Video| Seni silat di pentas dunia! Aktor 80-an wakili negara! Pertandingan seni bela diri di China!

Published by
KitaReporters


TAK akan Melayu hilang di dunia itu bukan sekadar kata-kata, namun terbukti apa sahaja yang dikaitkan dengan Melayu termasuk budaya, adat dan seni tetap gah di pentas dunia!

Begitu juga seni mempertahankan diri, yang merupakan warisan negara tetap menjadi kebanggaan negara sehingga saat ini.

Mengambil keputusan memperkenal dan mempromosikan seni mempertahan diri Melayu, sebuah syarikat produksi tempatan, NQ Cultural Comercial (NQCC) tampil mengetengahkan seni mempertahan diri menerusi pertandingan pada peringkat antarabangsa di China.


Lagi kisah-kisah menarik berkaitan silat dan persilatan


Penerbitnya, Dr Mazlan Goh berkata, walaupun pertandingan tahunan berkenaan berlangsung pada Jun 2023 namun sebagai persiapan  lebih awal dan memulakan penggambaran seni mempertahan diri dalam persilatan akan ditonjolkan di pentas dunia melalui Pertandingan Seni Mempertahan Diri yang berlangsung di wilayah Shandong, China.

"Kalau orang China ada seni mempertahan diri seperti kung fu dan wusyu kita juga ada seni mempertahan diri yang perlu dibanggakan yang merupakan peninggalan nenek moyang kita sendiri seperti persilatan Melayu dan perlu dipromosi ke peringkat antarabangsa," katanya.



Penyertaan dalam pertandingan peringkat dunia ini bukan sahaja dapat membawa nama Malaysia di mata dunia tetapi lebih utama mahu memperkenal seni budaya yang berasal negara ini ke peringkat dunia.

Katanya, ini merupakan langkah utama pihaknya yang  mahu memperkenal Malaysia melalui seni mempertahan diri berikutan pihak produksinya akan terlibat dengan penerbitan filem membabitkan seni mempertahan diri tidak lama lagi.



Menyedari keindahan dan kehebatan seni silat Melayu, pihaknya mengambil keputusan untuk memilih pelakon era 1980-an, Yusof Wahab bagi mewakili peserta Malaysia dalam pertandingan berkenaan.

Bersandarkan pengalaman dan kepakaran Yusof  yang bukan sahaja terlibat dalam dunia persilatan Melayu tetapi juga mendalami seni mempertahankan diri lain seperti karate, tae kwan do dan shaolin, kita bersetuju menjadikan beliau sebagai peserta dan mewakili negara dalam pertandingan ini.



“Kita memilih Yusof kerana percaya kepada pengalamannya dalam dunia persilatan lebih 50 tahun berikutan penglibatan dirinya dalam dunia silat sejak kecil lagi selain berdasarkan pengalaman kemampuan dan kebolehan dirinya,” katanya kepada KitaReporters dalam pertemuan di Istana Seri menanti, Kuala Pilah pada 25 September 2022, lalu.

Mazlan bagaimanapun berkata, bukan kemenangan yang mahu difokus tetapi berhasrat untuk membolehkan masyarakat antarabangsa mengenali budaya masyarakat Melayu di Malaysia.



Malah dilihat sebagai permulaan ke arah memperkenal seni mempertahan diri yang wujud dan bertapak di negara ini.

Bagaimanapun disebabkan pandemik COVID-19 yang berlaku di China sekali gus menyebabkan pintu sempadan masih ditutup menjadikan, pihak NQCC hanya dibenarkan untuk menghantar rakaman video bagi menyertai pertandingan itu yang menjadikan Istana Lama Seri Menanti,  Kuala Pilah, Negeri Sembilan sebagai lokasi penggambaran pertandingan berkenaan. 

Rakaman video berkenaan menonjolkan Yusof yang segak berbusana melayu tradisional memperkenal beberapa langkah  gerak seni bela diri silat Melayu. 



Sementara itu Yusof yang juga pelakon dan pengarah filem melahirkan rasa kagum kerana persilatan Melayu kini mempunyai tempat di peringkat antarabngsa.

Katanya penyertaan berkenaan diyakini mampu mengetengahkan seni warisan Melayu melalui persilatan Melayu pentas dunia.

Katanya tempoh yang diberikan selama 15 minit dalam pertandingan berkenaan digunakan dengan menampilkan empat gerak silat yang berbeza-beza. 

“Pertama sekali adalah silat Kalung Jawa diikuti Sayung Jawa, Pelanduk Tunggal yang merupakan sejarah yang dikutip daripada pelanduk yang menendang empat ekor anjing milik Parameswara ketika beliau mula-mula tiba di tanah Melaka.

"Langkah yang terakhir tapak Cemanding yang ditunjukkan bagi memenuhi tempoh yang masa yang ditetapkan,” katanya.

Semoga penglibatan Yusof di pentas dunia bukan sahaja membawa pulang kejayaan tetapi juga memperkenalkan budaya dan wanisan di negara di peringkat antarabangsa. - KitaReporters


13
12
0
12
0

Copy Link: