Golongan OKU bukan untuk dipersenda! Dr Zulkifli gesa santuni mereka! Ladang kita tuai pahala!
Published bySEBELUM ini tular dalam media sosial beberapa video individu mempersenda, mengejek dan menggunakan kemudahan khusus untuk golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) sehingga membangkitkan kemarahan orang ramai.
Perilaku seperti itu menunjukkan masih ada
segelintir masyarakat yang tidak sensitif dan kurang arif mengenai
kemudahan-kemudah yang disediakan untuk golongan OKU.
Disebabkan itu, mereka tanpa segan silu mempersenda
dan menggunakan kemudahan untuk golongan OKU tanpa sebarang alasan munasabah.
Rendah sekali nilai moral mereka apatah lagi yang melakukan perkara tersebut terdiri daripada orang Islam. Mereka bukan sahaja memburukkan diri sendiri tetapi juga agama Islam!
Lagi cerita-cerita menarik
Islam tidak pernah mengajar umatnya menghina golongan OKU.
Tahukah anda, Islam tidak pernah mengajar umatnya
untuk mempersendakan orang lain apatah lagi OKU. Sebagai hamba, semua manusia
sama di sisi Allah SWT. Hanya iman dan takwa sahaja membezakan setiap orang.
Sebenarnya hukum mempersenda OKU sudah lama diulas oleh bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri dalam website Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan. Jadi, apa kata kita bugarkannya kembali agar menjadi peringatan kepada semua.
Menurut Dr Zulkifli, Islam merupakan rahmat buat sekalian insan. Islam tidak pernah menyisihkan golongan OKU bahkan terdapat banyak gesaan dalam al-Quran yang memberikan perhatian kepada golongan ini.
Firman Allah SWT yang bermaksud, "tidaklah menjadi
salah kepada orang buta, dan tidaklah menjadi salah kepada orang tempang, dan
tidaklah menjadi salah kepada orang sakit (tidak turut berperang, kerana
masing-masing ada uzurnya).
Dan (ingatlah), sesiapa yang taat kepada Allah dan
Rasul-Nya, akan dimasukkan-Nya ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya beberapa
sungai; dan sesiapa yang berpaling ingkar, akan diseksa-Nya dengan azab yang
tidak terperi sakitnya." (Al-Fath: 17)
Ibn ‘Abbas R.Anhuma berkata turunnya ayat di atas apabila ayat sebelumnya (Al-Fath, ayat ke -16) menceritakan tentang azab yang pedih bagi mereka yang tidak turut sama dalam berjuang menentang musyrikin lantas bertanyakan golongan-golongan kurang upaya dalam kalangan mereka seperti buta, tempang kakinya dan yang sakit kepada Rasulullah SAW akan perihal keadaan mereka yang uzur itu untuk turut sama berjuang.
Tegas Dr Zulkifli, sebagai orang Islam kita hendaklah menyantuni golongan OKU.
Lantaran daripada soalan tersebut, maka turunlah
ayat di atas dengan memberikan keringanan buat golongan OKU dengan tidak
menjadi kesalahan buat mereka untuk tidak menyertai peperangan. [Tafsir
al-Qurtubi. Dar al-Kutub al-Misriyyah, 16/273]
Jelas Dr Zulkifli lagi, antara cabaran yang perlu
dihadapi golongan OKU adalah melibatkan persekitaran dan juga sikap
mentaliti sesetengah masyarakat umum.
Dari aspek persekitaran, dapat dilihat
kebanyakan insfrastruktur dan kemudahan yang sedia ada masih lagi kurang mesra
OKU. Golongan OKU tidak dapat mengakses kebanyakan kemudahan yang sedia ada dan
ini menyebabkan keterbatasan mereka dalam melakukan aktiviti harian dan
bersosial.
Ditambah pula dengan sikap sesetengah individu yang suka menggunakan kemudahan khusus untuk OKU seperti dalam video yang tular kini, menambahkan lagi ‘perit’ golongan ini. Bukan sahaja menyalahgunakan kemudahan OKU, tetapi mereka turut mempersenda dan mengajuk kelainan yang ada pada OKU.
Sikap masyarakat umum yang normal ini amatlah tidak
wajar. Tegas Dr Zulkifli, sebagai seorang muslim yang beriman, inilah masa untuk
menuai pahala dengan menghulurkan bantuan yang sewajarnya kepada golongan OKU.
Islam mengajar kita agar tolong menolong ke arah
kebaikan dan tanpa syak lagi bahawa membantu dan menyantuni golongan OKU ini
termasuk dalam kebaikan yang perlu disegerakan.
Firman Allah SWT yang bermaksud, "dan hendaklah kamu
bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu
bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan
bertaqwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksa-Nya
(bagi sesiapa yang melanggar perintah-Nya)." (Al-Maaidah: 2)
Islam juga mengajarkan agar bersikap adil terhadap
semua. Islam sama sekali tidak menyetujui jika terdapat sesetengah golongan
dinafikan haknya, ditindas dan tidak diendahkan.
Lihatlah ketika mana Rasulullah SAW sedang sibuk
berdakwah kepada golongan bangsawan Quraisy dan pada waktu itu telah datang
Abdullah bin Umm Maktum ingin bertanyakan sesuatu kepada Rasulullah SAW namun
Rasulullah SAW telah memalingkan mukanya daripada Abdullah bin Umm Maktum.
Allah SWT telah menegur Baginda SAW melalui
firman-Nya di dalam Surah ‘Abasa rentetan daripada sikap Rasulullah SAW
tersebut.
Justeru, teguran Allah ini sebagai satu isyarat
golongan OKU ini perlu dilayani dengan saksama dan tidak boleh dinafikan hak
mereka dalam urusan agama, ilmu dan seumpamanya.
Apatah lagi jika berkaitan dengan urusan-urusan menyambung kehidupan kerana mereka juga berhak hidup sebagaimana mereka berhak dilahirkan dan dibesarkan dengan adil. - KitaReporters