“DOAKAN saya moga menjadi juri yang mempunyai ketegasan namun berhemah, menilai dengan bijaksana namun tidak mendabik dada, menegur biarlah berlapik, mengajar tidaklah terlebih didiknya.” Begitu antara luahan kata-kata manis Puan Sri Normala Samsudin melalui Instagramnya setelah dilantik sebagai juri program ‘Ratu Hijabista’. - KitaReporters

Normala Samsudin, juri tetap 'Ratu Hijabista' yang akan bersiaran mulai 12 Ogos 2020. - Kredit foto: IG @normalasamsudinofficial.

Ya…  siapa tidak mengenali ikon pengacara terkenal yang mendapat jolokan ‘Wanita Melayu Terakhir’ ini yang dilihat kembali ke dunia penyiaran setelah lama menyepi selepas mendirikan rumah tangga bersama bekas Menteri Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, Tan Sri Azmi Khalid pada. tahun 2005.


Kini dalam usia 56 tahun, anak-anak muda yang barangkali belum pernah menyaksikan kepetahan Normala sebagai bekas pengacara ‘Nona’ dan personaliti TV3 ini bolehlah menyaksikannya kembali waima sebagai juri sekali pun kepada 12 calon finalis  program ‘Ratu Hijabista’ yang bakal ke udara selama 8 episod pada setiap hari Rabu, jam 9 malam mulai 12 Ogos 2020 ini.

Ditanya adakah kerinduan membawanya kembali ke dunia penyiaran?  Ini jawapan Normala atau lebih mesra disapa Kak Mala dalam kalangan golongan muda:

“Saya terima tanggungjawab sebagai juri bukan semata-mata kerana rindu tetapi lebih kepada keinginan untuk mencari pelapis dalam kalangan wanita bermuslimah yang mampu menyerlah dalam semua bidang terutama seni pengacaraan,” ujar Normala ketika ditemui pada majlis memperkenalkan barisan finalis ‘Ratu Hijabista’ pada Rabu, 23 Julai lalu.  

Turut hadir, Pengurus Saluran Astro Prima, Norzeha Mohd Salleh (gambar bawah, kanan) dan Fiezreen Ahmad (kiri) Editor Pengurusan Hijabista.


Namun yang paling utama katanya, beliau mendapat keizinan suami terlebih dahulu.

“Suami memberikan ‘lampu hijau’ malah secara automatiknya dia seronok apabila saya dapat kembali untuk berkongsi pengalaman bagi mencari pelapis yang berkaliber dan serba boleh,” ujar Mala lembut.

Sesungguhnya dari dahulu hingga sekarang, personaliti Normala Samsudin tetap lembut dalam gaya dan tutur katanya, malah tidak syak lagi tentu ramai yang bersetuju dengan pelantikannya  sebagai juri tetap dan ‘ibu’ kepada 12 peserta yang berusia antara 21 hingga 30 tahun ini. 

Beliau bertanggungjawab memimpin anak-anak muda ini menjadi rujukan golongan wanita berhijab yang berkaliber dan boleh menjadi contoh kepada segenap lapisan masyarakat.

12 barisan finalis 'Ratu Hijabista'.

Daripada  550 calon peserta yang memuat naik video uji bakat mereka dalam laman sosial Instagram, hanya 12 orang yang bertuah dipilih di mana rata-ratanya dilihat terdiri daripada pelajar universiti dalam pelbagai bidang.

Mereka ialah Siti Aishah Idris, 27; Nur Aqilla Sidi Ahmad, 25; Aunee Azrina Zulkifli, 27; Asfika Mohamad, 26; Nurul Ellyna Anuar, 21; Nurfiyanti Afrina Roslan, 23; Nur Fatin Najihah Noor Hisham, 21; Shamellya Norazizi, 23; Wan Nur Aqilah Wan Lokman, 21; Siti Sariah Abdullah. 21; Qistina Sofia Abdul Aziz, 24 dan Nuryusrina Shan Mohd Firdaus Shan, 23.

Normala bersama salah seorang pengacara 'Ratu Hijabista', Uyaina Arshad.


Sementara itu, ‘Ratu Hijabista’ akan menyaksikan dua pelakon dan pengacara yang semakin meningkat naik, Uyaina Arshad dan Fikry Ibrahim sebagai hos, manakala seorang juri jemputan akan mengiringi Normala pada setiap siaran.

Nasib para peserta ditentukan sepenuhnya berdasarkan sistem pemarkahan 100% oleh juri profesional, di mana juara akan membawa pulang wang tunai RM10,000, tiara, trofi dan selempang. 

Naib Juara  bakal membawa pulang wang tunai RM5,000 berserta trofi dan selempang, manakala pemenang ‘Hijabista Favourite 2020’ akan dipilih berdasarkan undian peminat tertinggi di laman web rasmi www.hijabista.com.my

Normala memakaikan selempang pada salah seorang peserta,  tanda diterima  sebagai finalis 'Ratu Hijabista'. 

Program ‘Ratu Hijabista’  terbitan Astro Prima dengan kerjasama Nu Ideaktiv Sdn Bhd ini akan mula bersiaran secara ekslusif menerusi saluran Astro Prima (125) dan Astro Prima HD (105) serta boleh distrim menerusi aplikasi Astro Go dan perkhidmatan On Demand.

Kapsul pengenalan boleh ditonton melalui liputan harian ‘Profil Ratu Hijabista’ pada setiap hari, jam 11.55 pagi dan 6.55 petang bermula 23 Julai hingga 9 Ogos 2020.

Klip sedutan aktiviti perkembangan para peserta pula boleh ditonton melalui liputan harian ‘Jurnal Ratu Hijabista’ pada setiap hari Isnin hingga Rabu, jam 6.55 petang bermula 10 Ogos 2020. - KitaReporters

0
2
0
0
0

Copy Link: