Norma baharu menjalani ibadah berpuasa, bertarawih, berzakat
Published byBULAN Ramadan 1441H/2020M ini dilalui dalam suasana mengamalkan norma (standard atau keadah) kehidupan yang baharu dan berlainan sama sekali daripada tahun-tahun sebelumnya. Semuanya berpunca daripada jangkitan dan penularan pandemik COVID-19 yang melanda dunia sejak awal tahun 2020 ini. : KitaReporters
Gambar Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bersama Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin semasa perutusan Ramadan Al Mubarak 2020 (1441 Hijrah) - Kredit foto: TV Selangor.
Bagi masyarakat Muslim, setiap tahun sambutan kedatangan Ramadan Al Mubarak pastinya diraikan dengan penuh meriah sebagai tanda kesyukuran mengikut kemampuan masing-masing.
Bagaimanapun kali ini, bulan suci ini terpaksa dilalui dalam suasana terhad tanpa ada majlis-majlis keraian atau kenduri di masjid dan surau kecuali secara persendirian di rumah sekeluarga.
Juga sebelum bermulanya bulan mulia ini, kegiatan seperti gotong royong membersih masjid, surau atau musolla dan tanah-tanah perkuburan turut tidak diadakan seluruh negara.
Semua ini nampaknya terpaksa ditangguh!!
Solat sunat tarawih berjemaah pada Ramadan 1441 ini sama ada di masjid, surau dan musolla pun tidak dapat diadakan kerana kekangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Sebaliknya setiap orang Islam perlu menunaikannya di rumah masing-masing sama ada berjemaah dengan keluarga atau bersendirian.
Setiap kali ketibaan Ramadan Al Mubarak, Sultan Selangor akan menyampaikan bantuan sumbangan Hari Raya Lembaga Zakat Selangor kepada golongan asnaf, fakir miskin dan anak-anak yatim pada Majlis Berbuka Puasa dan Solat Tarawih di setiap daerah di Selangor. Tapi disebabkan arahan PKP majlis tersebut ditiadakan tahun 2020 ini. - Kredit foto: Majlis Agama Islam Selangor.
Malahan kegiatan iftar atau berbuka puasa, morai dan tadarus al-Quran secara beramai-ramai yang biasa diadakan di masjid atau surau diarahkan tidak diadakan, sedangkan ia merupakan tradisi atau kebiasaan masyarakat pada setiap bulan Ramadan.
Kemeriahan majlis berkenaan begitu dirasakan tanpa mengira tempat lebih-lebih lagi di kampung-kampung. Tahun ini semuanya sepi!!
Selain itu, selain ketiadaan kemeriahan solat sunat tarawih berjemaah, solat wajib lima waktu turut direhatkan sementara sehingga PKP yang dikuatkuasakan sejak 18 Mac 2020 di seluruh negara berakhir nanti.
Buat masa ini, Kebenaran hanya diberikan kepada sejumlah kecil Ahli Jawatankuasa mengimarahkan masjid, surau atau musolla.
Merata tempat kebiasaannya semasa Ramadan, masjid atau surau penuh dengan umat Islam bukan sahaja sewaktu solat sunat tarawih tetapi pada waktu solat fardu kerana sepanjang bulan yang mulia ini, setiap ibadah dilakukan pahalanya berlipat ganda daripada hari-hari biasa.
Menteri Besar Selangor, Datuk Amiruddin Shari mengimamkan solat sunat tarawih bersama keluarga di kediaman rasmi beliau di Shah Alam, Selangor. - Kredit foto: FB MB Selangor.
Sebenarnya Ramadan Al Mubarak pada mas norma baharu ini dan pelaksanaan PKP sekarang memberi natijah penuh makna yang mampu memberi keinsafan buat setiap individu Muslim dalam menjalani kehiduapan harian.
Mungkin selama ini, kita alpa dan lali dalam menyelesaikan tuntutan pelbagai tanggungjawab termasuklah terhadap masyarakat, komuniti, keluarga mahupun agama dalam pelbagai sudut dan aspek.
