DATUK A Aida bermula sebagai pelakon, kemudian mengarah dan kini bertindak sebagai penerbit untuk A Aida Production Sdn. Bhd., yang ditubuhkan pada 2003. Itulah anjakan kerjaya A Aida atau nama penuhnya Zaidah Awang, 50, dalam bidang seni tanah air. : KitaReporters


A. Aida amat serius dalam perniagaan kerana berjaya melebarkan produksinya. - Kredit foto: IG A. Aida


Lagi cerita-cerita berkaitan A Aida:

https://kitareporters.com/search?search=A+Aida


Syarikat milik Aida adalah antara produksi yang paling aktif menerbitkan drama, telefilem, bual bicara dan dokumentari kerana kebanyakan produk yang dihasilkan disiarkan dalam saluran Salam HD bagi televisyen internet, Hypp TV.

Jelas Aida, sejak menerajui saluran tersebut pada 5 Jun 2016, beliau dan tenaga kerja produksi perlu bekerja dua kali ganda bagi memastikan produk yang ditayangkan di Salam HD itu memenuhi kehendak penonton.



“Sehari, boleh dikatakan ada tujuh judul drama sekali jalan. Paling sikit empat atau lima sebab PKP (Perintah Kawalan Pergerakan). Kita terpaksa turun ke set serentak sebab nak kejar slot Salam HD punya submission, terpaksalah tujuh sekali jalan.  

“Sekarang ini, saya ada lima orang pengarah, pandai-pandai mereka menjalankan tugas masing-masing. Sebenarnya bila run channel, kita orang atas ni kena pergi cari projek, bila dah dapat, alhamdulillah, sebab ada rezeki. 

"Untuk run channel, saya ada channel manager, tak mampu nak urus sendiri. Saya akan beritahu channel manager apa yang saya mahu tentang sesebuah drama dan konsep. 

“Saya akan baca semua proposal atau skrip dan bila okey baru boleh shoot. Selalunya hero dan heroin, saya yang pilih. Walaupun saya ada barisan pelakon yang dibimbing menerusi A. Aida Talent tapi saya tak mudah untuk mempergunakan ‘harta’ saya itu.

“Saya akan nilai, watak yang diberi kepada bakat baharu itu mengikut keupayaan mereka. Tak mahulah saya, dek nak kurangkan kos, produk saya tak berkualiti. Orang dah tahu nama saya, jadi produk yang dihasilkan adalah seperti diri kita juga, mesti berkualiti,” jelas Aida tentang perjalanan kerja di syarikatnya yang mempunyai 61 kakitangan itu. 


Melakukan uji bakat untuk memilih pelakon bagi drama terbitanya.


Dalam bekerja, Aida tidak pernah mengamalkan sikap lepas tangan dan beliau sentiasa mengambil tahu daripada A sampai Z. Bukan nak menjadi bos yang cerewet tapi lebih kepada persediaan agar tidak timbul masalah pada pertengahan penggambaran.

“Kita kena ambil tahu daripada A to Z, maknanya orang tak boleh main-main dengan saya sebab saya bermula dengan lakonan. Lepas berlakon saya jadi penolong pengarah dan mengarah. Lepas mengarah jadi produser, alhmadulillah.

“Jadi semua kerja bawahan sampai atasan, saya tahu, kru tak boleh nak kelentong saya. Alhamdulillah, sekarang ini kami mendapat permintaan daripada TV Sarawak, Brunei dan Singapura yang banyak beli content Salam HD,” katanya tersenyum bangga.


Bersama salah seorang artis yang turut berlakon dalam drama terbitan A. Aida Production.


Jelas Aida, beliau bukan saja menghasilkan produk untuk saluran Salam HD tapi untuk stesen lain juga seperti RTM dan TV3. Katanya, selagi ada permintaan daripada mana-mana stesen TV, pihaknya akan cuba memenuhi.

Memandangkan beliau mempunyai kelengkapan peralatan produksi sendiri, jadi tidak ada masalah untuknya melakukan penggambaran setiap hari.

Apa yang menjadi masalah hanyalah mencari lokasi yang sesuai untuk dijadikan set penggambaran. Bagi mengatasi masalah mencari set atau menyewa lokasi, Aida lebih senang ‘mengadakan’ sendiri persekitaran tersebut.


