johor); Syed Ali Syed Ibrahim (adik bongsu Mael XPDC); Zuar XPDC (pemain bass XPDC); Yazid Bro (Pengurus XPDC) serta Kartunis Sukun.
Menerusi karya-karya JS Kevin (Almarhum) dan Izo XPDC Militia, lagu-lagu berunsur kerohanian dan ketuhanan XPDC (asalnya kumpulan Tragedy) dapat disampaikan kepada masyarakat melalui bahasa yang mudah dan membekas melalui cara dan vokal Mael yang tersendiri.
Daripada album-album XPDC dan Real XPDC, senikata serta tajuk lagu-lagu mereka yang dinyanyikan Almarhum Mael juga banyak kali dicoretkan dalam kartun-kartun lukisan kartunis terkenal majalah komik Ujang era 90-an seperti Kartunis Sukun dan Almarhum Kartunis Aie.
Almarhum Mael, 55, pulang ke rahmatullah pada 27 April 2023 lalu.
Beliau adalah salah seorang pengasas kumpulan ‘XPDC’ (1987) yang menggunakan nama ‘Tragedy’ (1985) bersama Eddy Badry dan Izo yang bertindak sebagai gitaris.
Sekitar 1990 sehingga awal 2000, XPDC yang dianggotai Mael, Izo, Zuar dan Amy berjaya mencatat penjualan album terbaik sehingga melebihi 100,000 unit.
Jumlah itu tercatat menerusi jualan album ‘Darjah Satu’ (1990), ‘Timur Barat’ (1992), ‘Kita Peng-Yu’ (1994), ‘Brutal’ (1997) serta beberapa album kompilasi.
Album ‘Kita Peng-Yu’ serta ‘Brutal’ mencetuskan fenomena apabila terjual melebihi 350,000 unit. Selepas XPDC, Mael bergerak bersama Real XPDC, Real X dan XPDC Kita Peng-Yu.
Almarhum sinonim dengan lirik dan lagu ciptaan Almarhum J.S Kevin (Zul Adnan Mohd Razali Said) seperti ‘Raja Kertas’; ‘Aku Dan Sesuatu’; ‘Hentian Ini’; ‘Bahalol’; ‘Sedekah’; ‘Semangat Yang Hilang’; ‘Titian Perjalan’ dan ‘Senapang Patah’ yang banyak berunsur kerohanian serta nasihat. - KitaReporters/Kenyataan Media