Dalam konteks semasa inilah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dalam satu kenyataan yang dikeluarkan sebelum Ramadan bertitah baginda tidak akan mengadakan majlis berbuka puasa dan solat sunat tarawih di masjid-masjid seluruh Selangor seperti tahun-tahun sebelumnya.
Langkah ini diambil kerana faktor keselamatan berikutan penularan wabak virus COVID-19 yang masih belum dapat dibendung sepenuhnya bagi mengelak rakyat daripada risiko terkena jangkitan.
Ramadan tahun ini tidak ada lagi sembahyang sunat tarawih berjemaah di masjid,surau atau musolla seluruh negara berikutan PKP, sebaliknya ia ditunaikan di rumah sama ada dengan keluarga atau bersendirian.
Majlis berbuka puasa dan solat sunat tarawih di masjid-masjid seluruh daerah di Selangor oleh baginda sultan merupakan acara tradisi tahunan.
Sempena majlis tersebut baginda juga akan menyampaikan sumbangan hari raya dari Lembaga Zakat Selangor kepada asnaf dan fakir miskin di negeri itu.
Bagaimanapun menurut kenyataan itu yang dikeluarkan oleh Setiausaha Sulit baginda, Datuk Muhamad Munir Bani, sumbangan duit raya dan agihan zakat kepada asnaf serta golongan yang memerlukan tetap diteruskan cuma ia tidak disampaikan oleh baginda sultan pada majlis berbuka puasa seperti tahun-tahun sebelumnya.
Lembaga Zakat Selangor akan menyalurkan agihan zakat dan bantuan hari raya berkenaan sebanyak RM500 kepada setiap penerima dengan memasukkan terus ke dalam akaun bank masing-masing.
Dalam pada itu, Sultan Selangor dalam perutusan sempena Ramadan tahun ini menyatakan syukur kerana dapat sama-sama kembali meraikan bulan yang mulia dan penuh barakah.
Baginda bersama Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin mengucapkan selamat menyambut Ramadan 1441 Hijrah dan menunaikan ibadah puasa kepada seluruh umat Islam, di samping mendoakan umat Islam di Selangor dapat menjalani ibadah puasa dengan sempurna dan penuh kesabaran.
Baginda berharap rakyat (umat Islam) yang terpaksa mematuhi arahan PKP untuk duduk di rumah mengambil peluang bagi membanyakkan amalan terpuji, ibadat wajib dan sunat termasuk menunaikan solat tarawih di rumah masing-masing.
Dengan ketiadaan Bazar Ramadan, konsep jual beli bahan makanan, minuman dan kuih muih untuk berbuka puasa atau bersahur dijalankan melalui dalam talian. - Kredit foto: FB Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Puncak Jalil, Zainuddin Zainal.
Sempena bulan mulia ini, Sultan Selangor juga menyeru supaya umat Islam mengimarahkan bulan Ramadan dengan menambah ilmu pengetahuan menerusi pembacaan buku-buku sejarah peradaban Islam yang banyak boleh dipelajari dan diteladani dalam usaha menjadikan masyarakat lebih berilmu serta bijak ketika berdepan dengan krisis atau masalah.
"Marilah kita berdoa bersungguh-sungguh agar wabak COVID-19 segera berakhir.
"Semoga seluruh rakyat di Selangor dan umat Islam seluruh dunia terselamat daripada jangkitan virus berbahaya ini serta dijauhi bala bencannya.
"Seluruh rakyat perlu bersatu memastikan rantaian jangkitannya dapat diputuskan termasuk dengan mempraktikkan penjarakkan sosial dan duduk di rumah.
"Patuhilah segala panduan, nasihat dan arahan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia," ujar Sultan Selangor.
Penangguhan solat berjemaah termasuk solat sunat tarawih, solat Jumaat, solat fardu lima waktu dan ceramah serta kuliah di masjid, surau dan musolla di Selangor berlanjutan hingga 31 Mei 2020 seperti yang dititahkan oleh Sultan semasa mesyuarat khas bersama Majlis Agama islam Selangor (MAIS), Jabatan Mufti Selangor dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).