A. Aida bekerjasama dengan Haqiem Rusli untuk runut bunyi drama Bidadari Salju, tayangan di TV3.


“Alhamdulillah, Allah murahkan rezeki saya, jadi dapatlah saya membeli property (hartanah) dan ubah suai menjadi set penggambaran. Bukan apa, syarikat saya ada penggambaran non stop. Setiap kali nak roll drama, kena pergi cari lokasi dan sewa, mau bajet jadi besar.

“Macam di office sekarang ini pun, saya dah set up ada coffee house, restoran, green skrin dan ada studio sendiri. Macam book café, tempat orang datang lepak dan baca novel. Lokasi itu semua untuk penggambaran saja bukan bisnes.

“Restoran pun kita set up macam restoran biasa dan semua itu di tingkat empat, sementara tingkat lima pula adalah ruang pejabat, bilik suntingan dan studio,” katanya yang berusaha keras untuk memudahkan penggambaran produksi terbitan syarikatnya.

Jelas Aida, hartanah miliknya yang dijadikan set penggambaran termasuk rumah tak akan disewa kepada produksi lain kerana ia dibuat khas untuk A. Aida Production sahaja.

“Saya tak bagi sewa rumah kepada produksi lain sebab rumah itu lengkap seperti rumah yang didiami. Bukan takut set sama tapi sebab barang-barang dalam rumah itu mahal. Rumah itu dihias untuk dijadikan set lokasi penggambaran untuk watak eksekutif, pengarah urusan atau ahli perniagaan.

“Semua yang saya buat itu adalah untuk pelaburan masa panjang. Tidak perlulah production manager kecoh-kecoh nak pergi cari atau sewa lokasi. Bila set itu kita punya, senanglah nak shoot sampai pukul berapa pun orang tak marah,” katanya yang bijak mengatur perjalanan syarikatnya itu. 


Bersama Zoey Rahman, salah seorang rakan artis yang rapat dengannya.


Mendengar cerita Aida tentang perjalanan syarikatnya itu, mesti kita ingat beliau tiada masa untuk diri sendiri. Sebenarnya, setiap hari Aida akan meluangkan masa selama sejam atau dua jam untuk kesihatan dirinya.

“Masa saya sebenarnya banyak di rumah. Saya suka duduk rumah kerana suka berkebun. Bangun pagi, rutin berkebun, gim untuk sejam atau dua jam. Almost seminggu empat kali wajib pergi gim. Biasanya di rumah ada gim dan kat kondo pun ada.

“Bukan saya nak bangga, badan saya memang kalahkan anak dara. Memang saya fit. Saya dari sekolah adalah atlet. Zaman remaja pergi gim sampai sekarang. Saya dari zaman sekolah adalah atlet, wakili negeri,” katanya yang konsisten bila melakukan latihan stamina.

Pemilik resort D’Manggis, Janda Baik, Pahang itu juga masih ada masa untuk menulis skrip drama dan lirik lagu. Baginya, tidak ada rasa lelah kerana apa yang dilakukan lahir daripada minat yang mendalam terhadap bidang tersebut. 


Gemar melakukan aktiviti sukan sejak sekolah lagi.


“Sekarang ini saya sedang menulis skrip untuk filem baharu bergenre seram komedi. Kalau filem, saya akan buat skrip sendiri. Banyak yang bagi skrip tapi bosan la bila baca. Kebanyakan drama yang diterbikan adalah idea asal daripada saya. Kalau bagi penulis lain pun, idea asal tetap daripada saya,” katanya.

Sebagai ibu tunggal, Aida tidak menafikan ada beberapa lelaki yang cuba mendekatinya, namun buat masa sekarang hatinya belum terbuka untuk mencari pengganti.

“Memang ada yang cuba himpit, tapi dalam hati ini ada satu perasaan nak duduk dengan anak-anak saja dan mendekatkan diri dengan Tuhan. Banyak masa saya luangkan masa di rumah. 

"Dan sekarang ini banyak tumpukan pada resort D’Manggis di Janda Baik. Kalau boleh saya nak resort tu jadi tempat pelancongan  nombor satu,” katanya penuh harapan.  - KitaReporters

0
0
0
0
0

Copy Link: