Apit kiri: Wira tak didendang! Dalang berbisa dalam diam!
Published byAPIT kanan atau pelibas dan tekong lebih disanjung dalam perlawanan sepak takraw kerana kerap menghasilkan mata dan memukau penonton dengan libasan kalih, pari atau gulung serta servis kuda mereka. Apit kiri pula seperti wira yang tak didendang dalam kejituan trio mana-mana regu takraw. : KitaReporters
Lagi cerita-cerita berkaitan sepak takraw:
https://kitareporters.com/search?search=takraw
Sering kali juga sorotan jurukamera media mahupun ulasan takjub pengulas TV hanya meraikan perejam gara-gara aksi akrobatik luar biasa mereka yang seperti 'merayap' di udara.
Apit kiri atau pengumpan pula mungkin tidak segah itu, namun dialah ‘wira yang tidak didendang’ dan ibarat midfielder (perantara) bola sepak yang sentiasa mengintai lubuk mata dan ruang sasaran di kawasan lawan.
Tenang menyambut servis atau rejaman lawan malah mampu ‘menjinakkan’ bola yang laju dengan kelembutan badan dan kaki serta pintar mengatur serangan balas buat regunya.
Inilah tiga prasyarat penting dalam memilih siapa pengumpan atau apit kiri terbaik dalam saingan Divisyen Perdana Liga Sepak Takraw (STL) 2020 sejak saingannya disingkap pada 18 September 2020 lalu.
WAJAH terkini Abd. Malik Samsudin, legenda sepak takraw Malaysia. - Kredit foto Malik.
MALIK (dua dari kiri) bersama regu emas Sukan SEA Manila 1991 - (dari kiri) Rehan Mohamad Din, Nordin Sabarudin dan Baharum Jahar. - Kredit foto infotakraw.com.
MUQLIS Borhan juga digelar Kecik, membantu Johor Tigris merangkul Piala Juara-juara STL musim 2019. - Kredit foto FB STL.
“Setakat ini, ada tiga calonnya iaitu Muqlis Borhan (Johor Tigris), Aidil Aiman Azwawi (Kelantan Warriors) dan Azwan Muhrim (Perak Bison). Permainan mereka ada ketenangan dan kelembutan serta variasi hantaran bola.
“Mereka mempunyai cara pengaturan permainan yang berkesan. Arif dalam merancang serangan perejam supaya sukar ditampan lawan malah sesekali mampu menyambar peluang untuk turut melibas dengan tepat,” kata Abd. Malik Samsudin.
Siapa lagi yang layak menilai dan mengulas permainan mereka jika bukan Malik - pemenang tiga pingat emas Sukan Asia Beijing 1990 dan Hiroshima 1994, tiga pingat emas Sukan SEA Kuala Lumpur 1989 dan Manila 1991 serta anggota skuad juara Piala Raja Thailand 1988.
Episod gemilang Malik pastilah terarah kepada emas berganda di Gimnasium Fengtai, Beijing setelah gandingannya, Nordin Sabarudin (tekong) dan Rehan Mohamad Din (pelibas) yang digelar 'Tiga Din' menumpaskan musuh tradisi, Thailand dalam acara berpasukan dan antara regu.
AZWAN Muhrim membina karier sepak takraw dengan Terengganu Turtles, namun kini bersama Perak Bison. - Kredit foto FB STL.
Selain itu katanya, seseorang pengumpan yang handal ialah berani berdepan dan cepat ‘menghidu’ sasaran rejaman lawan untuk menangkis atau mematahkan serangan mereka sebelum ‘memulangkan paku buah keras’.
“Muqlis umpamanya selain mengatur servis ‘bermata’ (ace) sebagai pelontar bola kerana Johor ada tekong kidal dan mungkin lemparan apit kanannya kurang tepat, mampu membuat libasan gulung jika keadaan terdesak dan dalam rentak permainan yang pantas,” kata Malik.
Tindakan ini sesekali menjadikan regu Johor Tigris mempunyai pelibas kembar (selain didukung tetap oleh Noraizat Nordin) - satu kelebihan besar jika dibandingkan dengan lawan.
Ketika karier sebagai pemain, Malik turut kerap menjadi pelontar servis buat Azman Ismail, juga tekong kidal apabila mereka bergandingan sama ada dalam regu Kedah ketika Kejohanan Kebangsaan Piala Emas Khir Johari mahupun skuad negara di arena antarabangsa.
AIDIL Aiman Azwawi, apit kiri Kelantan Warriors dan pasukan negara. - Kredit foto FB STL.
MUQLIS Borhan perlu turut menjadi pelontar bola servis buat kedua-dua tekong kidal Johor Tigris. - Kredit foto FB STL.
Beliau walau bagaimanapun mendapati prestasi pengumpan kebangsaan, Farhan Adam agak menurun dalam musim ini sehingga apit kiri yang menggantikannya dalam regu Selangor Pistons tampak beraksi lebih baik.
Mengimbas aksi Divisyen Satu STL yang berakhir 13 September 2020 lalu dan menyaksikan gelarannya menjadi milik Bomba Fighters, katanya, yang agak menonjol cuma Suhairi Sulaiman, pemain Putrajaya Cyborg. - KitaReporters