Bagaimanapun jika virus COVID-19 dapat diatasi lebih awal, satu arahan baharu akan dikeluarkan.
Sementara itu, konsep pembayaran zakat fitrah di negeri Selangor tahun ini akan dijalankan secara online seperti yang diuar-uarkan oleh Lembaga Zakat Selangor.
Namun, khidmat amil tetap terus diadakan dikawasan-kawasan tertentu.
Kemeriahan jual beli di Bazaar Ramadan pada setiap kali bulan puasa kini menjadi sepi kerana pelaksanaan PKP sejak 18 Mac 2020.
Fenomena norma baharu dalam menjalani kehidupan pada Ramadan tahun ini ada hikmahnya tersendiri jika difikirkan secara positif, sekalipun ia suatu yang tidak dijangka sama sekali.
Sebagai contoh sembahyang sunat tarawih berjemaah, selama ini kita bergantung harap sepenuhnya dengan Imam dan Bilal tertentu sama ada di masjid atau surau, tetapi sekarang sesebuah keluarga perlu ada sekurang-kurangnya seorang (terutama ketua keluarga) yang mampu menjadi imam.
Secara tidak langsung keadaan ini membentuk sebuah keluarga harmoni, toleransi khususnya dalam menunaikan ibadah di samping mampu menyemai sikap bekerjasama untuk diterapkan dalam aktiviti-aktiviti lain.
Konsep ini wajar dipraktikan dalam melaksanakan ibadah wajib terutama solat waktu.
Dengan adanya PKP, orang ramai tidak lagi perlu ke Pasar Ramadan berasak-asak tetapi hanya membuat tempahan melalui dalam talian untuk mendapatkan juadah berbuka puasa atau bersahur yang julung kali yang berlaku dalam sejarah negara.
Sebenarnya kewujudan Pasar Ramadan memberi risiko pembaziran makanan keterlaluan sama ada dalam kalangan orang ramai mahupun peniaga hingga menjadi habuan tong sampah.
Sekali pun ada sebilangan peniaga yang menghantar makanan dan kuih tidak terjual ke masjid, surau atau jiran-jiran tetapi konsep ini perlu diubah suai dengan mementingkan amalan agama, di mana setiap barangan yang hendak diberi sedekah mestilah bukan barangan lebihan atau jualan tidak laku.
Malahan ketiadaan Bazaar Ramadan juga, sesebuah komuniti boleh menghidupkan kembali tradisi lama yang pernah diamalkan suatu ketika dahulu iaitu pertukaran bahan makanan atau kuih antara sesama jiran dalam komuniti berkenaan.
Konsep tersebut wajar diperkenalkan kembali kerana ia memberi kesan positif dalam kalangan komuniti satu-satu tempat.
Masyarakat di negara ini selepas Ramadan yang mulia dan PKP nanti boleh terus mengaktifkan konsep jualan dalam talian yang banyak memberi faedah dalam kehidupan harian selain lebih cepat dan mudah.
Negara-negara saperti Jepun, Korea, China, Amerika Syarikat, Taiwan dan beberapa negara maju telah mempraktikan konsep jualan online ini secara meluas pada aktiviti harian mereka.
Sebenarnya masyarakat Islam di negara ini boleh mengamalkan suatu yang baru dalam kehidupan harian mereka selepas Ramadan 2020 ini yang merangkumi pelbagai aspek, cumanya dengan konsep arahan atau terpaksa semata-mata kerana keselamatan nyawa.
Malahan melalui selepas Ramadan Al Mubarak dan pelaksanaan PKP yang berjalan sekarang memberi natijah bermakna dan mampu mewujudkan keinsafan kepada setiap orang yang selama ini mungkin terlalai menunaikan tanggungjawab dan kewajipan masing-masing. - KitaReporters